Translate

Followers

EZ Q

Ahad, 19 April 2009

Dimana Penyelesaiaan Bagi Masalah ini ??-Malaysiakini

“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.

“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.

“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.

Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.

Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.

“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.

“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.

Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cintaBAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti.

Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.

Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia.

“Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih.

“Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.

Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal.

Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka.

“Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran.

“Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan... sudah macam suami isteri,” katanya.

Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan.

“Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak.

Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.

Tiada ulasan: