Perlawanan suku akhir Piala Dunia 2010 antara Jerman dan Argentina, malam kelmarin, dikatakan disertai paling ramai kaki judi sejak pertandingan itu bermula 11 Jun lalu dengan nilai pertaruhan mencecah lebih RM100 juta.
Perlawanan itu yang berkesudahan 4-0 memihak kepada Jerman juga dikatakan menyaksikan bookie mengaut keuntungan sehingga RM95 juta, berikutan hanya lima peratus pertaruhan diletakkan pada keputusan jaringan berkenaan.Sumber memberitahu Berita Harian, jumlah pertaruhan tertinggi itu berikutan penyertaan ramai kaki judi dari Singapura.Perlawanan Jerman dan Argentina memang ditunggu-tunggu kaki judi kerana masing-masing adalah gergasi bola sepak dunia, selain mempunyai rekod cemerlang dalam Piala Dunia. Ini yang mendorong mereka membuat pertaruhan, namun tidak meletak sasaran tinggi kerana menjangkakan persaingan sengit.
Namun, keputusan semalam (kelmarin) cukup mengejutkan, lebih-lebih bagi gergasi seperti Argentina yang sudah beberapa kali menjulang Piala Dunia. Ini menyebabkan ramai kaki judi mengalami kerugian besar, katanya.
Menurut sumber itu, kebanyakan kaki judi bertaruh atas Argentina untuk mencapai kemenangan 1-0 atau 2-1 ke atas Jerman, begitu juga sebaliknya.
Risikan Bukit Aman mendapati hanya lima peratus kaki judi membuat pertaruhan tepat dari segi jumlah gol, dengan perlawanan berpihak kepada Jerman. Ini menyebabkan 95 peratus lagi kaki judi, terutama yang bertaruh ke atas Argentina berputih mata.Dengan jumlah mencecah RM100 juta, kita yakin ramai bookie menjadi jutawan segera hasil daripada perlawanan itu, katanya.Dalam pada itu, polis berjaya menumpaskan sekurang-kurangnya tujuh lagi sindiket bola sepak, malam kelmarin, melalui Ops Soga.
Sementara itu, sumber berkata, tiga daripada tujuh orang kenamaan yang dikenal pasti dalang utama bookie Piala Dunia 2010, dipercayai masih berada dalam negara dan bersembunyi selepas kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan