Translate

Followers

EZ Q

Jumaat, 15 Jun 2012

BELIA DAMBAAN AGAMA


Islam adalah agama yang sangat memuliakan para pemuda dan belia. Al-Quran banyak menceritakan kisah perjuangan para Nabi dan Rasul AS yang kesemuanya adalah orang-orang terpilih daripada kalangan pemuda dan belia. Ibnu Abbas RA pernah berkata: Tidak ada seorang nabi pun yang diutus Allah, melainkan ia dipilih di kalangan pemuda sahaja (yakni 30-40 tahun). 

Begitu pula tidak ada seorang 'Alim pun yang diberi ilmu, melainkan ia (hanya) dari kalangan pemuda. Al-Quran telah merakamkan kisah Nabi Allah Ibrahim AS yang telah berdebat dengan kaumnya serta menentang peribadatan mereka yang salah ketika beliau diawal usia belia. Firman Allah SWT di dalam al-Anbiya' ayat 51- 56Bermaksud: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu hidayah kebenarannya, dan Kami adalah mengetahui akan hal keadaannya. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya? 

Mereka menjawab: Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ia berkata: Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata. Mereka bertanya: Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar sebagai seorang Rasul, atau engkau dari orang yang bermain-main sahaja? Ia menjawab: bahkan Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dialah yang menciptakannya; dan aku adalah dari orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu."

Junjungan kita Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul ketika Baginda berumur 40 tahun. Pengikut-pengikut Baginda yang membentuk generasi pertama Islam kebanyakkannya juga terdiri daripada kalangan pemuda, bahkan ada yang masih kecil. Yang paling muda ketika itu Ali bin Abi Thalib dan az-Zubair bin al-Awwam yang baru berusia 8 tahun, manakala yang termasuk dalam usia belia seperti Ja'far bin Abi Thalib yang berusia 18 tahun, Qudaamah bin Abi Mazh'un berusia 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib ar Rumi berusia dibawah 20 tahun, 'Aamir bin Fahirah 23 tahun, Mush'ab bin 'Umair dan al Miqdad bin al Aswad berusia 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun, Umar bin al Khathab 26 tahun dan ramai lagi yang berusia di sekitar 30 tahun.

Malah terdapat ratusan ribu lagi para pejuang Islam yang terdiri daripada golongan pemuda dan belia. Mereka memperjuangkan dakwah Islam dan menjadi pembawa panji-panji Islam di zaman Rasulullah SAW ataupun sesudah itu. Usamah bin Zaid ketika dilantik oleh Nabi SAW sebagai Panglima untuk memimpin pasukan kaum muslimin memasuki wilayah Syam dalam usia 18 tahun. Padahal diantara anggota pasukannya terdapat orang yang lebih tua seperti Abu Bakar, Umar bin Khathab dan lain-lainnya.

Demikianlah gambaran sepintas lalu kehebatan generasi muda/belia Islam pada masa silam sehinggakan ada di antara kisah perjuangan mereka dirakamkan oleh Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran. Diantara ada sebahagiannya tergolong sebagai Rasul dan Nabi dan ada yang tergolong dalam kategori orang biasa. Masing-masing telah menggalas tanggungjawab dengan penuh adil dan amanah. Negara sangat mendambakan munculnya generasi belia yang memiliki kekuatan sama seperti yang pernah dilahirkan dalam sejarah ketamadunan umat pada masa silam.

 Generasi belia yang memiliki kekuatan semangat dan daya juang yang tinggi, luas penguasaan ilmu serta berkeupayaan untuk memimpin anggota masyarakat. Dengan memiliki eleman-eleman ini, mereka diharap dapat memainkan peranan sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara dan ummah. Transformasi membawa maksud perubahan bentuk (sifat, rupa atau keadaan). 

Dalam erti kata yang lain, ia merupakan proses peralihan dari satu dimensi ke satu dimensi yang lain, daripada keadaan senario sedia ada yang sudah berlegar di ruang pemikiran ke satu ruang yang lain, lebih baik atau lebih sempurna. Dalam konteks negara kita, agenda transformasi yang merangkumi transformasi ekonomi, sosial, pendidikan, sektor awam serta lainnya telah dan sedang digerakkan bagi merealisasikan wawasan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 nanti.

Tiada ulasan: