Translate

Followers

EZ Q

Ahad, 10 Ogos 2008

SIAPA PERALATKAN AGAMA SEBENARNYA ??

Ada khabar angin berpusar dan berlegar dalam masyarakat kita bahawa Mufti Perlis kini sedang diminta untuk bertanding atas tiket Umno di Permatang Pauh melawan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau bagaimanapun menafikan akan bertanding. Terdahulu sebelum itu, telah wujud ura-ura bahawa mufti itu akan memasuki PKR. Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut memberikan respon terhadap kemasukan beliau di atas mana-mana parti politik. Namun, mufti muda itu tetap menolak kemasukannya dalam parti. Adapun punca penolakan itu, dalam laporan akhbar adalah disebabkan kecenderungannya yang lebih berat pada bidang keagamaan. Mungkin juga, pakar ilmu hadis itu lebih selesa dengan kegiatan dakwah tanpa melalui jendela kepartian. Apa-apa pun, semua itu adalah keputusan beliau yang perlu dihormati. Tetapi yang paling membosankan ialah kata-kata Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya media mengenai perkara itu baru-baru ini. Menurut Abdullah, beliau tak tahu apa-apa mengenai tawaran itu. 'Kemungkinan' tawaran itu dibuat penduduk Permatang Pauh, kata Abdullah sambil membangunkan satu andaian bahawa hal itu 'mungkin' kerana Dr Asri berasal dari kawasan tersebut.
"Bukan saya yang buat tawaran tersebut," kata Abdullah. Apa pun dakwaan Presiden Umno itu, kebanyakan rakyat tak lagi mempercayainya. Satu persatu tembelang penipuannya telah dilondeh dan ditelanjangkan untuk tatapan. Berawal dengan isu penipuan tentang tarikh pembubaran Parlimen, kata-kata beliau tak dapat lagi dipegang rakyat. Dalam kes terkini, kita musykil, mustahil beliau tidak buat tawaran. Tradisi memperalat agama dan agamawanTradisi memperalatkan agamawan dan mufti ini bermula pada zaman Dr M lagi. Mulanya Dr M melantik Abdullah sebagai PM bukan dengan sebab kebolehannya memimpin. Lantas, apa tujuannya? Tujuan dilantik Abdullah itu adalah untuk menyelamatkan Umno daripada tumbang. Jika Umno tumbang, Mahathir turut tumbang. Maka, Mahathir berjaya selamatkan Umno dengan meletakkan 'Mr Clean'. Kepercayaan kepada Umno telah pulih selepas cucu mufti dan zuriat tok wali memerintah negara melalui Umno.

Dan hal itulah yang cuba dilakukan Abdullah. Beliau meletak tokoh agama seperti Dato' Firdaus Ismail untuk melawan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Kini, cara yang sama dilakukan dengan cuba meletakkan mufti muda. Walaupun, Abdullah menafikan dirinya yang menawarkan tawaran, tapi rakyat tetap tidak percaya. Mustahil hal memilih calon ini tak sampai ke pengetahuan Presiden Umno. Dalam waktu genting sekarang, Abdullah mesti berfikir dan merancang wakil-wakilnya untuk mencari mana-mana calon yang sesuai bertanding melawan Anwar. Hanya ada satu kemungkinan saja kalau Abdullah memang tidak memberikan tawaran ke atas mufti itu. Iaitu, bukannya Abdullah yang merancang semua ini, tapi orang lain. Dan, dalam keadaan ini, Abdullah cuma boneka dan 'puppet' sahaja. Ringkasnya, Abdullah memang suka kan watak agama untuk menguatkan kedudukannya. Beliau buat pertemuan rasmi bersama para mufti di Putrajaya untuk mengambil pendapat mereka kononnya. Jadi, kemungkinan Abdullah yang membuat tawaran kepada mufti itu tetaplah ada. Tapi, Abdullah cuma mendengar dan bukanlah mengambil pendapat. Percubaan peralatkan mufti?Sekarang kita beralih kepada mauduk asal. Kenapa kita katakan Abdullah memperalatkan agamawan dan mufti? Mari kita bahas sedikit hal kelompok mufti yang diperalatkan. Adapun Abdullah, memang ada niat menjahanamkan seteru politiknya Anwar yang akan bertanding di Permatang Pauh nanti. Abdullah memberikan 'lampu hijau' kepada sesiapa sahaja yang mampu mencederakan imej Anwar. Gandingan Najib, Saiful Bukhari yang menentang Anwar akan tetap dilindungi Abdullah melalui sidang media. Mufti muda itu berhati suci ketika mencadangkan kepada Abdullah supaya diadakan mubahalah untuk menyelesaikan hal tersebut di dunia. Mustahil pendapat tentang mubahalah itu tidak dibincangkan sama ada secara rasmi atau tak rasmi antara Dr Asri dan Abdullah dalam pertemuannya bersama mufti di Putrajaya. Yang jelas, Abdullah tidak mengendahkan saranan mufti tersebut. Jika Abdullah mahu, dengan kuasa yang ada padanya beliau boleh panggil Anwar, Saiful untuk selesaikan masalah itu. Tetapi, beliau tetap membiarkan isu ini berlarutan di media. Kerana apa? Ini kerana, memang ada nawaitu Abdullah untuk membunuh reputasi Anwar yang mahu merampas jawatan Perdana Menteri daripadanya.
Tiba-tiba semasa pilihan raya, barulah Abdullah mahu gunakan khidmat sang mufti untuk melantik beliau sebagai calon. Ini sudah tentu sedikit sebanyak membangkitkan kesal dan kecil hati di hati mufti itu.

Dalam hatinya mungkin berbicara: "Dulu, masa ana cadang mengenai mubahalah, tak ada masa nak dengar. Sekarang bila dah dekat pilihan raya, baru nak cari ana pula," demikian getus hatinya. Ringkasnya, Abdullah tak jujur dan tak ikhlas memperbaiki keadaan. Abdullah menggunakan mufti sesuai dengan waktu pilihan raya untuk membunuh musuh beliau. Tapi, bukan mahu memanfaatkan nasihat, petua, fatwa dan panduan mufti. Kalau hal ini tak dapat dinamakan sebagai memperalatkan institusi agama dan agamawan, maka apakah yang boleh kita sebut bagi mentafsirkan fenomena dan peristiwa ini?

Tiada ulasan: