Translate

Followers

EZ Q

Isnin, 5 Mei 2008

Kongsi gelap ala PEKIDA

PETALING JAYA: Mahu digeruni rakan sebaya mendorong segelintir pelajar sebuah sekolah menengah di sini, menganggotai kumpulan samseng digelar ‘Geng Cobra’ yang dipercayai direkrut pihak luar sebelum diperalatkan mengedar pil khayal Ecstasy. Setiap pelajar yang menganggotai kumpulan berkenaan diberikan kad keahlian khas mirip kad Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) selain mendapat keistimewaan khas memiliki pistol.Pelajar yang ingin menganggotai kumpulan terbabit turut disyaratkan membayar yuran keahlian RM50 selain diwajibkan melindungi dan merahsiakan aktiviti kumpulan berkenaan daripada pengetahuan guru.Gerakan sulit kumpulan terbabit yang kini dikatakan dianggotai hampir 50 pelajar termasuk perempuan, mencetuskan kebimbangan ibu bapa yang terlebih dahulu berjaya menghidu aktiviti haram berkenaan. Seorang penduduk Kota Damansara, Mohamad Salleh Abdullah, 49, berkata gerakan sulit remaja terbabit terbongkar selepas seorang bapa pelajar musykil terhadap perubahan sikap anaknya yang sering ponteng sekolah sejak seminggu lalu.Menurutnya, selepas diselidiki, pelajar tingkatan satu itu mendakwa dia diugut pukul sekumpulan pelajar samseng di sekolahnya berikutan keengganannya menyertai kumpulan haram berkenaan.“Berikutan maklumat awal itu, kami sebagai penduduk dan ibu bapa cuba membongkar kegiatan geng samseng terbabit lebih terperinci dan mengenal pasti pelajar yang menjadi ‘kepala’ kumpulan itu yang tinggal di kawasan ini.“Selepas disoal siasat di hadapan keluarganya, remaja terbabit mendakwa Geng Cobra yang baru ditubuhkan tiga bulan lalu, dipimpin seorang ketua dari setiap tingkatan bergelar ‘Ayahanda’ dengan dibantu pembantu dipanggil ‘Abang Long’ dan ‘Abang Ngah’,” katanya.Menurutnya, gelaran hierarki itu mengejutkan penduduk berikutan ia dicedok daripada Pekida, malah siasatan mendapati kumpulan terbabit bakal mengeluarkan kad keahlian khas dengan warna sama seperti kad keahlian Pekida.Muhammad Salleh berkata, ‘kepala’ kumpulan samseng yang disoal siasat itu turut mendakwa ada ‘orang luar’ membantu mengasaskan kumpulan itu memberitahu bakal menghantar bekalan pil Ecstasy kepada mereka tidak lama lagi.“Agak lucu apabila kebanyakan pelajar itu sendiri tidak mengetahui bahaya Ecstacy, sebaliknya ghairah menyebut dadah berkenaan.“Malah lebih memeranjatkan apabila orang luar terbabit memberitahu kumpulan pelajar yang menyertai Geng Cobra akan memperoleh keistimewaan memiliki pistol tidak lama lagi,” katanya.Menurutnya, dalam kes ugutan pelajar berkenaan, mangsa mendakwa bimbang mendedahkan perkara itu kerana kumpulan samseng terbabit mengugut menyerang rumah mangsa, memukul ayah dan ibunya selain merogol adik-beradik perempuannya.“Menyedari aktiviti samseng sekolah itu bukan perkara main-main, beberapa ibu bapa membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara dan Balai Polis Mutiara Damansara,” katanya.Menurutnya, tindakan kumpulan samseng sekolah terbabit yang cuba meniru imej Pekida boleh menyebabkan orang ramai keliru dan salah faham serta menyangka jenayah itu ada kaitan dengan Pekida.Mohamad Salleh yang juga Ketua Penerangan Pekida Daerah Petaling menasihatkan ibu bapa memandang serius gejala negatif itu dengan menyiasat aktiviti anak masing-masing.Seorang lagi penduduk, Irwandy Zulkefly Rosli, 31, berkata hasil siasatan dilakukan, penduduk di sini percaya orang luar yang dimaksudkan itu cuba merekrut ahli baru di kalangan pelajar sekolah menengah untuk dijadikan pengedar dadah kecil-kecilan terutama di kawasan Kota Damansara.“Golongan remaja ini masih terlalu mentah dan tidak tahu bahaya menanti. Mereka mungkin cuba diperalatkan sebagai budak penghantar bagi mengedar dadah berkenaan.“Berdasarkan maklumat dikumpul, setiap ahli Geng Cobra diwajibkan membayar yuran RM50. Bagaimanapun mereka perlu membayar RM30 selain mengerat tiga jari jika mahu keluar daripada kumpulan itu,” katanya. Menurutnya, beberapa ahli Geng Cobra yang ditahan penduduk turut menunjukkan simbol khas ketika bersalam sesama ahli selain kod rahsia menggunakan jari tangan yang dicantumkan bagi membuktikan keanggotaan kumpulan itu. Dalam pertemuan hampir empat jam semalam, lebih 10 ibu bapa dan penduduk kawasan Seksyen 7, Kota Damansara, meminta gejala berkenaan dibendung segera pihak polis selain mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dilakukan segera.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Muhamad yang dihubungi semalam berkata, pihaknya akan menyiasat laporan berkenaan sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Tiada ulasan: