Translate

Followers

EZ Q

Sabtu, 12 Julai 2008

AD DUA SILAHUL MUKMIN

slam adalah agama yang mengajar kita sederhana dalam segala perkara termasuk akidah. Ada orang yang tidak percaya kepada perkara ghaib termasuk jin, syaitan, hantu dan malaikat. Ada pula yang terlalu percaya kepada makhluk ghaib seperti hantu dan jin sehingga mempercayai dewa-dewi, sial, tulah dan lain-lain.Sebaliknya, Islam mengetengahkan akidah yang sederhana. Kesederhanaan dalam akidah antara lain bermaksud kita dituntut mempercayai adanya makhluk ghaib yang tidak nampak pada pandangan kita, tetapi tidak sampai bergantung dan tertakluk kepada mereka.Kita wajib mempercayai adanya makhluk ghaib kerana ia disebut di dalam nas al-Quran dan hadis. Kepercayaan itu juga hendaklah berdasarkan apa yang disebut oleh nas al-Quran dan hadis. Islam mengajar kita bahawa makhluk jin dan syaitan itu wujud, justeru wajib mempercayai kewujudan mereka, tetapi bukan mempercayai mereka.

Nas al-Quran dan hadis yang menyebut tentang sifat dan penampilan makhluk ghaib agak terhad berbanding dengan kepercayaan kepada makhluk hantu dan jin yang ada dalam masyarakat manusia termasuk masyarakat Melayu.

Oleh itu, bersederhana dalam akidah adalah mempercayai wujudnya makhluk itu dengan sifat dan peranannya berdasarkan penjelasan al-Quran dan hadis, bukan berdasarkan warisan kepercayaan dalam masyarakat.Apa yang disebut dalam nas hadis sahih antaranya adalah tentang kepelbagaian makhluk jin itu dalam bentuk rupanya. Ada yang bersayap dan terbang, ada pula yang berbentuk ular dan kala jengking, ada pula yang berpindah-randah. Sedangkan apa yang ada dalam kepercayaan masyarakat kita tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Selebihnya, ia adalah andaian yang akhirnya bersifat khayalan atau tahyul (takhayyul) di dalam bahasa Arab.Walaupun kita mungkin melihat pelbagai bentuk makhluk ghaib, ia lebih bersifat jelmaan kerana makhluk jin dan syaitan mempunyai keupayaan untuk menjelma dalam pelbagai rupa, kecuali rupa Rasulullah SAW.Nama-nama yang sering disebut dalam masyarakat kita adalah watak-watak yang dilakonkan oleh makhluk berkenaan, atau jenama yang diberi oleh manusia sendiri. Sedangkan agama tidak menyebutnya demikian.

Justeru, apa yang menjadi kepercayaan kita dalam Islam adalah tentang kewujudan dan hubungan mereka dengan manusia, bukan sifat dan watak yang tidak disebut dalam nas al-Quran dan hadis. Sebabnya kita tidak dapat melihat makhluk-makhluk berkenaan secara zahir.

Firman Allah SWT: Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman. (al-A’raf: 27)

Apa yang saudara dan isteri alami itu adalah sebahagian dari gangguan makhluk jin dan syaitan yang disebut dalam nas. Justeru, mempercayai adanya gangguan seperti itu bukanlah tahyul. Apa yang penting adalah kaedah mengatasi gangguan itu mestilah berdasarkan syariat.Ia perlu dilakukan dengan doa dan amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW tanpa berlebihan dengan prasangka dan tuduhan yang akan mendorong kita terlibat dalam kepercayaan tahyul.

Cara terbaik mengatasi gangguan tersebut adalah dengan berpegang pada akidah yang benar dan bersih. Ini termasuk meyakini bahawa tidak ada sesiapa yang dapat memberi manfaat atau mudarat ke atas kita melainkan dengan izin Allah.Begitu juga, gangguan makhluk ghaib atau halus itu tidak akan memudaratkan kita tanpa izin Allah.Seterusnya, kita sendiri perlu berdoa dan beramal dengan doa-doa pelindung dan ayat al-Quran yang diajar oleh Rasulullah SAW. Ini dapat dipelajari melalui buku-buku yang ditulis oleh para ulama tentang kaedah rawatan gangguan makhluk halus. Meminta bantuan dan doa daripada orang soleh juga dapat membantu mengatasi masalah saudara, tetapi bukan dengan sebarangan orang asal masalah kita selesai. Sebaliknya orang tersebut mestilah orang yang dipercayai dari segi amalan dan pegangan agamanya.

Saya tidak tahu dan kenal siapa ‘bomoh’ yang saudara temui. Apa yang dapat saya sarankan adalah saudara perlu menghindarkan diri daripada perangkap syaitan dan jin jahat. Kita wajar berusaha dengan doa dan amalan agar dihindarkan dari gangguan lintasan dan tindihan ketika tidur.

Pada masa yang sama, kita perlu mengelakkan dari prasangka terhadap sesiapa sebagai punca gangguan tersebut. Kita tidak pasti adakah kata-kata bomoh itu benar atau tidak. Kemungkinan juga, bomoh tersebut bercakap jujur berdasarkan apa yang diberitahu oleh makhluk halus, tetapi bagaimanakah kita hendak pastikan bahawa makhluk halus itu pula bercakap benar.

Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: Sesungguhnya para malaikat turun ke awan dan berbicara tentang perkara yang diputuskan di langit. Lalu syaitan mencuri-curi dengar kemudian diberitahu kepada tukang tilik (bomoh). Lalu syaitan menambah pembohongan pada maklumat itu dengan 100 dusta dari mereka sendiri (bukan malaikat). (riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, kita perlu waspada terhadap perangkap syaitan kerana kita tidak dapat memastikan kesahihan andaian itu. Jangan kita terus mempercayainya kerana ia juga bersifat tahyul. Kepastian hanya dapat diperoleh dengan bertanya kepada orang yang dituduh itu dan mendapat jawapan yang jujur darinya. Sedangkan, itu sukar dilakukan.

Hasilnya timbullah pergaduhan dan permusuhan yang memang menjadi matlamat syaitan pada manusia. Firman Allah SWT: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (al-Maidah: 91)

Jika kita masih mempercayainya tetapi tidak dapat berbuat apa-apa, kita mengalami pula gangguan emosi yang terhasil akibat andaian bahawa gangguan itu dilakukan oleh orang tertentu.Justeru, cara untuk mengatasi gangguan yang bersifat ghaib adalah dengan cara yang bersifat ghaib juga, iaitu dengan doa dan amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW. Dengan itu, kita berharap agar Allah SWT terus menerima amal ibadah kita kerana kita menghindari larangan Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi tukang tilik (bomoh) lalu membenarkan kata-katanya maka dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad.” (Sahih, Riwayat Abu Daud).

Tiada ulasan: