Translate

Followers

EZ Q

Jumaat, 18 Januari 2008

PELAJAR MALAYSIA TERLEPAS HUKUMAN MATI DI MESIR

SHAH ALAM 17 Jan. - Pelajar tajaan Malaysia di Mesir, yang dituduh membunuh rakan senegaranya Jun tahun lalu terlepas daripada hukuman gantung sampai mati dalam keputusan perbicaraan di Mahkamah Mesir 14 Januari lalu.Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan pelajar tahun dua, Jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar cawangan Mansourah itu dikenakan hukuman penjara 25 tahun atas tuduhan tersebut.Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, keputusan tersebut pasti menggembirakan pelajar berkenaan yang selama ini merasakan bakal dijatuhi hukuman gantung sampai mati.``Saya menerima laporan tersebut melalui kiriman pesanan ringkas (SMS) pegawai kita di sana, pagi ini yang memaklumkan pelajar berkenaan terlepas hukuman gantung.``Selain itu, saya dimaklumkan, pelajar terbabit juga dibenarkan membuat rayuan bagi mengurangkan tempoh hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya," katanya di sini hari ini.Abdul Rahman enggan mendedahkan identiti pelajar yang berasal dari Dengkil, Selangor dan ditaja oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu.
------------------------------------------------------------------------------------
Berita Seterusnya Respon dari Keluarga Al-Marhum (sumber Harian Metro)
KUALA TERENGGANU: Keluarga Mohamad Ishak, 22, pelajar Universiti Al-Azhar cawangan Mansourah, Mesir, yang mati ditikam rakan senegara, Jun tahun lalu, tidak berpuas hati terhadap keputusan mahkamah menjatuhi hukuman penjara 25 tahun ke atas pembunuh anaknya. Menurut mereka, hukuman itu tidak setimpal dengan perbuatan tertuduh apabila mangsa dibunuh secara kejam selepas ditikam lebih 10 kali dan ditetak di muka, kepala, mata dan badan. “Mak cik memang tidak puas hati dan tidak sangka mahkamah Mesir hanya menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadapnya (tertuduh). “Mak cik bukan nak dia dihukum mati sebagai balasan perbuatan dilakukannya terhadap arwah Mohamad tetapi hairan dengan keputusan itu kerana difahamkan, dia mengaku membunuh Mohamad ketika perbicaraan,” kata Zaharah Mohamad, 59, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Rajawali, Chendering di sini, semalam. Keluarganya juga terkilan apabila pihak berkaitan langsung tidak memaklumkan keputusan mahkamah itu kepada mereka. Sejak kejadian pada 14 Jun tahun lalu itu, kata Zaharah, segala perkembangan berkaitan kes itu, hanya diberitahu rakan arwah dan abangnya, Hussin, 28, yang berada di negara itu.“Malah, mereka juga yang bersusah payah menghantar semua barangan peribadi arwah seperti pakaiannya yang kami terima akhir Disember lalu dengan perbelanjaan sendiri.“Mak cik dan keluarga begitu terhutang budi dan berterima kasih kepada mereka (rakan arwah).“Kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana segala keputusan sudah dibuat dan sebagai hamba, kami hanya mampu berserah kepada Allah dan menerima dengan reda kejadian berlaku,” katanya.Dalam kejadian itu, Mohamad mati selepas parah ditikam dan ditetak di kepala, muka, mata dan badan oleh pelajar senegara berusia 24 tahun berasal dari Selangor. Arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Mansourah, Mesir, kira-kira tiga kilometer dari rumah sewa mangsa di Mantiqah Dirasat, jam 8.30 malam waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia). Jenazah arwah yang mulanya mahu disemadikan di Mesir dibawa pulang ke negara ini dengan kos dibiayai kerajaan negeri dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Laut, di sini.p/s : Al-Fatihah kepada keduanya (yang hidup dan yang Mati), Allah jua yang maha penghukum, Dia yang mengetahui setiap sesuatu.
Yang pergi tetap pergi, yang tinggal hidup ada yang menanti... Laluilah kehidupan ini dengan sentiasa menghampirkan diri kepada Rabbul Jalil... Mudah-mudahan diredhoiNya... Amin...
Fakta :
Yang Terbunuh : Al-Marhum Saudara Muhammad Bin Ishak
Yang Membunuh : Saudara Sidqi
Tempat Kejadian : Rumah Mangsa, Kawasan Pasar berhampiran Kuliah Banat, Dirasah. Mansurah Mesir.
Tarikh Kejadian : 13 Jun 2007 (Rabu / jam 7.00 pm)
Semoga Allah memelihara keduanya, dan mengampunkan mereka dan meletakkan mereka bersama hambaNya solihin...

Tiada ulasan: