Translate

Followers

EZ Q

Sabtu, 17 Julai 2010

PERKAHWINAN BAWAH UMUR BERLELUASA DI LADANG NEGERI SEMBILAN

Perkahwinan seawal usia 12 tahun masih banyak berlaku di kalangan kaum India di estet-estet perladangan di Negeri Sembilan.Sami Kuil Mariamman di Ladang Geddes, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Velanaranie, 78 tahun, berkata, pada 2009 sahaja, beliau sudah mengahwinkan lima pasangan kekasih yang masih muda.'Kelima-lima pasangan ini tidak mendaftarkan perkahwinan mereka tetapi cuma mengikat Thali (tali sebagai simbol pernikahan). Dua orang pengantin perempuan yang dinikahkan itu langsung tidak mempunyai kad pengenalan,' katanya.

Masalah lahir tanpa dokumen dan ketiadaan kad pengenalan merupakan satu lagi isu biasa di kalangan kaum India yang tinggal di estet.Dalam kelima-lima kes itu, Encik Velanaranie mengahwinkan pasangan tersebut tanpa kehadiran ahli keluarga. Beberapa daripada pasangan itu tidak pernah menamatkan persekolahan mereka.Encik Velanaranie difahamkan terdapat sekurang-kurangnya enam pasangan yang lari dari rumah di ladang itu pada usia di bawah 18 tahun.

Ketua Kampung Ladang Geddes, Encik Tam Lui Chong, 56 tahun, berkata masalah perkahwinan seperti itu menyebabkan ramai keluarga India di ladang mempunyai anak yang tidak pernah didaftarkan kelahiran mereka.

'Akibatnya keturunan yang selepas itu mengikut jejak emak bapa mereka. Walaupun mereka tidak berpendidikan tinggi, mereka tidak terlibat dalam kegiatan jenayah, cuma masalahnya, pengetahuan am mereka sangat kurang,' katanya.Semasa bancian daftar pengundi dibuat baru-baru ini, daripada 160 orang yang mendaftarkan diri, 20 orang masih menggunakan kad pengenalan lama dan tujuh tidak mempunyai kad pengenalan langsung.'Ini mungkin disebabkan mereka kurang pendidikan sehingga menjadikan mereka tidak berminat untuk mengetahui apa yang berlaku di sekitar mereka,' katanya.

Pemandu lori, Encik K. Naryanan, 24 tahun, mengahwini isterinya, Cik M. Kaladevi, 21 tahun, ketika wanita itu berusia 15 tahun di Ladang Geddes.Encik Naryanan, yang berhenti sekolah semasa darjah enam mengakui mula bercinta pada usia 14 tahun dan berkahwin semasa berusia 18 tahun selepas Cik Kaladevi mengandung.
'Saya beritahu keluarga, kekasih saya sudah mengandung dan mahu mengahwininya, tetapi mereka menentang hasrat saya itu dan saya keluar daripada rumah untuk kahwin dengan Kaladevi,' katanya. 

Sumber : Bernama.

Tiada ulasan: