Translate

Followers

EZ Q

Ahad, 28 Disember 2008

Kaum Ibu Yang Berani -Malaysiakini

Dewan Muslimat PAS Pusat telah menggerakkan jenteranya untuk mengembeling tenaga bagi membantu pilihan raya kecil di Kuala Terengganu. Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh menegaskan pihaknya telah menyusun tenaga Muslimat di seluruh Terengganu dan dari negeri-negeri lain. Ini termasuk pimpinan tertinggi Dewan Muslimat yang sudah berkampung di Kuala Terengganu.

Sehingga kini katanya, golongan Muslimat ini telah mula bergerak dari rumah ke rumah bagi memberi penerangan khususnya kepada golongan wanita.

"Sekarang ini kita telah mengadakan empat siri ceramah kelompok. Di samping itu kita juga mengadakan program untuk remaja wanita. Selain tenaga tempatan, kami telah meminta Muslimat di setiap negeri menghantar tenaga muslimat daripada setiap kawasan sebagai petugas tetap untuk tempoh tertentu secara bergilir-gilir.

"Saya juga mengharapkan petugas-petugas kita di samping menjalankan tugas, jangan lupa terus menerus berdoa kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hati kepada pengundi-pengundi untuk memberi peluang kepada PAS. Saya melihat peluang untuk PAS menang amat cerah," katanya sewaktu dihubungi Harakhdaily.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Nuridah turut mengulas mengenai cabaran Presiden MCA, Dato' Seri Ong Tee Keat kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya memboikot pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu.

Nuridah berpendapat cabaran tersebut tentunya dikaitkan dengan pendirian Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa yang mengulangi ketegasan PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud jika Pakatan Rakyat diberikan peluang untuk menerajui negara pada satu masa nanti.

Nuridah menasihatkan DAP supaya tidak melayan cabaran Presiden MCA itu yang disifatkan beliau tidak relevan sama sekali.

"Mungkin Ong Tee Keat tidak memahami bahawa hukum Hudud diturunkan oleh Allah untuk digunapakai terhadap orang Islam sahaja dan orang bukan Islam tidak perlu gusar sekiranya hukum tersebut dilaksanakan. Ini kerana mereka tidak akan terlibat sama sekali dengan perlaksanaan hukum tersebut," katanya.

Tegasnya, momokan seperti yang dialami oleh Tee Kiat ini adalah hasil daripada tindakan Barisan Nasional selama ini yang cukup berjaya menyembunyikan kebenaran yang mana mereka berasa bimbang sekiranya orang bukan Islam faham akan hakikat turunnya Hukum Hudud ini, sudah tentulah mereka tidak akan berasa bimbang untuk menyokong PAS.

"Kecelaruan Ong ini bukanlah perkara yang asing bagi PAS kerana bukan sahaja beliau bahkan masih ramai orang bukan Islam yang tidak mendapat maklumat sebenar berkenaan agama Islam dan ajarannya yang syumul itu," katanya.

Sehubungan itu katanya, PAS khususnya Dewan Muslimat PAS akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan orang bukan Islam mendapat maklumat yang tepat berkenaan Islam dan ajarannya.

Pendedahan tersebut katanya akan dilakukan melalui pelbagai program yang sedang dan akan diatur, selaras dengan salah satu visi Dewan Muslimat PAS iaitu membina masyarakat berakhlak dalam semua bidang kehidupan manusia dan pendokong kepada ajaran Islam yang sebenar.

Tiada ulasan: