Translate

Followers

EZ Q

Rabu, 3 Jun 2009

ALTERNATIVE RIDING CLUB SILA AMBIL PERHATIAN

KELUARGA bermasalah, mempunyai dua personaliti berbeza dan tidak patriotik. Inilah 'jiwa' mat rempit yang menjerumuskan mereka ke kancah masalah sosial, termasuk samseng jalan raya dan peragut.

Malah isu mat rempit yang lebih dikenali mat motor dan bohjan sebelum ini, seakan-akan tiada penghujungnya selagi masih ada peluang bagi anak muda ini menjadi ‘raja’ di jalan raya.

Ini diakui sendiri bekas mat rempit yang sudah insaf dan menjadi Presiden RD Club Malaysia, Azhanyzam Zakaria, 33.

RD Club yang ditubuhkan pada 1997, menghimpunkan pemilik motosikal yang mempunyai minat yang sama, selain mengelak gejala kurang baik, termasuk berlumba haram.

“Kira-kira 90 peratus belia yang terbabit dalam gejala merempit adalah mereka yang mempunyai masalah keluarga, selain tinggal di rumah yang sempit. Jiwa belia yang agresif pula memang sukar dikawal menyebabkan mereka lebih suka melepak di luar rumah.

“Ada yang tidak selesa dengan keadaan rumah sempit seperti rumah pangsa yang mempunyai satu atau dua bilik, menyebabkan mereka suka menumpang di rumah kawan. Ini menyebabkan mereka bebas keluar sehingga ke awal pagi kerana tiada siapa pun yang melarang,” katanya yang mengakui menjadi mat rempit sejak berusia 14 tahun.

“Ada juga kalangan mat rempit ini mempunyai krisis personaliti. Jika di rumah mereka berlagak baik tetapi apabila berada di luar, merekalah raja,” katanya.

Beliau berkata, biarpun mat rempit itu mewakili pelbagai kaum, tetapi majoritinya Melayu, diikuti kaum India.

“Masalahnya, satu pertiga daripada belia Melayu yang bergelar mat rempit adalah anak pendatang asing yang memiliki kad pengenalan merah. Begitu juga dengan minah rempit.

“Atas alasan inilah saya berani katakan sebahagian mereka ini seperti tiada semangat patriotik sehinggakan sanggup mencalar maruah dan keselamatan diri semata-mata untuk mencari kepuasan sementara,” katanya.

Azhanyzam berkata, tidak sukar mengenali mat rempit kerana kebiasaannya mereka lebih gemar menunggang motosikal Yamaha RXZ yang boleh dianggap motosikal rasmi kumpulan itu, selain Modenas Lagenda. Motosikal Yamaha RXS dan jipang pula menjadi pilihan mat rempit belasan tahun dulu.

Pengubahsuai pada bahagian enjin dan ekzos menjadi kemestian mat rempit kerana ia didakwa dapat menambah kuasa dan kelantangan bunyi ketika pedal minyak dipulas.

“Identiti motosikal milik mat rempit boleh diperhatikan pada plat motosikal bertampal pelekat hitam, nombor pendaftaran yang tidak lengkap atau nombor yang diterbalik bertujuan mengelak dikesan polis ketika berlumba haram,” katanya.

Azhanyzam memberikan contoh mengenai aktiviti mat rempit pada 1980-an yang disifatkannya tidak ganas kerana mempunyai pilihan beraksi di Litar Batu Tiga Shah Alam.

“Ketika itu, jika ada 1,000 mat rempit yang keluar pada malam minggu, mungkin separuh daripadanya lebih suka melepaskan gian berlumba di Litar Shah Alam kerana jika kelengkapan berlumba lengkap, mereka hanya perlu membayar RM10 untuk masuk,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan sekarang berbeza dan beliau berasakan perlu ada pendekatan lebih menarik untuk golongan mat rempit.

“Soalnya sekarang, jangan disogok mat rempit dengan aktiviti sukan seperti bola sepak atau pertandingan catur. Sudah pasti mereka tidak mahu kerana jiwa mereka hanya untuk aktiviti bermotor saja.

“Saranan saya kepada kerajaan supaya diwujudkan satu trek khas untuk mereka berlumba kerana mungkin ia dapat membantu mengurangkan gejala rempit ini. Selain itu, filem berkaitan mat rempit juga harus diselitkan unsur pengajaran kerana saya lihat banyak filem sebegitu lebih bersifat komersial tanpa ada sebarang teladan,” katanya.

Malah beliau menyifatkan mat rempit turut menyumbang kepada gejala sosial lain seperti ragut, rompak, rogol dan gejala samseng harus ditangani kerajaan dan masyarakat secara bijak.

Baginya, biarpun pernah bergelar mat rempit, beliau dan rakan-rakannya di RD Club cuba membantu dengan menawarkan alternatif kepada ahlinya dengan aktiviti sihat seperti konvoi bermotosikal secara selamat.

“Program dijalankan kebiasaannya bertujuan untuk menyemarakkan kempen tertentu seperti kempen lumba haram, jauhi dadah, banteras mat rempit dan isu semasa seperti bantuan untuk Palestin dan kembara mencari kanak-kanak yang hilang,” katanya.

Tiada ulasan: