Translate

Followers

EZ Q

Ahad, 23 Mac 2008

Wajah baru’ Dewan Rakyat

Oleh: ZULKIFLI HAMZAH
SEBUAH episod, kalau ia boleh disebut episod penantian, kini sudah selesai. Sekarang kita memasuki episod baru yang lebih mencabar – episod kerja. Bekerja untuk merealisasikan semua keinginan, janji dan harapan kolektif rakyat selepas melalui proses demokrasi pilihan raya umum lima tahun sekali.Disebut lebih mencabar kerana keinginan dan harapan rakyat yang begitu tinggi setelah melepasi fasa satu penggal pemerintahan yang dianggap belum memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat.Apakah keinginan dan harapan kolektif itu? Ia tentulah perubahan menuju ke arah taraf hidup yang lebih baik, lebih makmur, lebih selamat dan lebih adil. Ini semua perlu dipenuhi. Suara rakyat yang terbukti semakin cerewet dan kerajaan (termasuk pembangkang di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor) tidak mempunyai pilihan, selain harus taat kepada janji-janjinya.Yang bakal ditagih dan dinilai kerja mereka ialah para eksekutif. Dari Perdana Menteri bersama barisan Kabinetnya di peringkat Persekutuan hinggalah Menteri Besar serta Ketua Menteri bersama anggota Exconya. Ini kerana mereka adalah barisan paling depan untuk membawa kita semua mencapai kesejahteraan yang diinginkan itu.Begitu juga di peringkat legislatif dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sudah bergelar Yang Berhormat (YB). Intelektual dan moral mereka sebagai pekerja rakyat akan dipertaruhkan. Sebuah Parlimen yang berkualiti adalah Parlimen yang mempunyai keseimbangan antara intelektual dan moral. Ini yang perlu dilihat dan kelihatan.Mesej daripada pilihan raya umum begitu jelas. Pilihan raya umum yang memilih wakil rakyat mengamanatkan pesan suci rakyat agar Yang Berhormat bekerja demi kepentingan mereka. Sesiapa pun yang terpilih, itulah aspirasi rakyat. Tentu sekali rakyat tidak memilih mereka dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu untuk kecam-mengecam dan maki hamun di Dewan. Apatah lagi untuk bertelagah dalam hal-hal yang tidak memberi manfaat. Atau bertegang leher untuk hal-hal yang tidak mewakili suara rakyat – suara ‘tuhan’ seperti analogi dalam terminologi politik.Dalam konteks ini, kita masih perlu berada dalam ‘ruang tunggu’. Menunggu penuh keterujaan untuk menyaksikan reaksi YB penyokong kerajaan dan YB pembangkang berikutan perubahan besar komposisi Parlimen kali ini.Teruja kerana Parlimen kali ini penuh warna-warni dengan campur aduk pelbagai karakter manusia. Teruja kerana ada calon yang tidak menyangka pun akhirnya akan bergelar YB.Komposisi di Parlimen sekali gus menjadi cabaran besar kepada anggota Kelab Penyokong Kerajaan (BNBC) dan pakatan pembangkang. Angka yang menarik – 140 lawan 82. Pertembungan hampir seimbang jika ditolak dengan Ahli Parlimen BN yang dilantik ke jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.Bukan sahaja rakyat, bahkan YB yang bakal mengisi kerusi Dewan yang mulia itu amat menanti-nantikan saat-saat persidangan kelak untuk menguji dan membuktikan bahawa para pemilih tidak salah membuat pilihan. Kelak, kita akan menyaksikan siapa musang berbulu ayam dan yang mana kaca atau berlian. Siapa yang hanya pandai menangguk di air keruh dan siapa gerangannya seperti tin kosong.

Amanah
Kelak, kita juga akan menyaksikan siapa yang jujur dan ikhlas serta benar-benar melaksanakan amanahnya. Siapa yang memainkan peranan sebenar ‘check and balance’ iaitu sendi utama demokrasi. Siapa yang bercakap atas kepentingan rakyat, bukan individu mahupun kelompok tertentu sahaja.Di sini, di Parlimen akan teruji kehebatan sebenar Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Ketua Pembangkang dan kader-kader Parti Keadilan Rakyat (PKR) antaranya Tian Chua (Batu), Saifuddin Nasution Ismail (Machang) dan tentu sekali, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).Begitu juga kembalinya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Machang) dan Nasharuddin Mat Isa (Bachok) serta Mahfuz Omar (Pokok Sena) turut dinanti-nantikan.DAP pula memang terkenal dengan barisan ' otai' seperti veteran Lim Kit Siang (Ipoh Timur), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan Tan Seng Giaw (Kepong). Kumpulan ini dilihat bakal mencorak warna sebenar pembangkang di Parlimen.Malah kita juga bakal menyaksikan ‘heavy weight’ terdiri daripada bekas-bekas Menteri yang kini tidak lagi ditampuk kekuasaan. Bagaimana peranan mereka setelah tidak bergelar Menteri, terutama setelah berpenggal-penggal menjawat jawatan itu?“Saya amat menantikan sidang Dewan Rakyat kali ini. Amat menarik dan cabarannya juga tinggi,” kata Razali Ibrahim, Ahli Parlimen Muar yang kini berkhidmat dalam penggal keduanya.Razali, 38, melihat persidangan Dewan Rakyat penggal ke-12 ini sebagai berbeza kerana rakyat akan melihat sejauh mana keupayaan penyokong kerajaan menyerap kehadiran begitu ramai wakil pembangkang.Pakatan pembangkang memenangi 82 kerusi dengan PKR, 31 kerusi diikuti DAP, 28 kerusi dan Pas memenangi 23 kerusi. Ini sekali gus menjadikan BN menang dengan majoriti mudah iaitu sebanyak 140 kerusi di Parlimen
Berbanding pada pilihan raya umum 2004, pakatan pembangkang itu hanya memperoleh 19 kerusi dan wakil bebas, satu kerusi.Bagaimanapun Razali yang dikenali sebagai Ahli Parlimen berintegriti lebih berminat menghadapi sidang akan datang dengan mengambil kira aspirasi yang telah ditunjukkan oleh rakyat dalam pilihan raya lalu.Razali bertekad untuk lebih agresif. Selain terus memainkan peranan mencetus idea untuk memantapkan pentadbiran negara, beliau akan membuat persiapan rapi bagi menghadapi kerenah pembangkang.Razali menyebut kerenah kerana baginya, banyak perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang selama ini atas sifat politik semata-mata. Di sinilah letaknya ukuran rakyat nanti. Sudah tentu, berdasarkan hasil keputusan pilihan raya lalu, Ahli Parlimen akan diukur berdasarkan merit. Rakyat sudah jelak dengan politik ekstrem – ekstrem menyokong dan ekstrem menentang tanpa rasional mantap.

Perubahan

Inilah juga perubahan yang diharapkan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub pada sidang Parlimen akan datang.“Ubah minda,” tegasnya. Beliau tidak mahu lagi melihat pembangkang bercakap seperti pembangkang di Parlimen tetapi perlu mempunyai minda pemerintah.Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu mengingatkan bahawa pakatan pembangkang Pas, PKR dan DAP perlu membuktikan gabungan itu boleh menunaikan segala bentuk hasrat rakyat.Pakatan pembangkang di peringkat Persekutuan ini perlu ingat, mereka mempunyai kerajaan negeri di lima negeri walaupun ia sekadar pakatan longgar bagi tujuan membentuk sebuah pemerintahan.“Saya melihat penuh teliti perkembangan ini. Pemikiran rakyat sudah beranjak. Rakyat melihat sama ada pembangkang boleh atau tidak untuk menyaingi atau mengatasi BN,” jelas Salahuddin.Bukan sekadar kebolehan bercakap, kata beliau, tetapi keupayaan mewujudkan gabungan untuk membuktikan mereka mampu membentuk kerajaan pada masa depan.Ini cabaran terbesar. Memang mudah mengkritik dasar kerajaan atau sebarang dakwaan penyelewengan. Yang sukarnya ialah merasionalkan idea dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk membina sebuah negara mengikut kehendak rakyat.“Saya sendiri harapkan Pemuda Pas kalau boleh bercakap dalam realiti seolah-olah kita adalah Menteri. Mungkin lebih baik daripada itu. Bukan sekadar mengeluarkan kritikan terhadap kerajaan tetapi memberikan pandangan bernas,” katanya.Mungkin sahaja, sidang Parlimen penggal ini dengan warna-warni dan karakter yang ada, bakal melahirkan Ahli-Ahli Parlimen kelas pertama. Jika selama ini, penyokong kerajaan dinilai dalam segala aspek termasuk pendidikan, tingkah laku dan moral, kini kerana jumlahnya juga ramai, wakil rakyat pembangkang tidak akan terlepas dari sudut pandang yang sama. Jika sekiranya Ahli Parlimen pembangkang gagal dalam anjakan paradigma yang telah digambarkan dengan jelas dalam pilihan raya lalu, seperti dinyatakan oleh Salahuddin, peluang yang ada sekarang tidak akan diperoleh lagi.Dalam aspek ini, Razali menegaskan: “Mereka juga bergelar Ahli Parlimen. Mereka kena buktikan layak mewakili rakyat sebagaimana kita (BN) diukur dan diperhatikan sebagai layak.”Jadi, jika benarlah semua Ahli Parlimen berperanan menurut ukuran ini, tentu sahaja Parlimen kali ini benar-benar akan berwajah baru. Tetapi sekali lagi, jangan anggotanya sahaja baru tetapi tabiat lama masih dikekalkan.Dewan Rakyat begitu penting bagi kehidupan demokrasi kita. Selama lima tahun ini, mereka yang dipilih pada 8 Mac lalu akan menentukan baik buruknya imej Dewan Rakyat
Sebab itulah, rakyat akan sentiasa mengawasi dan memantau kelayakan, kapasiti mahupun motif sebenar mereka yang berada di Dewan mulia itu.

Tiada ulasan: