Translate

Followers

EZ Q

Khamis, 13 September 2007

Marhaban Ya Ramadhan ... Ramadhan Kareem ..

Ramadan mendidik jiwa

MUKADIMAH
“EH, Mat! kau tak puasa ke? Aku tengok asap berkepul-kepul keluar dari mulut kau.,” tegur Ali apabila melihat Ahmad merokok pada siang hari di bulan Ramadan.

“Opps.. kantoi aku! Eh Ali, kau jangan cerita kat orang ye.. Hari ni aku tak sihat sikit la..,” balas Ahmad.

“Tak sihat apanya aku tengok kau segar je.. Dah la.. Mat. Kita kan diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. Berdosa kita kalau tak laksanakannya. Bulan puasa ini sebenarnya peluang untuk kau berhenti merokok..,” jelas Ali pula.

“Iskk! Begitu menusuk kalbu ucapan kau tu.. Malu aku dengan perbuatan aku ni. Maaflah Ali, aku janji takkan ulang lagi. Terima kasih banyak-banyak kerana mengingatkan aku ye..,” luah Ahmad dengan keinsafan sambil memadamkan puntung rokoknya.

“Baguslah kalau begitu. Hmm, nampaknya waktu Zuhur pun dah masuk. Ayuh kita ke surau.”

“Jom!”

DIALOG itu mungkin kita akan temui setiap kali tibanya bulan Ramadan sama ada di dunia nyata ataupun sekadar skrip drama televisyen.

Bagaimanapun, benar-benar fahamkah kita mengenai ibadat puasa ini, selain daripada menahan diri dari lapar dan dahaga?

Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan atau memegang sesuatu. Makanala dari segi syarak pula, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Antara hikmah disyariatkan berpuasa adalah sebagai salah satu cara untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Allah yang memberi ganjaran pahala puasa kepada individu Muslim yang melaksanakannya.

Selain itu, melalui berpuasa juga kita dapat membentuk jiwa agar tidak mudah tunduk kepada tuntutan nafsu. Dengan memiliki nafsu yang terdidik, maka remaja akan lebih bersikap waras dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif.

Bagi remaja yang dilimpahi dengan nikmat kesenangan hidup, kewajipan berpuasa membolehkan kita merasai derita kelaparan. Justeru, pengalaman sedemikian mampu menjadikan remaja insaf serta membuang sikap sombong dan takbur dalam diri.


Persiapan Menyambut Ramadan

Menjelang Ramadan ini kita seharusnya sudah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Persediaan tersebut perlu kepada pencarian ilmu agar amal ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna serta penuh penghayatan.

Dari aspek persediaan minda, kita patut sudah menanamkan niat serta tekad untuk memanfaatkan bulan Ramadan dengan amalan sebaik mungkin. Dalam bulan ini kita harus berazam untuk merebut peluang melaksanakan pelbagai amalan soleh serta memohon keampunan daripada Allah.

Kita juga perlu menyedari akan perubahan gaya hidup pada bulan puasa ini. Oleh itu, adalah bermanfaat untuk kita mengkaji tentang pemakanan serta gaya hidup yang sesuai dalam melaksanakan ibadah puasa.

Syaitan Dibelenggu, Nafsu Jadi Seteru

Allah s.w.t. memudahkan urusan kita dengan membelenggu syaitan-syaitan daripada menghasut kita berbuat kejahatan pada ketika ini.

Namun kita juga harus menyedari bahawa kita juga dibekalkan dengan nafsu. Sekiranya sepanjang 11 bulan dalam setahun nafsu telah dibajai dan disuburi maka ditakuti dorongan nafsu mampu menghasut kita melakukan kejahatan pada bulan Ramadan. Justeru walaupun syaitan tidak lagi menghasut kita pada bulan Ramadan, namun peranan tersebut mungkin diambil alih oleh nafsu andai ia tidak dididik dengan sempurna selama ini.

Sebab itu, kita dapat melihat terdapat orang Islam yang masih tidak segan silu melakukan perkara yang membatalkan puasa pada siang Ramadan, seperti merokok atau makan dan minum. Terdapat segelintir pula mencemarkan kesucian malam Ramadan dengan pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita.

Situasi nafsu yang mencengkam itu boleh dianalogikan seperti sebuah keretapi yang bergerak dengan laju dengan muatan yang penuh. Apabila hendak dihentikan maka daya membrek yang amat kuat diperlukan. Sekiranya geseran yang dikenakan itu tidak cukup kuat, maka keretapi itu akan terus bergerak tanpa dapat dihentikan.

Justeru nafsu yang terlepas bebas juga bakal menjerumuskan remaja kepada malapetaka yang besar. Maka adalah penting untuk remaja berusaha mendidik nafsunya dan bulan puasa ini adalah peluang terbaik demi tujuan tersebut.

Remaja perlu ada cetusan untuk berubah ke arah kebaikan serta perlu sentiasa berdoa agar diberi kekuatan untuk melaksanakannya. Allah akan mempermudahkan jalan kebaikan bagi sesiapa yang berusaha untuk kembali ke jalan yang benar.

Ramadan Titik Permulaan Untuk Berubah

Ramadan yang mendatang ini sepatutnya disambut dengan pelbagai amalan yang mampu mendekatkan diri kita dengan Yang Maha Pencipta. Ia juga merupakan satu peluang keemasan untuk kita mentarbiyah diri agar menjadi insan yang lebih baik selepas Ramadan.

Seandainya ada remaja yang merokok, bulan puasa ini adalah peluang terbaik untuk berhenti merokok. Tuntutan berpuasa itu sendiri sememangnya merupakan latihan untuk remaja mengawal nafsu agar ia dapat dididik dengan sewajarnya.

Adalah diharapkan selepas Ramadan nanti bagi mereka yang berusaha untuk berhenti merokok tercapai atas asbab amalan berpuasa.

Pengisian masa juga perlu dirancang demi memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia ini. Aktiviti berunsurkan hiburan seharusnya dikurangkan dan digantikan dengan aktiviti lain yang lebih berfaedah seperti; beriktikaf di masjid, bertadarus al-Quran, solat tarawih dan sebagainya.

Pada sudut yang lain, terdapat pula sebilangan yang berpuasa tetapi tidur hampir sepanjang harinya untuk mengelakkan daripada berasa lapar atau dahaga. Mereka yang sedemikian pula tidak dapat merasai hikmah berpuasa yang datangnya daripada rasa lapar dan dahaga itu sendiri.

Untung Bazar Dijaga, Untung Tarawih Terpelihara

Bagi sesetengah pihak pula, kedatangan bulan Ramadan turut membawa bersama peluang perniagaan. Sebagai contoh, gerai-gerai yang menjual juadah berbuka puasa mendapat sambutan di kalangan umat Islam.

Sememangnya Islam tidak menghalang umatnya berniaga. Malah melalui berniaga makanan contohnya, ia dapat memenuhi tuntutan fardu kifayah terhadap mereka yang tidak dapat menyediakan juadah berbuka puasa. Namun persoalannya, pada masa yang sama, adakah peluang beribadat dapat dimanfaatkan sepenuhnya di samping merebut peluang perniagaan?

Seandainya kita menggunakan sepenuh tenaga untuk berniaga di bazar pada siang hari Ramadan, masih bertenagakah kita untuk menunaikan solat tarawih pada malam hari? Sebagai remaja Muslim kita perlu bijak menguruskan keupayaan diri agar ibadah malam Ramadan kita dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Kesimpulan

Ramadan ini sememangnya membawa seribu satu rahmat dan keberkatan kepada kita sebagai umat Islam. Dalam usia remaja inilah kita masih memiliki kekuatan tubuh badan serta minda yang bugar.

Remaja sebenarnya boleh menggunakan nikmat usia muda ini untuk melaksanakan amal ibadat khasnya dalam bulan Ramadan ini dengan lebih baik dari segi kualiti mahupun kuantiti.

Sekiranya remaja masih belum mengorak langkah untuk memanfaatkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, ayuh kita mulakan sekarang! Semoga kedatangan Ramadan ini dapat membolehkan kita menambahkan kebaikan serta mendapat keampunan Allah s.w.t.. Ahlan wa sahlan ya Ramadan!

Tiada ulasan: