Translate

Followers

EZ Q

Selasa, 24 Februari 2009

Gelombang Memperkasa Bahasa Kebangsaan

MATLAMAT akhir gelombang baru gerakan Memperkasa Bahasa Kebangsaan adalah untuk melahirkan generasi masa depan Bangsa Malaysia yang berbangga dengan bahasa yang menjadi identiti mereka, mempunyai kefasihan yang tinggi dalam bahasa ini, sedia memberikan penghormatan dan kedudukan yang sewajarnya kepadanya serta gem­bira mempromosikannya di mana sahaja mereka berada di dalam dunia.

Selain dari usaha untuk memupuk semangat kecintaan terhadap bahasa Melayu, usaha ju­ga akan diteruskan bagi memperkukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi moden. Bagaimanapun hasrat ini su­kar dicapai jika tidak ada koordinasi antara penggerak uta­manya. Justeru, bagi memastikan koordinasi antara peng­gerak-penggerak utama ba­hasa Melayu di dalam negara, pada tahun 2005, dua buah jawatankuasa telah dibentuk dan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pelajaran, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dan Menteri Penerangan, iaitu Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan dan Jawatankuasa Induk Penggerak Dasar Buku Negara (DBN).

Bagi memastikan Jawatan­kuasa Induk Penggerak DBN pu­la berupaya melaksanakan tu­gas untuk merancakkan industri penerbitan dan perbukuan di dalam negara, lima buah jawatankuasa kerja telah dibentuk, iaitu: Jawatankuasa Kerja Pembentukan Dasar, Akta, Organisasi dan Amalan Profesional, Jawatankuasa Kerja Pembangunan Modal Insan Industri Penerbitan dan Perbukuan, Jawatankuasa Kerja Penggalakan Minat Membaca dan Pembangunan Perpustakaan Komuniti, Jawatankuasa Kerja Pembangunan dan Penggalakan Industri Penterjemahan, Jawatankuasa Kerja Promosi, Penjenamaan, Pengiktirafan dan Pemasaran.

Setiap jawatankuasa ini dianggotai oleh pihak berkepentingan dalam perjuangan bahasa Melayu, di dalam dan di luar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan ini, diharapkan agar mereka bukan sahaja dapat memberikan idea tentang langkah-langkah yang perlu dilaksanakan bagi memperkasa bahasa kebangsaan, tetapi mereka juga diharapkan dapat membantu melaksanakan setiap langkah yang mereka cadangkan.Peranan yang perlu dimain­kan oleh jawatankuasa-jawa­tan­kuasa ini adalah se­­ba­gai tambahan kepada tugas-tugas yang perlu dilaksanakan oleh agensi-agensi utama.seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Salah satu langkah paling penting yang telah diambil oleh KPM bagi menggerakkan gelombang baru gerakan memperkasa Bahasa Kebangsaan, ialah dengan menyenaraikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) sebagai salah satu perayaan utama KPM. Dengan menaikkan taraf dan kedudukannya, BBSN diharapkan dapat membawa kesan dan erti yang lebih besar kepada bukan sahaja warga DBP dan KPM, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang berbilang keturunan. Dalam BBSN 2008, pelajar asing di enam buah IPTS sekitar Lembah Kelang telah dilibatkan dengan aktiviti Sayembara Deklamasi Puisi Antarabangsa Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Melayu Lim Kok Wing University London.

KPM melalui DBP telah terlibat melaksanakan Program Penghayatan Sastera dan Budaya dalam Program Latihan Khidmat Negara, bermula sejak tahun 2006, melibatkan seramai 80,000 peserta dan 900 fasilitator setiap tahun. Dalam tahun 2009, satu bahagian khusus iaitu Bahagian Pengembangan Sastera Pelbagai Kaum ditubuhkan di DBP bagi menyemarakkan program pemerkasaan sastera dalam kalangan khalayak pelbagai kaum. KPM juga telah berjaya mengetengahkan penulis tempatan ke peringkat antarabangsa. Langkah mengantarabangsakan karya tempatan, seperti yang diusahakan oleh ITNM dan MBKM ketika ini secara tidak langsung akan turut sama mengantarabangsakan bahasa serta budaya Melayu dan Bangsa Malaysia.

Di Pesta Buku Frankfurt 2008, hasil kreativiti Datuk Lat, Kampung Boy terbukti telah berjaya menembusi pasaran sembilan negara dalam sembilan bahasa. Melalui ITNM juga, projek penterjemahan 100 karya sastera kini sedang giat dilaksanakan di bawah PIPP. Sehingga kini, 30 peratus daripadanya telah sempurna diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dan dijangka projek ini akan siap sepenuhnya menjelang 2010.

Akta DBP juga akan dipinda bagi memberikan kuasa penguatkuasaan kepada DBP. Cadangan pindaan akta ini akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2009 ini dan dengan pindaan tersebut, usaha-usaha bagi memperkasakan bahasa kebangsaan akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Tiada ulasan: