Translate

Followers

EZ Q

Sabtu, 20 Oktober 2007

Tahap keimanan diuji menerusi sikap pemaaf

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

PERBUATAN memohon dan memberi kemaafan adalah amalan mulia. Aidilfitri digalakkan saling bermaafan antara satu sama lain. Ucapan yang paling sering kita dengar ketika sambutan Aidilfitri adalah 'maaf zahir dan batin.'

Adakalanya kita sukar memaafkan orang yang pernah melakukan kesilapan. Kadangkala juga kita masih terbawa-bawa dengan kesilapan yang dilakukan kepada kita pada masa lampau.

Erti memberi kemaafan adalah apabila seseorang itu mampu untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadapnya atau menuntut sesuatu daripada mereka yang melakukan kesalahan itu, namun mereka tidak melakukannya, malah memaafkannya secara ikhlas.



Nabi Yusuf as adalah anak kesayangan bagi Nabi Yaakub dan baginda dicemburui oleh saudaranya yang lain. Mereka mengkhianati Nabi Yusuf dan mencampakkan Baginda ke dalam perigi.

Namun, Baginda diselamatkan oleh sekumpulan musafir dari Mesir lalu mereka membawanya ke sana. Untuk dipendekkan cerita, akhirnya Nabi Yusuf dilantik oleh pemerintah Mesir untuk menjadi pembesar negara bertanggungjawab menjaga perbendaharaan. Baginda kemudian ditakdirkan bertemu semula dengan saudaranya yang mengkhianatinya sebelum ini.

Dengan kekuasaan yang ada pada tangan Baginda, tentu sekali dengan mudah Baginda mampu membalas perbuatan khianat saudara kandungnya itu. Namun, sikap pemaaf Baginda menghindarinya daripada bersikap sedemikian dan kisah ini dirakamkan di dalam al-Quran melalui ayat:Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Dia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang berbuat kebaikan.

Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan takwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang yang bersalah".

Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (perbuatan kamu yang terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia juga Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. (Yusuf (12) : 90-92)

Orang yang bertakwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang bertakwa). Allah mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.

Sikap pemaaf adalah akhlak yang mulia dan dituntut syarak. Memaafkan orang adalah akhlak mulia dan tergolong dalam amalan yang amat digalakkan.

Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi Allah akan mudah mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Sesungguhnya Rasulullah adalah sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah adalah sikap pemaaf Baginda. Ini dapat kita perhatikan dalam banyak peristiwa yang dialami Baginda melalui banyak riwayat yang sabit. Namun, memadai bagi penulis menurunkan beberapa saja hadis yang berkaitan.

Sesungguhnya, beberapa kualiti diri yang perlu ada dalam diri masing-masing sebelum dapat menjadi seorang yang pemaaf.

Lafaz maaf zahir dan batin pada hari lebaran ini dan lakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan sekadar mengikut adat resam. Kita hendaklah menjadi seorang yang gemar memaafkan kesalahan orang lain kerana sifat ini adalah cermin bagi akhlak mulia dan ia dituntut syarak.

Sikap saling memaafkan adalah ciri-ciri perlu wujud di dalam masyarakat Islam demi untuk mengukuhkan perpaduan serta persaudaraan yang kian terhakis.

Tiada ulasan: