Translate

Followers

EZ Q

Khamis, 6 September 2007

MENJELANG KEMERDEKAAN VI: Dr Burhanuddin diiktiraf wira kemerdekaan


Jawatankuasa Khas National Convention tentang pilihan raya yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1953 dan turut disertai oleh PAS telah merumuskan beberapa cadangan tentang pilihan raya.

Antara cadangan penting dibuat dan disetujui oleh PAS adalah: pertama, “pilihan raya kebangsaan mesti diadakan dalam Persekutuan Tanah Melayu dan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada Ahli Majlis Mesyuarat Undangan Federal yang ditubuhkan menerusi pilihan raya itu hendaklah daripada ahli-ahli yang dipilih”; kedua, “pegawai kerajaan mesti jangan dilarang masuk bertanding dalam pilihan raya ini”; ketiga, “pilihan raya hendaklahlah menggunakan cara undi berdasarkan suara yang terbanyak...”; dan keempat, “pilihan raya Federal mesti diadakan selewat-lewatnya dalam bulan November 1954”.

PAS menolak cadangan jawatankuasa ini berkaitan hak mengundi untuk rakyat berasaskan jus soli seperti orang yang tinggal lebih lima tahun di Tanah Melayu dan rakyat British yang lahir di Singapura yang telah lima tahun tinggal di Tanah Melayu. Pendirian PAS ini telah ditegaskan dalam National Convention pada 11 Oktober 1953.

Pada 1 April 1954, Tunku Abdul Rahman dan TH Tan telah mewakili National Convention ke Pejabat Tanah Jajahan di London untuk berbincang tentang pilihan raya. Sebenarnya, persetujuan untuk mengadakan pilihan raya telah dibuat pada 6 Mei 1953 apabila British dan Raja-raja Melayu bersetuju untuk menggubal undang-undang tentang pilihan raya.

Kemudian pada 15 Julai 1953, Sir McGelivery mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Menyiasat soal pilihan raya. Jawatankuasa ini kemudian mengemukakan syor kepada Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pada 23 Jun 1954. Tunku Abdul Rahman mewakili National Convention mendesak supaya pilihan raya diadakan pada 1954, tetapi dipersetujui supaya tidak ada tarikh yang tetap bagi mengadakan pilihan raya ini.

British bersetuju pilihan raya diadakan pada 15 Jun 1955 dengan 52 orang ahli dipilih. Walaupun PAS menolak beberapa aspek yang dicadangkan oleh jawatankuasa khas tersebut, tetapi PAS menyokong kuat cadangan yang dibawa oleh rombongan Tunku Abdul Rahman untuk menuntut pilihan raya sebagai persediaan kemerdekaan, dan PAS disenaraikan sebagai salah satu parti yang menyokong cadangan pilihan raya ini.

Merdeka tulen: PAS beralih dari kanan ke kiri

Peralihan kepemimpinan PAS daripada Haji Ahmad Fuad, seorang penyokong Dato’ Onn kepada Dr Haji Abbas Alias, bekas ahli KMM telah mengubah sikap politik PAS dalam memperjuangkan kemerdekaan. Sebelum ini PAS mengambil langkah-langkah politik yang berbentuk kerjasama dengan British iaitu melalui rundingan. Penyertaan PAS dalam National Conference, National Convention dan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu menunjukkan PAS mengambil sikap bekerjasama atau berunding dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan.

Apabila Dr Haji Abbas Alias mengetuai PAS pada November 1953, PAS mulai memperlihatkan satu sikap yang lebih tegas dalam soal kemerdekaan. PAS tidak lagi bertolak ansur, lebih-lebih lagi apabila beberapa pandangan PAS berkaitan persiapan kemerdekaan ditolak oleh Umno dan National Convention. PAS mengambil sikap untuk tidak lagi bekerjasama dengan British dalam menuntut kemerdekaan yang berasaskan Islam.

Selepas keluar daripada National Conference pimpinan Dato’ Onn pada 26 September 1953, PAS cuba menyampaikan mesej merdekanya melalui National Convention pimpinan Tunku Abdul Rahman, tetapi ternyata gagal. Sikap Umno yang terlalu bertolak ansur dengan bangsa asing sehingga menjejaskan kepentingan orang Melayu Islam. PAS yang keluar daripada National Convention pada 25 Disember 1953 walau bagaimanapun mengambil sikap akan terus membuat kerjasama politik untuk “kemerdekaan Malaya”.

Apabila Tunku Abdul Rahman mula mendesak British untuk diadakan pilihan raya sebagai persiapan kemerdekaan pada 1954, PAS menyokong prinsip pilihan raya ini walaupun membantah beberapa cadangan National Convention berkaitan perkara itu. Bahkan, TH Tan menyenaraikan PAS sebagai salah satu parti yang menyokong cadangan pilihan raya ini.

Dalam suasana politik yang semakin hangat itu, PAS pada awal 1955 bertindak menyertai Kongres Pemuda Melayu (KPM), satu kongres yang dikuasai oleh ahli-ahli politik kiri yang sebelum ini bergiat dalam PKMM dan parti-parti Melayu yang lain.

Perubahan pendirian politik PAS dari kanan ke kiri dapat dilihat apabila Mesyuarat Agung PAS pada 12-14 Ogos 1954 bersetuju untuk meminda perlembagaannnya bagi menyekat pimpinan PAS terlibat dengan Umno. PAS bersetuju supaya “pegawai-pegawai Agung PAS hendaklah terdiri daripada orang-orang yang tidak menjadi pegawai atau ahli jawatankuasa di dalam mana-mana parti politik lain”. Ini dengan sendirinya melepaskan PAS daripada pengaruh Umno serta membolehkan PAS bergerak secara bebas dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Kerana pendirian tegas PAS ini, beberapa pemimpin PAS seperti Haji Ahmad Badawi, Haji Ahmad Maliki, Haji Abdullah Fahim, Haji Sulaiman Palestin, Haji Hussin Che Dol dan lain-lain memilih kekal bersama Umno dan meninggalkan PAS. Manakala beberapa ahli Umno seperti Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Zabidi Ali, Haji Mansur Hassan JP dan lain-lain kekal bersama PAS. Pendirian PAS pada 1954 ini sangat penting dalam sejarah perjuangan politik kemerdekaan kerana ia menjadi titik peralihan terhadap gerak kerja politik PAS.

Kongres Pemuda Melayu dan Barisan Kebangsaan Melayu

Pada November 1954, Semangat Pemuda Melayu, sebuah pertubuhan pemuda dari Pulau Pinang telah memutuskan untuk mengadakan Kongres Pemuda Melayu Se-Malaya setelah mendapat pandangan Dr Burhanuddin al-Helmy. Kongres ini kemudian diputuskan untuk diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada 8-10 April 1955. Kongres ini pada asasnya telah menghimpunkan semula tokoh-tokoh kiri yang sebelum ini berselerak kerana parti mereka diharamkan oleh penjajah.

Sejumlah 44 buah pertubuhan termasuk Parti Rakyat, PAS, Parti Negara, PMS serta bekas PKMM, API, PETA, GERAM telah menyertai kongres selama tiga hari ini yang dimulai dengan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin politik termasuk Dato’ Onn (Parti Negara), Dr Haji Abbas (PAS), Ishak Haji Mohamed, Dr Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain. Umno telah membuat keputusan memulaukan kongres ini kerana “perjuangan Umno dalam saat genting dan mempunyai tanggungan berat”. Mengikut agenda, kongres ini dibuka oleh YTM Raja Muda Selangor. Ketika kongres berlangsung, Dr Burhanuddin al-Helmy telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres.

PAS menyertai kongres ini dengan tujuan mencari satu dasar dan sikap tentang pilihan raya 1955 dengan menyatukan semua unsur politik Melayu kiri yang menolak beberapa asas pilihan raya yang cadangkan oleh Perikatan khususnya tentang hak mengundi jus soli. PAS diwakili oleh Ustaz Hassan Adli, Prof Zulkifli Mohamad dan Ustaz Zabidi Ali.

Kongres ini sebenarnya bertujuan untuk membincangkan bentuk kerajaan dan kedudukan politik orang Melayu dalam menghadapi kemerdekaan. Boleh dikatakan seluruh pertubuhan yang menyertai kongres ini menolak kerakyatan jus soli yang didukung oleh Umno. Firdaus Abdullah (1985) mengatakan “The Kongres Pemuda signified the reemergence of radical nationalist forces, once organized in API and MNP (PKMM)” . Dengan mendukung motto ‘Satu Bahasa, Satu Negara dan Satu Kebangsaan Melayu’, kongres ini bersetuju menerima resolusi berikut:

Membentuk satu negara Melayu dengan satu bahasa dan satu negeri dipanggil sebagai Melayu.
Menentang kehadiran pangkalan tentera asing di Tanah Melayu.
Menghantar wakil ke Persidangan Afro-Asia di Bandung.
Menolak prinsip kerakyatan jus soli kepada bangsa asing.
Mendesak kerajaan menubuhkan satu lembaga mengkaji keadaan ekonomi yang tidak seimbang antara orang Melayu dengan bangsa lain.
Mendesak kerajaan memperuntukkan 50 peratus hak melombong bijih timah kepada orang Melayu dan memberi bantuan kepada pekebun kecil kelapa.
Mendesak diadakan skim pembangunan tanah bagi memberi tanah kepada orang Melayu.
Kerajaan Persekutuan didesak supaya melantik seorang menteri yang bertanggungjawab kepada soal agama Islam.
Sebuah badan pengembangan agama Islam patut ditubuhkan bagi tujuan menubuhkan sekolah, seperti yang dibuat oleh pendakyah Kristian yang menubuhkan sekolah Inggeris sebagai satu alat pengembangan agama Kristian dan pendidikan.
Segala kewangan sekolah itu ditanggung oleh Majlis Agama Islam tiap-tiap negeri dalam Persekutuan.
Asas tuntutan Kongres Pemuda Melayu ialah kemerdekaan segera, kedaulatan Melayu dan hak ketuanan Melayu serta negara Melayu.

Pada akhir kongres ini, Kongres Pemuda Melayu telah bersetuju menubuhkan sebuah badan politik yang dinamakan Barisan Kebangsaan Melayu (BKM) untuk mewakili rakyat Tanah Melayu ke Persidangan Afro-Asia di Bandung pada bulan yang sama.

BKM dipimpin oleh Dr Burhanuddin sebagai Pengerusi, Ishak Haji Mohamed (Naib Pengerusi), Abdul Wahab Majid (Setiausaha), Dato’ Onn (Bendahari), Zulkifli Mohamed, Aminuddin Baki, Ali Haji Ahmad, Harun Aminurrashid dan Hassan Adli sebagai ahli-ahli jawatankuasa.

Dr Burhanuddin kemudian dipilih mewakili BKM ke Persidangan Afro-Asia di Bandung bersama-sama A Samad Ismail (wakil PETIR Singapura) dan Dr Ahmad Rahim (Kesatuan Melayu Singapura). Mereka bertiga bertindak sebagai pemerhati persidangan ini. Walaupun sekadar pemerhati, Dr Burhanuddin berjaya meletakkan nama BKM sebaris dengan pertubuhan lain dari seluruh dunia apabila berita BKM turut disiarkan oleh akhbar-akhbar Indonesia.

Serentak dengan persidangan ini, Dr Burhanuddin telah mengambil kesempatan untuk berhubungan dengan tokoh nasionalis Melayu, Ibrahim Haji Yaakub dan beberapa pertubuhan kemerdekaan Tanah Melayu yang bergerak di Indonesia seperti Liga Kemerdekaan Malaya pimpinan Mohd Mustaza, Kesatuan Malaya Merdeka pimpinan Ibrahim Haji Yaakub dan Perikatan Pemuda Tanah Air Malaya di Seberang Laut pimpinan Rabib Randi.

Menurut laporan Utusan Melayu, Dr Burhanuddin atas nama BKM bersama beberapa pertubuhan di Indonesia telah menubuhkan “Barisan Bersatu” untuk “menghapuskan Undang-undang Darurat di Malaya gunanya untuk mengembalikan keamanan di tanah air dan untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya yang penuh …”.

Dr Burhanuddin juga berkesempatan menemui Presiden Sukarno untuk membincangkan rancangan kemerdekaan Tanah Melayu. Dr Burhanuddin kemudian menyerahkan memorandum kepada Persidangan Afro-Asia untuk mendesak British memerdekakan Tanah Melayu. Memorandum ini mendapat respon daripada Perdana Menteri India, Pandit Nehru. Menurut Dr Burhanuddin:

“Memorandum itu mendesak Persidangan Afro-Asia supaya membuat keputusan menuntut kerajaan British menubuhkan dengan segera satu lembaga untuk memandu kemerdekaan negeri-negeri yang terjajah dengan secepatnya mengikut anggaran dasar demokrasi. Persidangan itu juga diminta menubuhkan satu badan tetap untuk mengawasi sikap-sikap mengikis penjajahan.”

Kepulangan Dr Burhanuddin daripada Indonesia kemudian disambut sebagai wira oleh penduduk Tanah Melayu kerana usaha beliau memperjuangkan kemerdekaan negara. Satu rancangan menyambut Dr Burhanuddin dibuat oleh Kesatuan Melayu Singapura dengan nasihat Ahmad Ibrahim, peguam terkenal di Singapura yang menjadi Ahli Jawatankuasa Agung PAS sejak 1953; Zulkifli Mohamed, Ahli Jawatankuasa Politik PAS dan A. Samad Ismail dari Utusan Melayu. Beberapa perhimpunan untuk mendengar laporan Dr Burhanuddin diadakan di Singapura dan Kuala Lumpur. Dr Burhanuddin memberitahu:

“Indonesia sokong kemerdekaan Malaya… parti-parti politik termasuk Masyumi memberikan sokongan moral terhadap perjuangan kemerdekaan Malaya.”

Ternyata penyertaan BKM yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin dalam Persidangan Afro-Asia telah menggugat pengaruh Umno sehingga Tunku Abdul Rahman terpaksa menyindir ahli Umno yang menyokong gagasan kemerdekaan Dr Burhanuddin.

“Siapa yang mahu ikut Dr Burhanuddin, sila,” sindir Tunku Abdul Rahman.

Tiada ulasan: