Translate

Followers

EZ Q

Jumaat, 19 Jun 2009

BILA NAFAS TERHENTI SEKETIKA ..

OBSTRUCTIVE Sleep Apnea (OSA) atau nafas terhenti semasa tidur untuk beberapa ketika (beberapa saat hingga melebihi satu minit) merupakan gangguan tidur yang paling lazim berlaku di seluruh dunia. Masalah ini berlaku kerana saluran pernafasan yang tersekat sementara.

OSA bukan sahaja boleh memberi impak negatif terhadap kualiti kehidupan dan produktiviti seseorang, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, serangan jantung, angin ahmar, peningkatan berat badan, mengurangkan kadar hayat dan mengurangkan fungsi imun serta lain-lain penyakit.

Bagaimanapun ramai yang tidak mengendahkan gangguan berkenaan lalu membiarkannya tanpa mendapatkan diagnosis perubatan. Ini kerana mereka menganggap gangguan itu adalah suatu yang tidak membawa musibah kepada tubuh atau kehidupan.

Itu adalah tanggapan yang salah. Sekiranya seseorang individu itu mempunyai simptom-simptom seperti berdengkur dengan kuat dan amat mengganggu, tercunggap-cunggap mencari udara atau tersedak semasa tidur dan terasa amat mengantuk pada siang hari, maka mereka telah pun 'dijangkiti' OSA.

Naib Presiden Philips Asia Pacific Home Healthcare Solutions, Peter White berkata, tempoh dan kualiti tidur orang ramai menurun disebabkan perubahan gaya hidup yang berlaku, tekanan kerja, kebimbangan kewangan atau diet yang lemah.

''Kesan-kesan daripada tidak cukup tidur mempunyai impak ekonomi yang besar, selain daripada penurunan produktiviti yang ketara. Keadaan mereka yang tidak stabil ini turut boleh mengakibatkan kemalangan industri mahupun jalan raya.

''Kekurangan tidur juga boleh mengakibatkan pertambahan berat badan, diabetes, tekanan darah tinggi dan juga serangan jantung,'' katanya ketika menyampaikan ceramah Understanding OSA baru-baru ini.

Menurut White, OSA juga sangat berkaitan dengan darah tinggi. Sebanyak 40 peratus pesakit OSA menghidap darah tinggi sementara 30 hingga 50 peratus pesakit darah tinggi mengalami OSA.

''Mekanisme dalam OSA juga memain peranan dalam menyebabkan serangan jantung. Kaitannya sungguh mudah, seseorang yang mempunyai masalah OSA akan mendapat diabetes. Manakala 2/3 pesakit diabetes mati akibat daripada serangan jantung dan strok.

''Tidak ketinggalan juga pesakit OSA mempunyai risiko komplikasi berkaitan dengan anestesia,'' katanya.

Justeru itu, katanya, seseorang yang mengalami OSA akan didiagnosis dengan pemeriksaan fizikal, sejarah serta soal jawab mengenai tidur atau simptom yang berlaku semasa siang dan masalah tidur.

''Selalunya pesakit OSA akan diperiksa sekiranya mempunyai simptom seperti tidur yang letih, darah tinggi, leher yang panjang iaitu 43 cm untuk lelaki dan 41 cm untuk wanita, mempunyai rahang yang kecil dan menghidap diabetes,'' ujarnya.

OSA boleh dengan mudah didiagnosis oleh doktor yang menilai aduan dan simptom pesakit. Jika gangguan tidur yang disyaki, pesakit akan dirujuk kepada kajian diagnostik tidur dikenali sebagaiPolysomnogram atau PSG bagi mengesahkan bentuk dan tahap serius gangguan tidur, serta rawatan yang sewajarnya diambil.

Sebaik sahaja OSA dikenalpasti sebagai punca aduan dan simptom pesakit, ia selalunya boleh dirawat secara berkesan dengan terapi Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP) iaitu kaedah rawatan yang lebih digemari untuk OSA.

CPAP memberikan aliran lembut tekanan udara menerusi saluran lubang hidup menggunakan topeng menggelakkan saluran udara daripada tumbang bagi membolehkan pesakit OSA bernafas bebas semasa tidur. Peralatan CPAP dilengkapi dengan pelbagai ciri untuk meningkatkan keselesaan pesakit semasa terapi.

Kebaikan CPAP berbanding dengan rawatan biasa meminimumkan kesan OSA, meningkatkan tenaga dan perhatian semasa siang, menurunkan tekanan darah, mengurangkan risiko strok dan serangan jantung serta meningkatkan kualiti hidup.

Sementara itu, Presiden Persatuan Masalah Tidur Malaysia (SDSM), Prof. Dr. Syed Hassan Ahmad memberitahu individu-individu dengan OSA adalah dua atau tiga kali lebih tinggi untuk menghidap hipertensi dan juga meningkatkan risiko serangan jantung berbanding mereka yang tanpa OSA.

Kajian-kajian lanjut telah menunjukkan bahawa diabetes jenis dua lebih kerap berlaku pada pesakit dengan pernafasan gangguan tidur yang bebas daripada faktor-faktor lain.

''Di Malaysia, peningkatan usia, obes, merokok dan penggunaan sedatif adalah dikaitkan dengan dengkur yang merupakan simptom OSA. Kumpulan etnik Cina dan India jua berisiko lebih tinggi berbanding Melayu,'' katanya.

Tiada ulasan: