Translate

Followers

EZ Q

Isnin, 13 Disember 2010

AGAK-AGAK CAMMANA KELAS BILA ADA 2 ORANG GURU

Kementerian Pelajaran merancang menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

Cadangan itu adalah antara 28 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Dalam laporannya, jawatankuasa itu mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada peningkatan beban tugas guru, termasuk penyertaan dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata satu pelan operasi latihan juga sedang dibangunkan untuk dilaksanakan tahun depan bagi mengurangkan kekerapan guru meninggalkan kelas untuk berkursus.

Malah, katanya, antara perakuan yang sudah diambil tindakan ialah memohon agensi Pusat menempatkan 100 jawatan pembantu tadbir N17 melalui urusan pindah butiran perjawatan di 50 sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1,500 murid untuk mengurangkan tugas perkeranian yang terpaksa dilakukan guru.

Beliau berkata, semua perakuan itu dikemukakan selepas isu beban tugas guru dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.
Katanya, jawatankuasa itu dalam laporannya turut mendedahkan ada guru memegang dan melaksanakan sehingga 30 tugasan di sekolah serta peringkat daerah dan negeri.

Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa pelaksanaan ditubuhkan dan akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menyemak status pelaksanaan semua perakuan yang kemukakan jawatankuasa berkenaan.

Mengenai aduan aktiviti sekolah pada Sabtu, Mohd Puad berkata, pekeliling sudah dikeluarkan dengan membenarkan hanya dua Sabtu dalam sebulan dibenarkan aktiviti sekolah dan kegagalan mematuhinya perlu dilaporkan kepada kementerian.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jawatankuasa berkenaan turut memaklumkan kepada pihaknya berhubung kajian yang dilakukan di beberapa sekolah di Johor dan Melaka, termasuk cadangan mengurangkan peperiksaan dan ujian yang diganti dengan penilaian.

“NUTP difahamkan mulai Januari depan, penilaian itu akan diamalkan setiap bulan yang menjurus kepada ujian pendek dengan soalan disediakan guru.

“Ini bermakna beban guru semakin bertambah lagi dan tiada pengurangan, kita berharap kerajaan akan mengkaji semula perkara ini,” katanya.


INFO: Antara beban tugas guru
Kekerapan guru keluar berkursus
Kokurikulum/sukan
Tugas hujung minggu
Tugas rencam
Tugas tidak jelas
Penempatan guru
Rantaian arahan (chain of command)
Ujian/peperiksaan
Silap padanan (mismatch)
Saiz kelas
Sebaran kurikulum.

INFO: Antara perakuan tangani isu beban tugas guru
Menambah staf sokongan untuk tugas perkeranian
Pengwujudan jawatan pembantu bengkel di semua sekolah menengah
Menambah jawatan Pembantu Perpustakaan N17
Gabungan jawatankuasa pada peringkat sekolah tidak melebihi 10 jawatankuasa
Pelan Operasi Latihan Tahunan
Aktiviti Sabtu berjadual tidak melebihi 2 kali sebulan
Jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak
Mewujudkan jawatan Jurulatih Utama Kurikulum
Pengenalan kurikulum secara atas talian
Penganjuran kursus yang berasaskan sekolah diperluas
Guru pembantu bagi kelas melebihi 35 murid untuk sekolah rendah dan 40 pelajar di sekolah menengah
Kajian semula bilangan enrolmen pelajar di sesebuah kelas supaya lebih kondusif
Pembinaan lebih banyak sekolah di kawasan padat untuk tujuan sekolah satu sesi
Pengurangan ‘mismatch’ melalui pelabelan guru serta iktiraf guru melalui latihan.
Lebih ramai guru lelaki di kawasan pedalaman dan bandar raya
Tempoh perkhidmatan di pedalaman ditetapkan lima tahun
Pasangan suami isteri bertugas di pedalaman ditempatkan di sekolah sama atau berhampiran
Kemudahan dan persekitaran kerja kondusif
Perlindungan insurans takaful semasa menjalankan tugas rasmi di luar sekolah
Penyediaan khidmat guaman kepada guru bagi kes berkaitan tugas rasmi.

2 ulasan:

Muslimah Optimis berkata...

salam...

perkongsian menarik..

bagi saya tak ada masalah kalau ada guru pembantu dalam kelas sama seperti tugas pembantu pengurusan murid dalam kelas pendidikan khas, tugas mereka membantu guru bukan mengajar bersama-sama. Guru utama sahaja yang akan mengajar..

ustaz CS berkata...

assalamualaikum...
minta tolong sahabat link kan blog ini...
http://lagenda-cinta.blogspot.com/
terima kasih