Translate

Followers

EZ Q

Rabu, 8 Julai 2009

DOKTOR NIE BUAT ACTION RESERCH KE TAK NIE ??

Jangkitan virus influenza A(H1N1) atau selesema babi berlaku antara manusia ke manusia sahaja dan orang ramai tidak berisiko untuk mendapat jangkitan sekiranya mengambil atau menggunakan babi atau produk berasaskan babi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, memberitahu Dewan Negara hari ini bahawa virus influenza A(H1N1) terhasil daripada proses mutasi atau dikenali sebagai "reassortment" daripada gen virus influenza yang bercampur antara gen virus influenza daripada babi (swine), burung (avian) dan manusia.

Katanya, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 30 April lalu, jangkitan virus influenza A(H1N1) adalah virus baru dan berlaku antara manusia ke manusia, justeru ia tiada kena mengena dengan mereka yang mengambil babi atau produk berasaskan babi untuk mendapat jangkitan virus berkenaan.

Menjawab soalan Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn, Rosnah berkata penternakan babi di ladang-ladang babi di negara ini berada dalam keadaan terkawal.

"Bagi memastikan ladang-ladang babi di negara ini terkawal daripada selesema babi, kementerian bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPVM) yang juga anggota tetap kepada Jawatankuasa Teknikal Antara Agensi Menangani Pandemik Influenza, JPVM telah melaporkan penternakan babi di ladang-ladang babi negara ini terkawal dan pemantauan pemantauan virus selesema babi (Classical Swine Flu) dan Influenza A H1N1 sedang dilaksanakan," katanya.

Katanya, sehingga kini sejumlah 17,459 spesimen daripada 672 ladang-ladang babi di seluruh negara telah diambil dan daripada jumlah itu 191 spesimen di dapati positif bagi virus Classical Swine Flu serta tiada spesimen positif bagi virus Influenza A (H1N1).

"Classical Swine Flu tidak berlaku jangkitan kepada manusia sebaliknya berlaku di kalangan babi sahaja di mana berlaku gejala-gejala seperti selesema, batuk, keletihan dan kurang selera makan," katanya.

Sebanyak 776 buah ladang penternakan babi terdapat di seluruh negara.

Rosnah berkata, pemantauan terhadap ladang penternakan babi sentiasa dilakukan oleh JPVM bagi mengesan sebarang kejadian luar biasa dan sebarang maklumat mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh kementerian.

"Orang ramai tidak perlu berasa bimbang dengan pengambilan atau penggunaan babi serta tidak mengaitkan kejadian influenza A(H1N1) ini dengan amalan pengambilan makanan berasaskan babi," katanya.

Sehingga jam 8 pagi ini, beliau berkata sebanyak 513 kes selesema babi dilaporkan di Malaysia yang membabitkan 378 kes import serta 135 kes tempatan dan tiada kematian dilaporkan pada masa ini.

Tiada ulasan: