Translate

Followers

EZ Q

Ahad, 30 Mac 2008

Perangai buruk rosakkan perpaduan

KEAMANAN, kesejahteraan dan perpaduan akan terpelihara jika masyarakat menjalin hubungan dan berusaha mengekalkan persaudaraan yang baik antara satu sama lain.Tetapi jika masing-masing bercakaran, perpaduan bertukar menjadi perpecahan dan persengkataan.
Islam menekankan perpaduan terhadap umatnya, dengan menyemai sikap saling berbuat baik, hormat- menghormati, bertolak-ansur dan bantu-membantu kerana dengan perpaduan yang terbina dapat memperkasakan lagi umat.Asas persaudaraan dalam Islam tidak terhenti pada batas hubungan kekeluargaan, suku, puak dan bangsa, bahkan lebih luas membabitkan sempadan keimanan iaitu kesatuan ikatan akidah. "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (al-Hujurat: 10)Oleh kerana orang Islam itu bersaudara, hak saudaranya juga perlu dijaga. Bukan sekadar menjaga dari sudut pergaulan dan tutur kata, malah melangkaui segenap aspek dalam kehidupan, termasuk harta benda saudara, tidak diambil sesuka hati.Menyingkap sejarah awal pertumbuhan Islam, Rasulullah s.a.w berusaha bersungguh-sungguh menjalinkan hubungan persaudaraan masyarakat Islam tanpa mengira perbezaan keturunan, kedudukan dan warna kulit.Benih persaudaraan yang ditanamkan Rasulullah itu membuahkan semangat persaudaraan yang tiada tolak bandingnya, sehingga golongan bangsawan bersaudara dengan hamba, sanggup berkorban harta dan nyawa, seperti yang ditunjukkan Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Bilal bin Rubah.Usaha yang dilakukan Rasulullah itu menghasilkan kejayaan luar biasa, kerana dengan hubungan itu terbentuknya masyarakat Islam yang lebih besar, lebih terjamin kehidupan, lebih aman dan makmur, malah lebih ramai tertarik dengan kecantikan persaudaraan dalam Islam.Bukan saja masyarakat Islam, malah orang bukan Islam pada masa itu juga dapat menumpang keamanan dan kesejahteraan di bawah panji Islam sehingga mereka mampu menguruskan kehidupan dengan selesa.Dalam hubungan persaudaraan ini Rasulullah s.a.w ada menegaskan dalam satu hadis yang bermaksud: "Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan apabila sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Riwayat Muslim) Hubungan persaudaraan tidak akan menjadi semakin baik sekiranya diri sendiri tidak mahu kepada perubahan yang baik itu. Malah, ia menjadi hambar dan kian apabila tidak dijaga, tidak digilap dengan tegur sapa atau ziarah menziarahi. Umumnya, semua orang sedikit sebanyak mempunyai perangai tak baik seperti buruk sangka, cemburu, keras kepala, sukar menerima teguran dan cepat melenting, tetapi sekiranya ia dijadikan amalan sudah tentu membawa kepada kerugian.Malah, jika sifat seperti itu tidak dibendung akan mengundang pelbagai mala petaka, bukan setakat merenggangkan hubungan, malah mewujudkan sengketa dan saling memusuhi.Natijahnya cukup besar, malah dengan senario itu juga membuatkan umat Islam terus merana, hidup dalam kesusahan, diherdik dan dipandang rendah orang lain. Rasulullah dari awal memberikan amaran kepada orang Islam supaya menjauhi sifat buruk kerana amalan sebegitu sangat merugikan. "Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan makan kebaikan kamu seperti api memakan kayu, atau sabdanya memakan rumput." (Hadis riwayat Abu Daud) Sudah jelas Islam menggesa umatnya memupuk dan memelihara persaudaraan. Asas dan contoh kejayaannya sudah ditunjukkan Rasulullah, tetapi ia belum diamalkan secara berkesan.Ini berbeza dengan masyarakat bukan Islam. Negara kuasa besar misalnya mudah mencapai kata sepakat dan berkompromi sesama mereka.Apakah kecemerlangan yang dipelopori Rasulullah sudah tidak dapat diulangi generasi Muslim hari ini atau di manakah silapnya, sedangkan fakta mengatakan Islam adalah agama paling sempurna dan menjamin kesejahteraan?

Tiada ulasan: