Entah di mana silapnya, pembinaan produk pelancongan menyusuri Sungai Melaka dikenali monorel sepanjang 1.6 kilometer bernilai RM28 juta yang dijanjikan kerajaan beroperasi akhir bulan ini mungkin tertangguh lagi.Tempoh akhir bulan ini merupakan tarikh kedua diberi kerajaan negeri untuk melihat monorel tersebut beroperasi selepas tarikh pertama yang sepatutnya dijadual mula beroperasi pada 31 Mei lalu gagal ditepati.
Ini kerana tinjauan mendapati, pembinaan hentian di Stesen Hang Tuah berhampiran Eye On Melaka tidak berjalan lancar apabila sebahagian tiang, dinding, bumbung dan tangga yang masih belum siap hingga ke hari ini.Situasi itu jauh berbeza dengan sebuah lagi stesen, Stesen Hang Jebat di Taman Rempah yang boleh dikatakan sudah 99 peratus siap yang cuma memerlukan sedikit masa untuk kerja-kerja pembersihan dan penurapan jalan di kawasan sekitarnya.
Salah seorang pekerja binaan yang ditemui di Stesen Hang Jebat berkata, semua kemudahan di stesen itu telah siap termasuk elektrik, air dan landskap di kawasan sekitarnya.Dia yang enggan dikenali berkata, stesen tersebut sudah boleh beroperasi dalam masa beberapa hari saja lagi, tetapi monorel tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja pembinaan di stesen kedua, Stesen Hang Tuah tidak berjalan lancar.
Pada Mac 2008, kerajaan negeri mengumumkan Melaka bakal mempunyai produk pelancongan dan kemudahan pengangkutan monorel bernilai RM28 juta meliputi taman permainan roller coaster di Sungai Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika itu berkata, monorel itu akan mula dibina sebulan selepas itu dan apabila keseluruhan projek siap, ia bakal menjadi taman permainan terbuka seperti Disneyland.
Projek tersebut yang pada masa itu dijangka siap pada Mac lalu itu bagaimanapun gagal beroperasi pada masa yang dijadualkan dan ditunda ke tarikh 31 Mei lalu untuk mula beroperasi.Para tarikh tersebut juga, masyarakat khususnya para pelancong sekali lagi kecewa apabila monorel pertama kebanggaan rakyat negeri itu masih belum boleh beroperasi.Kelewatan kali ini dikatakan berpunca daripada kegagalan pembinaan tiang monorel berhampiran Stesen Hang Tuah di Kampung Bunga Raya Pantai apabila penduduk kampung tersebut pada mulanya enggan menerima pampasan untuk pengambilan tanah mereka.Bagaimanapun, hasil rundingan kerajaan negeri diketuai Mohd. Ali, kesemua 42 keluarga di kampung berkenaan akhirnya akur dengan kehendak kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut menjadi pusat komersial untuk tarikan pelancong.
Masalah itu juga dianggap selesai apabila kerajaan negeri juga telah membayar wang pampasan keseluruhan berjumlah RM1.4 juta kepada semua 42 keluarga tersebut pada 4 Disember tahun lalu.Namun, selepas melihat monorel itu masih juga tidak beroperasi pada 31 Mei lalu dan tidak mungkin pada hujung bulan ini, rakyat sekali lagi berasa kecewa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan