Translate

Followers

EZ Q

Selasa, 22 September 2009

@ Serkam : SELAMAT HARI RAYAAIDIL FITRI

Assalamualaikum .. salam aidilfitri buat semua anak anak didik dan teman-teman seperjuangan.

Alhamdulillah kita masih lagi dianugerahkan peluang kepada kita untuk sama-sama merasai nikmat iman dan islam serta nikmat hari raya yang mulia walaupun disambut dengan serba sederhara almaklum sekarang nie berbeza dengan raya sewaktu kecil dahulu yang sememangnya meriah.

tahun nie rasa gembira sangat sebab dapat beraya dengan orang baru. Alhamdulillah adik perempuanku dah selamat melahirkan zuriat yang pertama waris keturunan keluarga yang sulung. kira raya tahun nie semua merasa dapat naik pangkat. Kalau kakitangan awam merasa bonus raya kami pun merasainya juga dengan kehadiran waris almohyeddiniyah alhassaniah yang sulung.

Dikesempatan yang ada saya mewakili ayah saya Hj. Mohyeddin bin Hassan, Ummi saya HjH Aminah Aman serta Adik - adik saya dan anak buah yang baru berumur 6 hari dengan ini ingin merakamkan ucapan selamat hari raya Adil Fitri Maaf Zahir dan Batin. Semoga Kita semua beroleh rahmat dan keampunan di hari yang mulia ini.

Jumaat, 11 September 2009

Dari UM ke Salak Tinggi :RAMADHAN MASUK SEPARUH AKHIR

Assalamualaikum... salam perjuangan .. salam ramadhan buat semua tak kira dimana jua anda berada.Kudoakan moga semuanya sehat-sehat walafiat hendaknya serta mendapat perlindungan dan redha serta rahmat daripada Allah.

Alhamdulillah syukur kita kehadrat Allah SWT kerana masih lagi dianugerahkan peluang untuk kita sama-sama berada dalam bulan ramadhan ; bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

Bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud Ramadhan Awalnya terdapat rahmat, pertengahannya pula diberikan keampunan oleh Allah dan akhirnya pula dilepaskan daripada azab api neraka.

Saudara dan anak-anak yang budiman,

kita pada ketika ini telah berada dalam fasa yang ketiga dalam bulan ramadhan yang mana seperti yang telah dinyatakan didalam hadis yang sebelum ini, mengandungi seribu satu macam kelebihan bagi mereka yang menghidupkannya.Namun yang demikian jika kita kenang-kenang kembali segala amalan yang kita laksanakan dalam bulan ramadhan adakah bebar-benar mencukupi bagi menampung amalan yang kita lakukan dalam 11 bulan yang seterusnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud " Maka bersegeralah kamu mendapatkan keampunan dan maghfirah daripada tuhan kamu;dan juga ganjaran syurga yang dijanjikan"Tidakkah kita menginginkan ganjaran dan keampunan daripada Allah SWT?

Dalam bulan yang penuh dengan kemuliaan ini, marilah kita sama-sama meningkatkan amal ketaqwaan kita kepada Allah SWT yang telah banyak mengurniakan nikmat dan rezeki yang tidak terhingga kepada seluruh ummat manusia termasuklah kepada diri kita. Moga-moga kita tidak tergolong dikalangan hamba-hambaNya yang tidak reti untuk mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan.

Selamat menempuh Lailatul Qadar dalam 10 malam yang terakhir ..

Ahad, 6 September 2009

Muhasabah : Bila Tugas Guru SMA Dicampur Aduk

assalamualaikum .. salam perjuangan

syukur Alhamdulillah kerana masih lagi dikurniakan peluang oleh Allah untuk melontarkan pelbagai idea yang saranan mahupun kritikan yang membina dalam blog yang banyak berjasa ini.

pada petang nie nak sentuh sikit dengan hasil perbincangan yang dilakukan setelah berlangsungnya pertemuan 4 mata aku dan bersama seorang rakan yang cukup akrab denganku sewaktu kami sam-sama bertugas sebagai guru di salah sebuah sekolah menengah agama. rasanya hampir setahun lebih aku tidak dapat berkunjung bertemu dengannya namun banyak juga yang dapat kukongsikan bersama dengannya bagi menambahkan ilmu Perguruan yang telah sedia ada dan sebati dalam jasadku ini.

Daripada perbincangan yang kami adakan hampir 2 jam dirumah beliau di muar, banyak masalah dan rungutan malah peringatan yang diberikan kepadaku memandangkan aku masih lagi dalam tempoh praktikum yang berbaki 1 bulan lebih saja lagi. Antara yang boleh aku kongsikan disini ialah tugas guru yang utama adalah untuk mendidik pelajar dan anak anak murid menjadi seorang yang mempunyai sahsiah yang terbaik dan cemerlang dari pelbagai aspek termasuklah rohani, emosi, jasmani dan spiritual. Malahan guru juga perlu flaksibel serta memahami situasi alam sekeliling yang berada disekitarnya.

Guru sewajarnya menjadi contoh kepada pelajar untuk membantu mereka menjadi insan yang cemerlang dan terbilang dari segi sahsiah diri. Tapi apa yang berlaku; masih lagi terdapat segelintir guru guru yang gagal dalam proses perkembangan ini dek kerana terpengaruh dengan fahaman politik yang cukup sempit sehingga sanggup mengeluarkan perkataan -perkataan yang tak sewajarnya dan sepatutnya dikeluarkan oleh seorang guru. Bagaimana kalau kita nak kata kita guru yang disayangi pelajar jika kita sanggup memaki hamun pelajar, rakan sejawat malahan terhadap pentadbir sekolah sendiri.

Guru tugasnya mendidik dan bukan pengajar. Nak mendidik bukan satu perkara yang senang dan rakanku memberi ingatan pada diriku dan kusampaikan pada semua yang membaca " Kalau tak sanggup nak pegang amanah sebagai murabbi, elok berhenti ambil surat letak jawatan 24 jam dan cari kerja lain. Satu lagi yang cukup terkesan dalam diriku; tugas mendidik bukan kira ganjaran yang lumayan. Bak kata salah seorang daripada Pensyarah Diploma Pendidikan Universiti Malaya, Kalau nak kira gaji memang tak cukup dan tak berbaloi dengan apa yang didapati jika menjadi guru tetapi kalau nak kan gaji yang lumayan tak payah jadi guru. Orang lain pun boleh jadi.

Kata-kata tersebut cukup memberi pengfajaran dan menusuk dalam hatiku. Bandingkan diri kita dengan Ulama' Silam, Kita mengajar nak kejar kemewahan dan kesenangan tapi Ulama dulu mengajar nakkan keberkatan dan rahmat dari Allah. Itulah sebabnya yang menyebabkan pelajar-pelajar sekolah menengah agama yang diajar oleh guru-guru yang terlalu taksub dengan sesuatu fahaman jadi rosak kerana ilmu yang diajar tidak masuk kedalam jiwa anak-anak tersebut.

Firman Allah SWT dalam surah As-Soff ayat 1 yang bermaksud " Wahai Orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu buat sedangkan kamu tidak melakukannya; besarlah kemurkaan Allah terhadap apa yang kamu perkatakan "

Maksud ayat tadi jelas sekali memberikan gambaran kepada kita tentang kemurkaan Allah terhadap apa yang kita perkatakan sedangkan kita tidak lakukannya. Oleh yang demikian, kuingatkan diriku dan juga rakan rakanku tugas murabbi khalifah kecil ini bukan mudah dan sewajarnya kita semak balik diri kita terhadap apa yang telah kita lakukan. Buat rakan-rakan yang mengajar di sekolah menengah agama khususnya di johor kalau tak ade diploma pendidikan tu buatlah permohonan untuk sambung DPLI atau KPLI . kalau rasa diri tu tak layak atau tak sanggup nak jadi guru lagi, sarananku , ambillah surat letak jawatan dan carilah kerja yang boleh memberikan manfaat pada diri antum asalkan tidak menyusahkan orang lain.




Jumaat, 4 September 2009

Dari Um Ke Salak Tinggi : Peristiwa Nuzul AlQuran

Assalamualaikum ... Salam Perjuangan
Hari isnin depan, SAM BBST bercuti peristiwa bagi meraikan Hari Memperingati peristiwa turunnya Alquran kepada Rasulullah SAW buat kali yang pertamanya.Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. etika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Khamis, 3 September 2009

Dari Um Ke Salak Tinggi : Puasa Latihan Mengempiskan Perut

assalamualaikum ... salam perjuangan

Alhamdulillah .. marilah kita sama sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi diberikan peluang oleh Allah untuk berada dalam bulan Ramadhan. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Bulan diwajibkan untuk berpuasa disiang harinya dan amal ibadat pada malamnya. Ala kullihal yang penting kita dapat melaksanakan ibadah puasa kita dengan sempurna.

ada juga yang turut mengambil kesempatan ini dengan tujuan untuk merampingkan badan dan mengempiskan perut.nampak macam senangkan ? tak payah makan tak payah minum ; bagi yang perempuan pula tak payah nak sibuk2 nak masak pagi pagi untuk keluarga. Tapi berbeza dengan keadaan realiti yang berlaku.

Dengan lambakan masakan dan makanan yang sedap-sedap kita jadi lupa untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita. Kita makan ikut nafsu yang membelenggu kita. Akhirnya kita jadi malas untuk melaksanakan amal ibadat yang difardhukan kepada kita. Kita jadi lalai dan leka dalam melaksanakan tanggungjawab kita. Oleh yang demikian , nak makan boleh makan tapi biarlah berpada-pada dan jangan terlalu mengikut nafsu dan kemahuan semata-mata

Rabu, 2 September 2009

Dari UM ke Salak Tinggi : Peranan Pemuda Dalam Survival Islam

assalamualaikum .. salam perjuangan

Hari ini aku diminta untuk menyampaikan satu tazkirah berkenaan peranan pemuda dalam era kebangkitan islam dan bersempena dengan majlis sambutan bulan kemerdekaan yang ke 52 peringkat sekolah, secara ringkasnya buat renungan dan perkongsian maklumat yang dapat kuberikan secara ringkas buat teman-teman seperjuangan dan juga anak-anak didik yang turut melayari bolg ini; perjuangan Islam yang dipelopori oleh baginda Nabi SAW jelas sekali didukung oleh para pemuda dan pemudi yang cintakan islam. ini kerana jika kita telusuri sirah perjuangan Nabi SAW dan para sahabat baginda, kita akan dapati kebanyakan yang menjadi qaedah sulbah dalam perjuangan nabi menegakkan ajaran yang suci dan murni adalah dari kalangan pemuda dan pemudi. contohnya dalam peristiwa hijrah nabi SAW kebanyakan yang terlibat adalah dari kalangan pemuda.

begitu juga jika kita lihat dalam hadis Baginda Nabi SAW sepertimana yang dinyatakan oleh baginda SAW "7 Golongan yang akan mendapat perlindungan dengan perlindungan Allah yang tiada perlindungan selain dari perlindunganNYA ; antaranya ialah pemuda yang cintakan masjid, pemuda yang cintakan Allah bertemu dan berpisah kerana Allah, pemuda yang takut untuk melakukan kemungkaran.

Dalam sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan Negara juga; golongan pemuda turut memainkan peranan yang penting khususnya dalam perjuangan membebaskan tanahair daripada penjajahan british, Kesatuan Melayu Muda yang dipelopori antaranya oleh Ibrahim bin Yaacob, Dr.Burhanuddin Alhelmy,Ahmad boestamam dan yang selainnya yang akhirnya mereka ditangkap dan gugur dalam perjuangan.

Tak lupa juga, sumbangan yang diberikan oleh mujahid dakwah kurun ke 20 , Imam Asy-Syahid Hassan Albanna yang telah mengumpulkan dan melatih para pemuda islam khususnya dalam gerak kerja dakwah sehingga kita dapat lihat kesannya yang terdapat dalam gerakan dakwah-siasah yang ada dalam negara kita.

berbeza dengan pemuda yang ada pada zaman sekarang yang lebih banyak terdedah dengan perkara-perkara dan sumber maklumat yang baru. Ala kullihal, peranan orang muda sewajarnya tidak boleh diketepikan dan disalah ertikan oleh golongan yang lebih senior daripada mereka. Sewajarnya golongan senior lebih berbangga dengan adanya golongan muda yang boleh digilap dan berupaya untuk menjadi penerus survival ummah khususnya di Malaysia.

Dari UM ke Salak Tinggi : Hakikat kemerdekaan Menurut Islam

Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat dan bangsa yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti bejuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan. Tetapi hingga kini, masih ramai dikalangan bangsa yang masih belum kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan.Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk beragama dan tunduk kepada Allah Ta'ala dengan penuh ketenangan.


Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara kita , generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan mereka. Justeru itu, sebagai umat yang berhemah tinggi dan berakhlak, kita merasa terpanggil untuk menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan.


Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah Ta'ala, membebaskan diri daripada perhambaan dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh.


Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran.


Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.

Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"
Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta'ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama kita.