Translate

Followers

EZ Q

Ahad, 23 Mac 2008

Undang-undang sekat katak melompat dicadang

KOTA BHARU 22 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan mencadangkan kepada Kabinet supaya satu undang-undang untuk menyekat wakil rakyat daripada melompat parti digubal secepat mungkin.Beliau yang pernah mencadangkan undang-undang antilompat parti beberapa tahun lalu berkata, ia perlu digubal segera bagi menjaga kepentingan awam serta tidak menyusahkan pentadbiran sesebuah negeri. Beliau berkata, undang-undang antilompat parti bukan perkara baru malah telah diamalkan oleh beberapa negara seperti India bagi mengelak timbulnya pelbagai masalah kepada pentadbiran negara.
‘‘Saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan tetapi ia bergantung kepada kuasa kerajaan dan Kabinet bagi memutuskannya,’’ katanya kepada pemberita pada majlis kesyukuran di rumahnya di sini hari ini.Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau diminta mengulas mengenai usaha pihak tertentu untuk ‘membeli’ Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sejak kebelakangan ini.Zaid menjelaskan, Perlembagaan membenarkan undang-undang khas tersebut digubal bagi menjaga kepentingan awam, integriti dan moral. ‘‘Memang dalam Perlembagaan ada hak kebebasan untuk masuk mana-mana pertubuhan. Memang ada kes, ada hak untuk melompat seperti kes Nordin Salleh lawan kerajaan negeri Kelantan.‘‘Tetapi dalam Perlembagaan, kita boleh gubal undang-undang untuk jaga kepentingan awam, untuk jaga integriti dan moraliti. Saya harap kita tidak buang masa,” katanya. Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz ketika ditemui turut menyifatkan wakil rakyat yang bertindak demikian bukan lagi ‘manusia’. ‘‘Lompat parti ini bukan kerja orang politik tetapi kerja orang yang makan upah. Sebab masa kita hendak menang jadi wakil rakyat... mengundi bukan main lagi tetapi lepas itu, dia main-main lompat.‘‘Bukan manusia kalau boleh jual beli undi. Orang itu tak reti dosa pahala kalau dia reti dia tak lompat, orang yang faham tak buat macam itu,” katanya.

Tiada ulasan: