Translate

Followers

EZ Q

Rabu, 14 November 2007

Kemelut Dunia Islam, titik akhirnya di mana?

Kita wajarlah berasa gelisah memerhatikan perkembangan mutakhir dunia Islam kini. Gelisah pertama adalah hal yang dinyatakan hadis; Muslimin akan diserang dari pelbagai sudut walhal mereka ramai seperti buih di lautan. Ertinya di sini, mereka akan berdepan dengan ancaman oleh musuh daripada bukan Islam. Kegelisahan kedua berpunca daripada sikap gemar bertelingkah antara sesama sendiri. Hal ini ternyata lebih merumitkan. Kelemahan dalaman ini nantinya mengundang serangan luar yang ingin merosakkan Islam. Ketika Islam sendiri lemah daripada dalam, dengan mudah serangan luar memusnahkan mereka. Kaedah moden terkini dalam manjahanamkan Muslimin adalah mewujudkan pertelingkahan dengan mewujudkan gumpalan fenomena bernama Islamophobia, iaitu situasi di mana rasa takut kepada Islam dan Muslimin sedang dibina dan dipancarkan mesejnya oleh media Barat seperti CNN, Reuters, BBC dan lain-lain media bertaraf antarabangsa. Kedudukan mesej ini adalah sepertimana mesej pemerintah BN ke atas aktivis PAS di negara ini melalui siaran media yang dikawal mereka. Atau, seperti mesej hitam pekat yang dipancar oleh Idealis Mahasiswa dan Akhbar Mahasiswa ke atas promahasiswa (khasnya siswa Islam) saat berdepan dengan Aspirasi-Umno di universiti. Tiga contoh di atas adalah gambaran Islamophobia. Cuma ia berbeza dalam situasi berlainan. Kes pertama berlaku di pentas dunia, kedua di pentas Malaysia dan terakhirnya di universiti. Imej hitam pekat yang diwarnakan media ini seperti berhala Latta - Uzza dan lain-lain berhala kecil yang telah mengelilingi Kaabah sejak sekian lama. Peranan kaabah sebagai rumah ibadat telah ditenggelami kebanjiran amalan khurafat secara tak sengaja oleh penyair yang membaca syair di depan kaabah (berhala). Hal ini seakan serpihan amalan syirik seperti mana fatwa pengharaman amalan membacakan puisi di depan Tugu Negara yang tertegak di atasnya patung tentera, mirip berhala itu.Jadi, inilah kesan Islamophobia yang kesannya bukan hanya mengundang bencana ketakutan ke atas Non-Muslim ke atas Islam dan Muslimin, malah yang Islam pun turut terpalit, berasa takut dengan gambaran imej ganas tersebut. Malah, kesan paparan negatif ini akan mendatangkan kecelaruan pemikiran ke atas Muslimin sendiri sebagai yang dibentangkan – hal amalan khurafat membaca sajak di Tugu Negara itu.Islamophobia jelas merugikan Islam mutakhir ini, di mana umat Islam kelihatan lesu dalam usa ha membangunkan media-media yang boleh membantu bukan Islam dalam memahami Islam yang sebenar itu. Bukan sahaja Barat menghindari Islam, tidak terkecuali di Malaysia .
Timbalan Presiden Wadah Dr Muhammad Nur Manuty ketika membentangkan kertas kerja dalam persidangan kebangsaan pertubuhan Islam (Skima) di Kota Bharu 27-28 Oktober lalu turut berkongsi pendirian yang sama berhubung hal ini. "Di Kuala Lumpur telah ada profesional non-muslim yang telah ghairah membuka al-Qur'an untuk mempelajari Islam. Tetapi, mereka kata bahawa Islam yang mereka mahu bukan Islam Taliban," kata beliau. Adalah tidak adil dihukum Taliban begitu kerana mungkin lanskap politik memaksa golongan itu bertindak sedemikian. Tetapi, apa yang penting disampaikan di sini adalah sinaran negatif Islamophobia yang terpancar dari media Barat telah mengundang musibah ke atas kelancaran dakwah di Malaysia kini dan mungkin buat selama-lamanya jika kita tak ambil pusing peduli.
Gelisah kedua setelah Islamophobia, adalah kelemahan penguasa Islam sendiri khasnya OIC. Dan, kelemahan itu ada kaitan dengan sikap penguasa Islam yang gagal menyatukan di antara dua kumpulan Muslimin yang saling bertelagah, bersengketa dan berbalah sesama mereka.
Firman Allah s.w.t dalam al-Qur'an:- "Dan apabila dua kelompok Islam bermusuhan, maka damaikanlah dua pihak yang bertelagah itu." Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid dalam persidangan Skima menyebutkan bagaimana peritnya kemelut Pakistan yang makin menuju kehancuran. "Pakistan adalah ‘negara eksperimen’ bagi umat Islam. Daripada India terus berpecah kepada Pakistan dan kemudiannya berpisah dengan Bangladesh. "Kekacauan pada hari ini bukan saja melibatkan musuh daripada luar, malah musuh di dalam negara di mana pentadbirannya digerakkan oleh seorang diktator," kata beliau.
Maka, kekacauan dalam negara umat Islam kini banyak terdorong oleh faktor kekuasaan yang lemah yang berpunca daripada kekerasan pemerintah guna menghimpunkan ketaatan ke atas pihak penguasa semata-mata. Ibnu Khaldun dalam al-Mukaddimah menyebutkan bahawa kekerasan yang berlebihan bakal memudaratkan kedaulatan yang berkuasa dan boleh menyebabkan kehancurannya. Tumpuan rakyat bukan kepada hebat dan tampan si raja melainkan perhatian yang baik ke atas rakyat. Mantan Leftenan General (B) Talat Masood berkata Pervez Musharraf gagal memahami bahaya yang menantinya di sempadan dan bagaimana membawa rakyat Pakistan bersamanya untuk melawan ancaman yang disifatkan sebagai bermuara daripada Taliban dan al-Qaeda. "Bahaya paling besar ketika ini adalah seluruh bangsa Pakistan , termasuk ahli politik veteran negara ini yang seperti memberi kan gambaran bahawa perang ini bukanlah kehendak rakyat Pakistan sendiri," jelas Masood ketika mengulas isu darurat yang diisytiharkan baru-baru ini. Sementara itu, dalam penelitian yang dijalankan oleh International Republican Institute telah menunjukkan bahawa Pervez bukan pilihan utama Pakistan walaupun beliau menang dalam pilihan raya pada 6 Oktober lalu yang sebenarnya telah dipulaukan oleh pembangkang. Pervez mencapai 21 peratus undian berbanding Benazir mencatatkan peratusan undi 28% peratus Ini dilihat sebagai isyarat bahawa perpecahan masih wujud lagi walaupun Benazir dan Pervez dikatakan akan bergabung kuasa di dalam laporan lalu. Ini belum termasuk kehadiran Nawaz Shariff yang memegang watak ketiga sebagai mantan presiden negara berkenaan. Amerika pula dalam kenyataannya berasa 'sedih' yang dibuat-buat berhubung corak amalan demokrasi di Pakistan . Negara itu belum menawarkan formula untuk Pakistan kerana mahu mencampuri urusan pergolakan Turki , Iraq dan puak pemisah Kurdish baru-baru ini; sebuah lagi masalah sengketaa baru umat Islam.

Tiada ulasan: