Translate

Followers

EZ Q

Selasa, 12 Disember 2006

Ekstremis Sekular ???

Sebagaimana kita maklum, kuffar Barat adalah golongan yang benar-benar berpegang kepada sekularisme. Mereka membunuh, memerangi dan menjajah kita dan menerapkan sistem kufur mereka ke atas kita atas nama sekularisme. Sistem kufur ini adalah sistem yang lahir dari aqidah sekularisme yang diamalkan oleh mereka – aqidah yang memisahkan agama dari kehidupan. Dengan kata lain, kuffar Barat adalah golongan yang benar-benar berpegang teguh dengan fahaman sekular mereka. Anehnya, mereka tidak pernah melabel diri mereka atau dilabel oleh mana-mana pihak sebagai ekstrem, namun begitu, umat Islam yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam pula, dicop sebagai ekstrem.

Wahai kaum Muslimin! Tidakkah kalian sedar bahawa dunia Islam seluruhnya adalah dunia yang diterapkan di dalamnya sistem kufur yang berteraskan aqidah sekularisme? Telah bertahun lamanya negara-negara kaum Muslimin diperintah dengan ideologi kufur ini dan para pemerintah di dunia Islam telah berpegang teguh dengannya (sekularisme), dan tidak menyimpang darinya walau sejengkal. Jika umat Islam yang benar-benar berpegang teguh dengan Islam dicop sebagai ekstremis Islam, bukankah sepatutnya mereka yang benar-benar berpegang teguh dengan sekularisme dicop sebagai ekstremis sekular? Manakah yang lebih baik di antara ektremis Islam dengan ekstremis sekular? Mana yang lebih baik di antara mereka yang benar-benar ingin menerapkan Islam yang menjanjikan kesejahteraan dan kebaikan dengan mereka yang benar-benar ingin mempertahankan sekularisme yang telah terlalu banyak membawa kehancuran dan kerosakan di bumi Allah ini?? Mana yang lebih baik di antara mereka yang esktrem berdakwah dan berjuang untuk menegakkan Deen Allah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat yang mulia, dengan mereka yang ekstrem ingin menghapuskan para pejuang ini?

Kebencian dan ketakutan golongan kuffar akan kembalinya Sistem Islam adalah sangat nyata dan mereka tidak mampu menyembunyikannya lagi. Ini jelas terpancar dari kata kata Setiausaha Dalam Negeri Britain, Charles Clark pada 5 Disember 2005 dalam ucapan beliau di ‘The Heritage Foundation’,

‘Apa yang menggerakkan kelompok ini adalah pemikiran. Dan (kelompok ini) bukanlah seperti pergerakan pembebasan selepas Perang Dunia Kedua di kebanyakan tempat di dunia yang mengejar tujuan politik seperti kemerdekaan negara dari penjajah kolonial atau kesamarataan bagi semua penduduk tanpa mengira bangsa mahupun kepercayaan atau perjuangan kebebasan bersuara tanpa penindasan yang bersifat totalitarian. Secara prinsipnya, kita boleh bertolak ansur dalam cita-cita sebegini, dan kita sebenarnya telah pun bertolak ansur dalam kebanyakan kes. Walaubagaimanapun tidak ada tolak ansur tehadap perjuangan menegakkan semula Daulah Khilafah Islam, tidak ada tolak ansur terhadap perjuangan menerapkan Syariah Islam, tidak ada tolak ansur terhadap ancaman kepada kesamaan gender dan tidak ada tolak ansur terhadap sekatan ke atas kebebasan bersuara. Nilai-nilai inilah yang mendukung peradaban kita dan tidak boleh ada tolak ansur ke atasnya’.

Wahai kaum Muslimin! Kafir Barat telah, sedang dan akan bersungguh-sungguh berusaha dengan apa cara sekalipun untuk memecahbelah dan melemahkan persatuan kita. Tuduhan mereka yang palsu dan penuh bias terhadap Islam dan penerapan Islam memanifestasikan kebencian dan dendam mereka terhadap Islam. Hakikatnya, Islam telah selama lebih 1300 tahun memberikan kesejahteraan dan kemajuan untuk umat manusia. Hakikat ini mereka cuba ketepikan, mereka cuba putarbelitkan. Mereka letakkan Islam di kandang pesalah dan mereka lontarkan pelbagai tuduhan sehingga ada di antara umat Islam yang turut sama menuding jari ke arah Islam dan mempersalahkannya. Barat sekali-kali tidak akan berhenti di dalam usaha ini. Mereka akan terus menggunakan kelompok ekstremis sekular untuk cuba melemah dan menghancurkan para pejuang Islam yang ikhlas.

Wahai kaum Muslimin! Kita bersaudara. Kita adalah satu kesatuan. Haram untuk kita berpecah belah dan bermusuhan. Musuh kita adalah mereka yang menolak Allah dan RasulNya, bukan sesama kita. Marilah kita bersatu menunjukkan perpaduan dan kekuatan kita kepada musuh Allah ini. Buktikan bahawa peperangan fizikal mahu pun peperangan pemikiran yang mereka lancarkan ke atas kita adalah lemah berbanding keagungan dan kekuatan Islam; bahawa makar mereka adalah lemah dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas Makar. Sesungguhnya Allah adalah bersama hamba-hambaNya yang ikhlas. Berdoalah akan kemenangan kita wahai saudaraku, sesungguhnya Allah itu adalah dekat dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan. Amin ya Rabbal ’alamin.

Tiada ulasan: