Translate

Followers

EZ Q

Khamis, 6 September 2007

Langgar akidah, kerajaan digesa bertegas haramkan artis
Roy Rasul
Thu | Sep 06, 07 | 01:00:27 PM
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Hrkh) - Artis-artis tanah air sekarang jelas terikut-ikut dengan budaya Barat, sehingga sanggup melakukan adegan-adegan yang melanggar akidah dan adat ketimuran.

Pendakwah bebas, Ustaz Wan Akashah Wan Hamid berkata, benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Umat aku akan ikut jejak langkah mereka sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga mereka masuk ke lubang biawak sekali pun mereka akan masuk juga.

Sahabat bertanya: Siapa mereka Ya Rasulullah, Nabi s.a.w. menjawab, orang-orang Yahudi dan Nasrani.

Bertolak daripada hadis tersebut Ustaz Wan Akhasah berkata, adalah tidak cukup hanya sekadar memohon maaf di atas perlakuan buruk mereka itu.

"Apa yang perlu mereka kena bertaubat kepada Allah SWT kerana mereka melanggar hukum agama," katanya semasa dihubungi Harakahdaily semalam.

Sementara itu baru-baru ini seorang pengacara dan pelakon memohon maaf kepada rakyat negara ini dalam satu sidang media di atas ketelanjurannya bercumbu dengan dengan pelakon dan penyanyi popular Indonesia.

Pada awal tahun ini juga dalam sebuah rancangan terbitan TV3, seorang pelakon wanita turut memohon maaf di atas tindakan beliau menghina isteri Nabi s.a.w. dalam sebuah rancangan terbitan TV3, awal tahun ini,

Bahkan sebagaimana dilaporkan media ramai artis-artis kita yang tidak menghormati budaya dan agama umpamanya berkhalwat, mabuk, menagih dadah dan berpakaian tidak senonoh sehingga sanggup berkemban dan sebagainya.

Dalam pada itu Wan Akashah berkata, kerajaan juga perlu bertegas dalam masalah tersebut.

"Umpamanya haramkan mereka daripada muncul dalam rancangan-rancangan TV sama ada RTM, TV3, atau media lain," katanya.

Katanya, ini bagi memberi pengajaran kepada orang lain kerana kemungkinan ada perbuatan-perbuatan yang lebih teruk dilakukan mereka tetapi tidak diketahui masyarakat.

"Jika dibiarkan saja setakat memohon maaf tidak mustahil ia akan diikuti pelakon atau artis lain apabila mereka melakukan perkara sama.

"Justeru itu kerajaan perlu bertindak tegas ke atas mereka yang terbabit," tegasnya. - mks.

Tiada ulasan: