Translate

Followers

EZ Q

Jumaat, 20 Mac 2009

Program riadah pelajar perlu utama keselamatan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa kementerian dan penganjur program pelancongan dalam negara, khusus membabitkan pelajar supaya memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan komunikasi. Perdana Menteri berkata, selain tapak perkhemahan dan asrama, perjalanan program yang dirangka untuk generasi masa depan negara itu perlu dilengkapkan dengan kehadiran pihak yang mahir dalam kegiatan lasak seperti mendaki bukit dan meredah hutan.

Beliau berkata, bagi memastikan perkara itu menjadi kenyataan, beberapa kementerian termasuk Kementerian Pelancongan dan Kementerian Belia dan Sukan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perkara itu. "Aspek keselamatan wajar diberi keutamaan bagi memastikan ibu bapa lebih yakin untuk membenarkan anak mereka menyertai sebarang program pelancongan yang dianjurkan khusus untuk pelajar. "Lebih baik lagi jika lokasi program turut dilengkapkan dengan kemudahan komunikasi bagi memudahkan anak berhubung dengan ibu bapa mereka dan sebaliknya supaya tidak ada yang bimbang," katanya pada majlis pelancaran kempen 'Kami Anak Malaysia' di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam di sini, semalam.

Diilhamkan oleh Kementerian Pelancongan, kempen 'Kami Anak Malaysia' ini dirangka untuk memberi penekanan terhadap semangat berpasukan dan kerjasama di kalangan remaja, selain landasan integrasi terbaik kepada generasi muda. Kempen itu bertujuan menggalakkan penyertaan aktif golongan remaja dalam aktiviti pelancongan selain memupuk minat untuk meneroka keindahan alam semula jadi negara, keunikan warisan budaya dan nilai masyarakat menerusi 601 kelab pelancongan di sekolah seluruh negara. Turut hadir Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom. Perdana Menteri juga memberi contoh di Jepun yang mana pihak berwajib negara itu menyediakan kawasan luas khusus untuk golongan muda menjalankan kegiatan riadah pada hujung minggu.

Sementara itu, Azalina dalam ucapannya, berkata kementerian itu menampilkan lagu tema khas kempen 'Kami Anak Malaysia' dalam Bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil, Inggeris, Iban dan Kadazan bagi menarik generasi muda dari semua lapisan masyarakat menyertai kempen itu.

Tiada ulasan: