Translate

Followers

EZ Q

Rabu, 18 Mac 2009

Isu Gengsterisme

SECARA umum, gengsterisme adalah fahaman ahli atau kumpulan penjenayah atau samseng. Ia menjadi ikutan remaja dan pelajar sekolah melalui perbuatan dan tingkah laku.Menurut kajian psikologi, remaja mudah terpengaruh dengan aktiviti kumpulan yang mempunyai bentuk perlakuan berbeza dan mampu menarik perhatian orang ramai. Mereka mudah terbabit dengan kumpulan gengsterisme, buli, kumpulan Punk, Black Metal, Mat Rempit dan sebagainya.

Terbaru, kes pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, Mohd Hadzrin Mohamad, 16, yang dipercayai dibelasah 24 suspek berusia 16 hingga 18 tahun hingga meninggal dunia mengejutkan orang ramai, terutama ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah.

Kementerian Pelajaran menubuhkan jawatan kuasa khas bagi menyiasat kes itu, di samping siasatan polis.Dalam hal ini, kementerian memandang serius dan akan menyiasat punca kejadian itu melalui Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid.Menterinya, Datuk Seri Hishammudin Hussein, berkata dalam perkara membabitkan disiplin pelajar, kementerian tidak akan berkompromi.

Katanya, bagi aspek keselamatan infrastruktur sekolah, ia memang dalam tanggungjawab kementerian, tetapi persoalan sikap dan tingkah laku pelajar di luar sekolah sukar hendak dikawal.Menurutnya, pada masa ini, ada 5 juta pelajar di lebih 10,000 sekolah dan 385,000 guru.

Angka yang besar ini menyebabkan kementerian sukar dan tidak mampu mengawasi mereka bersendirian.Kes pelajar mengebom kereta dengan bom petrol di Alor Star juga tidak harus dipandang ringan, berikutan tindakan guru disiplin merotan pelajar melanggar peraturan ketika sesi persekolahan.

Banyak faktor mengapa unsur gengsterisme mudah mempengaruhi pelajar. Antaranya, pengaruh filem dan drama dari Barat yang memaparkan unsur ganas dan kejam. Selain itu, pendek akal dan lemah daya fikir juga punca pelajar terbabit dalam gengsterisme.
Pengaruh unsur di atas bukan sahaja berlaku dari aspek gaya hidup, teknologi dan material, malah nilai moral juga nampaknya semakin terhakis dengan gaya kehidupan moden.

Kurangnya perhatian ibu bapa, selain keruntuhan institusi keluarga menyebabkan remaja mencari jalan keluar dan mencuba penyelesaian sendiri.Mereka tidak menyedari perbuatan mereka mengundang padah dan menggelapkan masa depan.Kajian mendapati kebanyakan kes jenayah dan gengsterisme wujud akibat keluarga bermasalah yang mungkin disebabkan perceraian, ibu atau bapa meninggalkan keluarga atau keluarga terabai.

Ia juga membuktikan pelajar terbabit dengan jenayah dan gengsterisme adalah di kalangan mereka yang bermasalah, tidak berdisiplin, tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran, ponteng dan mempunyai kumpulan tertentu di luar sekolah.

Pengaruh media cetak dan elektronik yang sukar dikawal pengedarannya memberi pengaruh negatif kepada pelajar dan remaja.Selain itu, pengaruh material dalam kehidupan harian dan kebebasan bertindak di kalangan remaja, pengaruh rakan sebaya juga sebilangan kecilnya menjurus kepada pembentukan kumpulan samseng dan gengsterisme di kawasan sekolah.

Kegiatan gengsterisme remaja seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu pengetua, guru disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan ibu bapa.Hal ini penting bagi kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah jawatan kuasa menangani gejala disiplin pelajar peringkat sekolah dengan melantik beberapa ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran sekolah bagi memantau kegiatan gangsterisme. Pihak sekolah hendaklah sentiasa memantau kawasan sekolah yang terdapat masalah disiplin.

Menurutnya, guru masih menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran lama, begitu juga cara menangani kes disiplin di sekolah. Perubahan perlu dilakukan membabitkan amalan baru yang berwawasan perubahan budaya iaitu perubahan sikap, nilai dan kepercayaan terhadap persekolahan.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud, “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah itulah orang yang ditinggalkan oleh manusia kerana khuatir dengan kejahatan dirinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang lebih penting, pelajar lemah dan bermasalah dalam disiplin memerlukan perhatian khas daripada pihak sekolah. Semua ini perlu dilakukan dengan bijak supaya tidak berlaku pengasingan dan perbezaan di antara mereka dengan pelajar lain di sekolah.Melahirkan manusia berbudi luhur adalah asas pendidikan bagi membangunkan ummah.Menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengatasi masalah gengsterisme di kalangan pelajar dan remaja di sekolah.

Tiada ulasan: