Translate

Followers

EZ Q

Khamis, 27 Mac 2008

MUDA BIAR CEMERLANG TUA JANGAN KAKI TEMBERANG

RASA syukur meresapi diri kerana hingga saat ini kita masih bernafas di bumi Allah. Diberi kesihatan, kecergasan, kesenangan malah kelapangan masa agar kita dapat manfaatkan semua kurnia itu untuk menjadi manusia cemerlang di dunia dan akhirat. Kata-kata “masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak mencantasnya dia akan memotong kamu” memang benar kerana masa ibarat senjata tajam yang amat berguna jika digunakan dengan cara betul dan baik, namun jika tidak betul cara mengguna masa, nescaya ketajaman masa itu akan memakan diri kita sendiri.
Mereka yang tidak memanfaatkan masa sebaik mungkin akan mewarisi seribu ketinggalan dan kemunduran sama ada dalam pekerjaan, rumah tangga, pelajaran, pergaulan, teknologi, politik mahupun agama. Ketika semua bersyukur dan berbangga di atas kejayaan rakyat Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, menjejak kaki ke angkasa lepas. Jangan pula kita masih seperti pungguk yang menantikan bulan, kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak mungkin datang bergolek.Masa berlalu pantas tanpa kita sedari. Sebulan Ramadan yang berkat sudah berlalu dan setahun lagi baru muncul kembali, tanpa kita tahu apakah kita masih menyedut udara di bumi ini pada tahun depan. Kejar dan gunalah masa keemasan yang kita miliki kini. Islam amat mengambil berat mengenai masa sehingga Allah bersumpah dengan masa bukan sekali, malah berpuluh kali dalam al-Quran. Ada satu surah khusus dalam al-Quran iaitu surah al-Asr (Masa) yang intipatinya menegaskan bahawa manusia berada dalam kerugian jika tidak manfaatkan masa untuk beriman dan beramal soleh serta tidak berpesan-pesan sesama manusia dengan kebenaran dan kesabaran.Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w berpesan kepada umatnya agar memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu: masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.Masa muda jangan persia-siakan, kecergasan fizikal dan mental sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebaik dan sebanyak mungkin, kerana apa yang terjadi pada hari tua bergantung apa yang kita lakukan ketika usia muda. Masa muda tidak bertahan lama, bila tiba hari tua keremajaan dan kemudaan hanya tinggal kenangan. Bila tua kadang-kadang tidak indah, tenaga sudah lemah, selera sudah menurun, sakit-sakit pula selalu singgah. Remaja atau anak muda yang cemerlang akan menjadi warga emas yang gemilang. Manakala yang kecundang menguruskan masanya akan menjadi warga emas yang malang. Bukan rugi di dunia saja, akhirat juga dipersoal, usia remaja bagaimana dijalani.Masa sihat pula adalah nikmat yang sangat berharga. Badan kita milik Allah, maka wajib kita jaga amanah ini sebaik mungkin. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan kita disifatkan oleh al-Quran sebagai mencampakkan diri dalam kebinasaan. Namun, ramai tidak menghargai nikmat sihat ini sehingga membinasakan diri dengan mengambil dadah, kokain, Ecstasy, ketagihan alkohol mahupun rokok, atau menjadi Mat Rempit yang mendedahkan diri kepada kecelakaan. Gunakan masa sihat untuk menuntut ilmu dan pengalaman serta membantu yang lain di samping melaksanakan ibadat, bukan menyamun, merompak, memperkosa, menyusahkan orang lain atau melakukan perkara dilaknat.Masa kaya adalah nikmat juga ujian bagi kita. Ramai yang terpesona dengan kekayaan dimiliki. Kekayaan tidak kekal, ia boleh bertambah dan hilang sekelip masa.Kekayaan adalah amanah, maka cari kekayaan dan gunakan mengikut peraturan Allah. Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilanda laknat dan diazab. Atau bukan seperti Tha'labah yang kaya harta tetapi subur kebakhilan. Perlu diingat, kaya adalah alat untuk mencapai kebaikan dan keburukan. Dengan harta kita boleh menjadi dermawan, dengan harta juga kita boleh menjadi tamak haloba. Dengan harta kita boleh ke syurga, dengan harta juga kita boleh ke neraka.Masa dan peluang terakhir yang disebut Rasul s.a.w ialah yang amat penting dan tidak mungkin dicuaikan iaitu masa hidup sebelum mati. Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedialah dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (nikmat) selepas mati.” Maka fikir-fikir dan renungkanlah.

Tiada ulasan: