Translate

Followers

EZ Q

Sabtu, 18 Oktober 2008

Pak Lah Bakal terkorban atau Dikorbankan ??-Malaysiakini

Apakah yang berlaku apabila ketua harimau sudah kehilangan taring? Sudah tentulah ia tidak lagi digeruni harimau-harimau yang lain dan jika ada bangkai yang ditinggalkan, sudah tentulah pula harimau-harimau lain akan berebut-rebut untuk mendapatkan bangkai tersebut. Itulah perumpamaan realiti yang berlaku di dalam UMNO pada ketika ini.

Pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO Mac tahun depan dianggap sebagai satu pengorbanan besar oleh ramai pihak khususnya dari kalangan pemimpin UMNO sendiri. Banyak kenyataan-kenyataan positif yang dikeluarkan yang menunjukkan mereka sebenarnya ‘mengalu-alukan’ keputusan bapa mertua Khairy Jamaluddin itu.


Desakan agar Pak Lah yang bermasalah ini untuk melepaskan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri telah disuarakan oleh beberapa pemimpin UMNO sejak kekalahan BN dalam pilihan raya Mac lalu lagi. Namun, bekas Mr. Clean ini berkali-kali menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana beliau masih mendapat sokongan rakyat, katanya.

Tidak tahan panas telinga dengan desakan pemimpin tertinggi dalam UMNO sendiri, maka Pak Lah terpaksa membuat pelan peralihan kuasa yang ditetapkan pada Jun 2010. Namun, suara-suara pedas yang memanaskan telinga Pak Lah masih belum puas hati kerana 2010 dirasakan terlalu lama. Desakan dilakukan lagi agar proses peralihan kuasa dipercepatkan.

Kini, Perdana Menteri Malaysia kelima ini nampaknya terpaksa akur dengan kehendak ‘musuh’ di dalam selimut yang mahukan beliau turun dari takhta secepat mungkin. Setelah pengumuman dibuat untuk tidak mempertahankan jawatan presiden UMNO dan sekali gus menyerahkan kepimpinan negara kepada Timbalannya, maka ramailah pula pihak yang beranggapan bahawa ini satu pengorbanan dari beliau.

Benarkah ini satu pengorbanan, atau Pak Lah sememangnya terpaksa berkorban kerana sudah tidak tahan dengan desakan dari luar, bukan dari dirinya sendiri? Kalau ikutkan hatinya, mungkin beliau masih ingin menjadi Perdana Menteri, setidak-tidaknya sama tempoh dengan Tun Dr Mahathir yang telah memegang takhta selama 22 tahun.

Jika semasa Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendiriannya dengan tegas yang mahukan peralihan kuasa dipercepatkan, dia dikecam daripada segenap penjuru oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang lain kerana dianggap telah ‘menderhaka’ kepada Presiden Parti.

Namun sebenarnya ternyata, pandangan Muhyiddin itu telah mendapat tempat nun jauh di lubuk hati setiap pemimpin tertinggi UMNO, cuma yang lain masih kecut perut untuk bersuara. “Silence majority’ dalam kepimpinan UMNO ternyata telah menyebabkan Pak Lah terpaksa berundur lebih awal, dari mendapat malu kalah dalam pertandingan Mac nanti.

Kebiasaan yang wujud di dalam UMNO adalah terdapat ‘perang saudara’ yang sengit dan tidak kurang juga banyak kambing hitam yang perlu dikorbankan di dalam setiap kali pemilihan parti berlangsung. Kini, nampaknya majoriti pemimpin UMNO bersetuju bahawa yang patut dijadikan ‘korban’ kali ini adalah ketua mereka sendiri, dan sebagai satu penghormatan, mereka bersepakat agar ‘korban’ tersebut tampil ke hadapan bagi menyatakan ‘pengorbanannya’. Hakikat ini lebih mulia dari ketuanya ‘terkorban’ semasa pertandingan nanti, yang mana besar kemungkinan untuk ianya berlaku.

Persoalan kepada rakyat, khususnya kita umat Islam adalah, siapakah yang untung daripada pengunduran Pak Lah ini? Sudah tentulah tidak ada apa-apa keuntungan kepada rakyat kerana penggantinya nanti pun sama-sama sekular dengan orang yang diganti, sistemnya pun nanti sama, kepimpinannya nanti pun sama, malah tidak mustahil lebih zalim dari yang sebelumnya.

Pokoknya, tidak ada keuntungan sedikit pun baik kepada Islam mahupun umatnya kerana agenda mereka adalah sekular, bukannya Islam. Kita langsung tidak mendengar pengganti PM nanti akan menegakkan syariat Islam secara kaffah dan menukar matlamat perjuangannya, apabila dia memerintah nanti. Apa yang kita dengar adalah perebutan jawatan sesama ahli UMNO yang semakin hebat dan tidak ada satu pun suara di kalangan mereka yang ingin menegakkan hukum Al-Quran dan Sunnah.

Sisa-sisa kekayaan negara yang masih banyak yang bakal ditinggalkan Pak Lah kini tentunya menjadi perhitungan dan rebutan, bukan sahaja di kalangan pemimpin atasan, malah yang di bawah juga tidak mahu ketinggalan.

Masing-masing pada ketika ini mungkin sudah ada yang mula mengira bajet dan mencari wang sebanyak mungkin serta memikirkan teknik terbaik bagaimana untuk merasuah para perwakilan UMNO nanti agar mengundi mereka. Inilah hakikat yang berlaku dalam UMNO sejak dulu, kesan dari politik Kapitalis di dalam perjuangan assobiyah mereka. Malang sungguh bagi umat Islam, kerana inilah para pemimpin mereka.
sumber : MyKhilafah

Tiada ulasan: