Translate

Followers

EZ Q

Rabu, 2 Ogos 2006

Penyelesaian Yang Membosankan

Kita semua maklum bahawa krisis Palestin telah berlanjutan puluhan tahun. Peperangan demi peperangan, pembunuhan demi pembunuhan telah berlaku sehinggalah ke hari ini yang menyaksikan sekali lagi peristiwa berdarah melanda bumi yang menempatkan masjid ketiga suci di dalam Islam itu. PBB dan AS sering memainkan peranan penting di dalam merangka pelbagai pelan damai untuk menyelesaikan krisis Palestin. Terbukti, berbagai inisiatif perdamaian yang digagaskan (termasuk yang melibatkan negara-negara Arab) tidak pernah menghasilkan apa-apapun kecuali memperpanjangkan lagi krisis. Sebabnya, setiap inisiatif untuk menyelesaikan persoalan Palestin sering dilepaskan dari akar persoalannya, yakni penjajahan dan perampasan Israel ke atas wilayah Palestin. Bahkan berbagai jalan perdamian itu memang sengaja 'direka' agar krisis Palestin terus berlarutan demi kepentingan negara-negara Barat, khususnya AS, agar Timur Tengah tetap bergolak sehingga Barat dan AS terus boleh melakukan campurtangan di kawasan itu.
Liga Arab dan OIC, seperti biasa, hanya 'pintar' menghasilkan slogan demi slogan, resolusi demi resolusi yang sekadar kecaman dan seruan tidak bermakna. Lebih banyak 'bercakap' dari 'bertindak' menyelesaikan masalah. Para anggota Liga Arab yang mengadakan perjumpaan tergempar bagi membincangkan situasi di Asia Barat malah saling bertengkar mempersoalkan samada tindakan Hizbullah menawan dua orang tentera Israel sehingga membawa kepada serangan Israel ke atas Lebanon adalah tindakan yang sah. Mereka langsung tidak membincangkan bagaimana untuk menghadapi Israel atau sekurang-kurangnya mempersoalkan tindakan kejam Israel yang melakukan serangan ganas ke atas Lebanon, sebaliknya mereka menjadikan Hizbullah sebagai 'mangsa' kesalahan.
Apa yang lebih menyedihkan, kaum Muslimin (terutamanya para pemimpin) hanya menganggap Palestin sebagai masalah bangsa Palestin atau masalah bangsa Arab sahaja. Inilah manifestasi dari pemikiran kufur yang ada pada mereka, menganggap peperangan di Palestin adalah masalah rakyat Palestin. Kerana apa?? Kerana setiap negara kaum Muslimin adalah negara yang berdaulat? Kerana semuanya ada sempadan sendiri? Kerana masing-masing memerintah negara masing-masing? Kerana sempadan geografi mesti dihormati dan dijaga? Masing-masing menyelesaikan masalah masing-masing, jangan campurtangan urusan negara lain? Kerana masing-masing adalah negara berkecuali? Wahai kaum Muslimin!! Inilah pemikiran kufur yang masih menebal dalam para pemimpin dan sebahagian kaum Muslimin!!! Sempadan negara (yang hanya dilakar oleh Barat) yang wajib dihapuskan malah dijaga dan dipertahankan. Darah saudara seagama yang wajib dibela malah dibiarkan. Tentera yang ada di dalam negara 'dimandulkan', hanya semata-mata kerana sempadan geografi!!
Kelompok berpemikiran liberal dan sekular pula menyatakan bahawa ini bukanlah peperangan yang melibatkan agama, tetapi ia adalah pencerobohan terhadap Hak Asasi Manusia. Oleh itu, langkah fizikal diambil dengan membuat gerakan keamanan antarabangsa bagi menimbulkan kesedaran masyarakat, melaungkan Hak Asasi Manusia, mengharap dunia mengembalikan keamanan rantau berkenaan serta menyeru dan menggesa PBB untuk campurtangan dan mengembalikan keamanan sejagat.
Ada pula yang sudah putus harapan dengan PBB (mungkin buat seketika). Mereka menyeru agar umat Islam bersatu menentang pencerobohan Israel. Laungan penyatuan umat Islam bergema di mana-mana, baik oleh rakyat mahupun pemimpin, demi untuk menyelamatkan Palestin dan Lebanon. Namun, persoalannya ialah penyatuan bagaimanakah yang diinginkan? Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengajak umat Islam seluruh dunia bersatu membangunkan kekuatan ummah setelah melihat PBB yang sepatutnya berupaya mempertahankan mereka di masa krisis, gagal dan tidak bermaya berbuat demikian. Oleh sebab pertubuhan dunia itu tidak mampu, sudah tiba masanya umat Islam dan negara Islam bersatu, katanya [Utusan 25/07/06].
Mengenai kekuatan yang dimaksudkan beliau itu, katanya, Islam telah menetapkan asas yang kukuh untuk membangunkan kekuatan umat dan ekonomi, sambil memberi contoh mengenai sumber alam yang banyak dan kepelbagaian bangsa penganutnya, yang seharusnya memberi nikmat kesepakatan dan persamaan serta kerjasama. Beliau memberi contoh Indonesia dan Malaysia sebagai dua negara yang mempunyai majoriti umat Islam yang dianugerahkan kekayaan kelapa sawit sebagai satu hasil buminya, yang boleh dimanfaatkan untuk membina kemakmuran dan kekuatan negara. Kelapa sawit kini berhasil diproses menjadi bio-diesel sebagai sumber tenaga baru yang menjadi alternatif kepada minyak yang diperlukan seluruh dunia, katanya, sambil mengajak kedua-dua negara berganding bahu memajukan penemuan itu dan menggembleng sumber untuk pengeluaran bio-diesel [Utusan 25/07/06].
Wahai kaum Muslimin yang dikurniakan Allah dengan pemikiran yang waras!! Fikirkanlah dengan penuh kesedaran dan buatlah keputusan sendiri akan nilai 'laungan penyatuan' oleh Perdana Menteri di dalam menjawab persoalan krisis di Palestin dan Lebanon!!!!!
Ada juga sebahagian dari umat Islam yang ikhlas, tetapi gagal melihat cara penyelesaian yang sebenar. Mereka berkata, "Kekuatan Islam ialah doa. Oleh itu, kami menyeru semua umat Islam berdoa agar kesengsaraan rakyat Palestin dan Lebanon sekarang berakhir segera. Itu saja yang mampu kita lakukan,". Perkataan seumpama ini juga pernah kedengaran suatu ketika dulu semasa AS menyerang dan membunuh umat Islam di Afghanistan dan juga Iraq.
Benar, kita digalakkan berdoa dan doa adalah satu ibadat. Ia dapat memperdekatkan lagi kesedaran akan hubungan kita dengan Allah. Walau bagaimanapun kita wajib memahami dan mengkaji setiap masalah agar dapat memberikan penyelesaian yang sebenar menurut Islam. Sebagai contoh, kita faham bahawa rezeki di tangan Allah, tetapi kita tidak boleh hanya berdoa dan menunggu rezeki datang dari langit. Kita wajib berusaha untuk mendapatkannya. Begitu juga dengan seorang pelajar yang malas dan selalu merosot pelajarannya, tidak akan berjaya dengan hanya menadah tangan berdoa agar Allah menurunkan kejayaan kepadanya. Dia wajib berusaha dan ini harus diiringi dengan doa. Setiap kali darah umat Islam tertumpah, Rasulullah tidak pernah hanya berdoa dan berdiam diri mengharapkan pertolongan Allah ke atas kaum Muslimin. Rasulullah akan terus mengambil tindakan fizikal (ketenteraan) untuk memerangi siapa sahaja yang memerangi umat Islam. Dalam masa yang sama baginda berdoa agar Allah menurunkan kemenanganNya bagi kaum Muslimin.

Tiada ulasan: