Translate

Followers

EZ Q

Jumaat, 18 Januari 2008

YAUM ASYURA 1429H


"عن أبي قتادة ان النبي صلى الله عليه وسلم قال – صيام يوم عاشوراء أني احتسب على الله أن يكفرالسنة التي قبله"
- رواه الترمذي في صحيحه -
Maksudnya : Daripada Abi Qatadah, bahawasanya Nabi saw bersabda – Berpuasa pada hari Asyuraa', bahawasanya aku berharap di atas Allah swt bahawa ianya (puasa asyuraa' itu) dapat mengkifarahkan (menghapuskan) segala kesalahan pada tahun yang telah lalu".


Pengertian Asyuraa'
Asyuraa' adalah kalimah arab daripada perkataan A'syara yang bermaksud sepuluh. Asyuraa' adalah Hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram.Sepintas lalu sirah yang berlalu Di awal Islam, Asyuraa' adalah menjadi suatu yang sangat penting dan keistimewaannya umpama hari raya kerana kelebihan yang banyak yang telah dikurniakan oleh Allah swt bagi mereka yang meraikannya dengan panduan agama, bahkan menurut sebahagian ulamak, adalah wajib berpuasa pada hari tersebut bagi meraikan kedatangan asyuraa'.Apabila datangnya perintah berpuasa di bulan Ramadhan maka hokum berpuasa pada hari asyuraa' sudah bertukar menjadi sunat muakkad, yakni yang sangat dituntut untuk diamalkan.Namun yang paling menyedihkan kita terhadap golongan umat mutaakhir ini ialah mereka lalai dan seolah tidak mengambil tahu akan fadhilat dan kelebihan yang terkandung di dalam hari tersebut. Kita lebih mementingkan Bubur Asyuraa; daripada amalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah swt. Hari Asyuraa' telah dijadikan adat yang tanpa syariat.Sejarah lampau mempamerkan kepada kita, bahawa hari Asyuraa' ini bukan sahaja diraikan oleh umat Islam, namun ianya turut diraikan oleh golongan yahudi terdahulu.Golongan yahudi meraikan kemenangan mereka dan Nabi Musa dalam menentang Firaun laknatullah. Atas dasar keagungan dan kemenangan yang dikurniakan oleh Allah swt kepada Nabi Musa as, mereka meraikan hari tersebut.
Sunat berpuasa pada Hari Asyura, Tasuu'aa dan Ihtiyadh


عن عائشة رضى الله عنها قالت – كان عاشوراء يوما تصومه قريش في الجاهلية , وكان النبي صلى الله عليه وسلم يصومه , فلما قدم المدينة صامه وأمر يصيامه , فلما نزلت فريضة شهر رمضان, كان رمضان هو الذي يصومه فترك يوم عاشوراء , فمن شاء صامه ومن شاء أفطره".
- رواه البخاري ومسلم-


Maksudnya : Daripada Aisyah r.ah berkata : adalah Asyuraa' itu suatu hari yang berpuasa padanya orang-orang Quraish pada zaman jahiliyah. Dan Nabi saw turut berpuasa pada hari tersebut. Maka ketika mana baginda berhijrah ke Madinah, bagida masih lagi berpuasa dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa. Maka ketika mana turunnya ayat yang memwajibkan puasa di bulan Ramadhan, maka Ramadhanlah yang dipuasa oleh baginda dan baginda meninggalkan puasa pada hari Asyuraa'(dikhuatiri akan difardhukan juga oleh para sahabat), maka siapa yang berkehendak untuk berpuasa maka puasalah dan sesiapa yang tidak berkendak untuk berpuasa maka berbukalah.Bahawasanya Rasulullah saw ketika sampai di Madinah Al-Munawwarah dan ia melihat golongan Ahli Kitab berpuasa pada hari Asyuraa dan membesarkan hari tersebut pada hal mereka tidak disuruh untuk itu (meraikan hari asyura)



عن ابن عباس رضي الله عنهما قال – قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم المدينة فوجد اليهود صياما يوم عاشوراء فقال لهم رسول الله صلى الله عليه وسلم : ما هذا اليوم الذي تصومونه؟ قالوا : هذا يوم عظيم أنجى الله فيه موسى وقومه وأغرق فرعون وقومه فصامه موسى شكرا, فنحن نصومه , فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : فنحن أحق وأولى بموسى منكم , فصامه رسول الله صلى الله عليه وسلم وأمر بصيامه".
- رواه البخارى و مسلم –



Maksudnya : Daripada Ibn Abbas r.a berhata : ketika masa sampai baginda saw di Madinah, maka beginda mendapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyuraa' maka baginda Rasulullah saw bertanya kepada mereka : Hari apakah ini yang kamu berpuasa?Maka berkata mereka (yahudi) : hari ini adalah hari yang besar bagi kami, di mana Allah swt telah selamatkan Nabi Musa dan kaumnya dan menenggelamkan Firaun bersama kaumnya ke dasar laut, maka berpuasalah Musa kerana bersyukur, maka kami pun berpuasa.Maka bersabda baginda saw : sekiranya begitu, kamilah yang lebih berhak berpuasa daripada kamu, maka berpuasalah Rasulullah saw dan ia menyuruh para sahabat supaya turut berpuasa )suruhan berpuasa tersebut hukumnya sunnat muaakkad).Dalam riwayat yang lain orang yahudi meyatakan kerana hari tersebut adalah hari berlabuhnya bahtera Nabi Nuh as di atas bukit Juudi, maka berpuasalah Nabi Nuh kerana bersyukur kepada Allah



"... وهذا يوم استوت فيه السفينة على الجودي , فصام نوح وموسى عليهما السلام شكرا لله غز وجل..."
- رواه الأمام أحمد في مسنده –



Hari kesembilan juga disunnatkan berpuasa bersandar kepada Hadith Nabi saw yang berazam dan menginginkan agar puasa dan ibadah umat Islam berbeza dengan ibadah yang dilakukan oleh golongan Yahudi.
Sabda rasulullah saw :



عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه قال حين صام رسول الله صلى الله عليه وسلم عاشوراء وأمر بصيامه قالوا : يا رسول الله إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم (( فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع)) قال : فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم".
- رواه مسلم –



Maksudnya : Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa \sanya ia berkata : ketika mana berpuasa Rasulullah saw pada hari Asyuraa' dan baginda menyuruh para sahabat supaya turut berpuasa. Maka berkata mereka (para sahabat) : Wahai Rasulullah! Seungguhnya ianya (hari Asyuraa') adalah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani, maka bersabda Rasulullah saw : Pada tahun hadapan sekiranya diizinkan Allah swt kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan juga.
Berkata Ibn Abbas r.a : Belum pun sampai pada tahun berikutnya maka Baginda pun diwafatkan.
Diriwayatkan juga bahawa Ibnu Sirin berpuasa selama tiga hari berturut-turut, iaitu pada hari kesembilan hingga hari kesebelas daripada bulan Muharram ketika mana berlaku ikhtilaf tentang anak bulan Muharram.
Perbuatan itu dengan tujuan ihtiyadh (cermat) dalam soal ibadah dan supaya tidak ketinggalan berpuasa pada hari Asyuraa'.
Imam Ahmad Ibn Hambal pula berkata : Aku tidak tahu hari kesembilankah atau hari kesepuluh, tetapi kami berpuasa kedua-duanya dan kalau berlaku ikhtilaf pada menentukan anak bulan Muharram maka puasalah tiga hari kerana mengambil cermat dengan hokum dan ibadah.
Mereka yang berpendapat supaya berpuasa dua hari ialah termasuk Imam Syafie, Imam Ahmad, dan Ishak, tetapi Au Hanifah pula berpendapat tidak seharusnya ditunggalkan berpuasa pada hari kesepuluh sahaja.
Kesimpulannya, Hari Asyuraa' ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram dan disunnatkan bagi kita berpuasa kerana mengikut perbuatan Baginda Nabi saw dan hari Tasuu'aa ialah hari yang kesembilan daripada bulan Muharram yang juga disunnatkan kita berpuasa, supaya ada perbezaan di antara puasa kita dengan golongan Yahudi dan Nasrani.
Begitu juga hari Ihtiyadh iaitu hari kesebelas daripada bulan Muharram disunnatkan berpuasa sekiranya berlaku keraguan didalam menentukan anak bulan Muharram, kalau tidak ada sebarang keraguan maka memadai berpuasa dengan dua hari tersebut.
Bagaimana Kita Meraikan Hari Asyuraa'
Dua belas perkara telah dihimpunkan oleh sesetengah ulamak didalam tiga bait syair :
في يوم عاشوراء عشر تتصل بها اثنتان ولها فضل نقل
صم صل صل زر عالما عد واكتحل رأس اليتيم امسح تصدق واغتسل
وسع على العيال قلم ظفرا وسورة الإخلاص قل ألفا تصل
Maksudnya : Pada Hari Asyuraa'' itu ada sepuluh perkara yang berhubung dengannya dua perkara lagi (menjadi 12) yang baginya kelebihan yang dinakalkan (dimaksudkan)
Puasalah, solatlah, hubungkan silaturrahim, ziarahlah ulamak, ziarahlah orang sakit, dan bercelak matalah, usaplah kepada anak yatim, bersedekahlah, sambil bersihkan dirimu.
Luaskanlah untuk keluargamu (seumpama mengadakan jamuan), potonglah kukumu, dan bacalah surah al-Ikhlas seribu kali sambil engau hubungkan.
(bait syair ini dibaca dengan Bahar Rajaz iaitu Mustaf'ilun diulang sebanyak 3x bagi setiap satu satar dan enam kali dalam satu bait)
Oleh yang demikian, Hari Asyuraa' bukan sekadar dismbut dengan menikmati bubuh Asyuraa' sahaja, namun perlu bagi kita menghiasinya dengan amal ibadah yang memdekatkan diri kepada Allah swt seperti yang dianjurkan oleh sebahagian Ulamak antaranya :
Banyakkan solat sunat disamping solat fardhu
Berpuasa pada hari Tasuu'aa dan hari Asyuraa' (tahun ini jatuh pada hari Khamis dan Jumaat)
Menghubungkan silaturrahim
Banyakkan sedekah
Bersihkan diri dari sebarang kekotoran
Bercelak mata
Menziarahi Ulamak
Menziarahi orang sakit
Mengusap kepala anak yatim
Meraikan keluarga
Memotong kuku
Membaca surah al-Ikhlas seribu kali.
Buat akhirnya, semoga kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah swt dalam kita menyambut Maal Hijrah pada tahun ini. Hijrah yang baru bermula seketika ini, marilah kita mentajdid niat dan iman agar nafsu dan jiwa kita lebih tenang dan hamper kepada Allah swt.
Salam Maal Hijrah, Jangan Lupa Puasa Sunat Hari Tasuu'aa dan Hari Asyuraa'…
Sumber rujukan : Kitab Fadhilat Hari Asyuraa' karangan Abu Muhammad An Naqsyabandiy

Tiada ulasan: