Translate

Followers

EZ Q

Khamis, 1 Jun 2006

Hina khutbah, sekolah agama dan gereja....(what's going on??)
KUALA LUMPUR, 1 Jun (Hrkh) - Kenyataan Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kaitan golongan agama dengan ekstrem dalam satu forum anjuran Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Asean (Asean-Isis) dianggap akan mengundang kepada kebencian antara masyarakat pelbagai agama di negara ini dan di dunia, kata Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Dr Rosli, Abdullah dalam forum Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-20 di Kuala Lumpur mengaitkan pelampau berkhutbah semasa sembahyang Jumaat dan mengajar di sekolah agama dengan menganjurkan kebencian dan sikap jangan bertolak ansur.

Malah Abdullah juga dilaporkan berkata, perbuatan serupa (pelampau) juga diajar di gereja setiap Ahad dan semasa berceramah di radio, kata Dr Rosli ketika memetik kenyataan Abdullah yang tersiar dalam media arus perdana semalam.

Berang dengan kenyataan yang disifatkan menghina itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan (BPPNS) akan membuat satu laporan polis ke atas Abdullah di Negeri Sembilan selepas Jumaat (esok), kata Dr Rosli.

Cemar imej Islam

"Laporan ini penting supaya Abdullah sedar bahawa ucapannya itu telah mencemar imej Islam itu sendiri," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani pula berkata, tuduhan yang dibuat oleh Abdullah dalam ucapannya itu tidak berasas.

Malah katanya, tuduhan itu dilihat melampau dan boleh mendatangkan perselisihan faham antara masyarakat berbilang agama di negara ini dan di seluruh dunia.

"Sebagai umat Islam saya kesal dengan kenyataan Abdullah ini yang dilihat sebagai satu provokasi dan tuduhan tidak berasas," katanya.

Justeru beliau dan BPPNS akan membuat laporan itu supaya kenyataan Abdullah yang tidak berasas itu akan disiasat secara bebas oleh pasukan polis, katanya.


Abdullah heret konflik gereja dan khutbah

Abdullah dalam satu laporan akhbar semalam dilaporkan sebagai berkata, perkara utama yang perlu dilakukan secara sejagat ialah menyekat sekolah dan rumah ibadat daripada mengajar dan menanam perbuatan melampau.

"Ini berlaku di kedua-dua pihak. Pelampau berkhutbah semasa sembahyang Jumaat dan mengajar di sekolah agama dengan menganjurkan kebencian dan sikap jangan bertolak ansur.

"Dan perbuatan serupa juga diajar di gereja setiap Ahad dan semasa berceramah di radio.

"Pelampau-pelampau ini saling membiak dan mereka semakin bertambah,'' kata Abdullah ketika menyampaikan ucaptama persidangan itu.


Rombak kurikulum sekolah agama?

Abdullah juga dilaporkan berkata, mengekang ekstrem bukanlah sesuatu yang mudah kerana sewaktu konfrantasi dan krisis, ekstremisme memiliki daya tarikan yang kuat.

"Golongan sederhana mengalami masa yang sukar. Pelampau akan mengeksploitasikan sentimen agama, nasionalisme dan patriotisme,'' katanya.

Sehubungan itu, Abdullah mencadangkan bagi dunia Islam, beberapa negara hendaklah meningkatkan usaha untuk menukar sekolah agama mereka daripada institusi yang melahirkan pelampau kepada pusat membentuk modal insan bagi menyumbang kepada satu ekonomi yang moden.

Tiada ulasan: