Translate

Followers

EZ Q

Sabtu, 20 Oktober 2007

Puasa enam Syawal didik ummah

Oleh Drs Wan Aminurrashid

SELEPAS sebulan berpuasa, umat Islam menyambut kehadiran Syawal yang mulia sebagai hari kemenangan dengan penuh kesyukuran.

Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana berjaya menyelesaikan puasa Ramadan dan dapat merayakan Aidilfitri pada 1 Syawal dalam suasana kegembiraan.

Aidilfitri memang milik orang berpuasa kerana orang yang berpuasa sebulan Ramadan berdasarkan keimanan pasti akan merasai nikmat berhari raya berbanding mereka yang tidak berpuasa atau sengaja meninggalkan puasa.

Inilah agaknya nikmat dijanjikan Allah seperti sabda Nabi. "Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Allah nanti".

Berbuka ada dua makna, pertama berbuka ketika mendengar azan maghrib dan kedua ialah berhari raya kerana pada 1 Syawal, umat Islam tidak lagi berpuasa, malah diharamkan berpuasa.

Syawal bermaksud 'peningkatan'. Ini bermakna frekuensi ibadah umat Islam yang melaksanakan puasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan diharapkan semakin memperlihatkan peningkatan dari sudut kualiti amalnya sesudah Ramadan. Ini hal yang wajar.

Dengan latihan selama sebulan Ramadan itu, sudah pasti dapat dijadikan pelajaran yang sangat berfaedah.

Mukmin yang berjaya dengan baik dalam menghadapi dan menyelesaikan pendidikan dalam madrasah Ramadan akan lahir sebagai 'pemenang' iaitu pemenang pada hari Aidilfitri.

Aidilfitri itu hanya milik orang yang berpuasa pada Ramadan kerana mana mungkin kemenangan diberikan kepada mereka yang tidak melakukan perjuangan.

Sebab itu dalam usaha meningkatkan amalan yang berterusan selepas Ramadan, umat Islam sangat dianjurkan untuk terus berpuasa pada Syawal, tetapi cuma enam hari, yang lebih dikenali dengan puasa enam.

Allah SWT sebenarnya ingin menguji hamba-Nya iaitu apakah sanggup meneruskan puasa selepas sebulan Ramadan walaupun sekadar enam hari.

Allah memberi rangsangan kepada umat Islam yang berpuasa enam dengan ganjaran yang besar seperti sabda Nabi SAW bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh" (HR Muslim).

Hikmah atau rahsia puasa enam Syawal ini ialah untuk mendidik kesabaran kita, tidak menjadikan hari raya sebagai medan atau masa membalas dendam iaitu dengan makan makanan lazat sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa. Puasa enam juga bertujuan meredakan kesedihan kerana ditinggalkan Ramadan.

Selain itu, juga ialah untuk memberi kesempatan kepada tubuh untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh untuk menahan lapar dan dahaga. Sebab itu sangat diutamakan puasa enam Syawal itu bermula pada tanggal 2 Syawal, kerana pada saat itu sangat besar sekali godaan seperti makanan tersedia secara melimpah ruah pada waktu itu, termasuk ramai pula yang mengadakan rumah terbuka.

Matlamat puasa ialah melahirkan takwa. Maka selepas Ramadan berakhir, bukan bermakna berakhir pula suasana ketakwaan kita kepada Allah.

Selepas selesai menyambut kemenangan Aidilfitri bukan bermakna sudah selesainya kerja dan perjuangan kita.

Ada ulama pendapat, seseorang yang mahukan buah dari pokok yang ditanamnya, maka dia perlu merawat (menjaga) dengan cara menyiram hingga akarnya dapat diresapi air yang menyebabkan daunnya tidak kering dan layu.

Apabila pokok itu tidak disirami, maka daun dan batangnya akan layu dan kering, sementara buah yang diharapkan pasti tidak akan muncul.

Selepas umat Islam menyambut lebaran dengan segala kegembiraan, saling bermaaf-maafan diharapkan mereka tidak lagi melakukan kesalahan dan kejahatan pada hari berikutnya.

Seseorang itu benar-benar dilatih menerusi Ramadan dan ternyata latihan itu meninggalkan kesan positif dalam usaha membentuk insan muttakin.

Jadikan Syawal ini untuk menanamkan rasa keinsafan dan mempertingkatkan rasa keimanan.

Fahami konsep sebenar sambutan Aidilfitri menurut Islam, semoga kita tidak salah erti perayaan yang mulia ini hingga banyak berlaku hal yang melanggar tata susila ketika menyambutnya seperti sikap berlumba-lumba membuat persiapan hari raya hingga sampai ke tahap membazir dan berlaku perkara yang tidak diredai Allah.

Semoga jiwa kita menjadi bersih selepas Ramadan dan menjadi insan bertakwa di sisi Allah.

Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam
di Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Tiada ulasan: