Translate

Followers

EZ Q

Rabu, 4 Mac 2009

Malaysia akan hadapi kemelesetan ekonomi

Nilai mata wang Ringgit dijangka terus jatuh sehingga paras RM4.00 bagi sedolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua atau ketiga pada tahun ini berikutan mata wang asing itu kini menjadi rebutan pelabur di seluruh dunia.Keadaan itu berlaku kerana pelabur-pelabur sejagat semakin meyakini dengan program-program pelan rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh AS.

Penganalisis Teknikal Pasaran Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Nazri Khan, bagaimanapun berkata, kejatuhan nilai ringgit itu adalah bersifat sementara kerana krisis kewangan global semakin menghampiri penghujungnya.''Walaupun begitu, pasaran masih lagi tidak menentu dan menyebabkan pelabur mula panik dan berlakunya gelombang jualan.''Keadaan ini mengakibatkan berlaku peralihan kepada dolar AS, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap mata wang tersebut meningkat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aliran kemerosotan nilai mata wang tempatan sejak semalam.Pada hari ini, mata wang ringgit diniagakan pada 3.7075 berbanding AS$1 berbanding semalam 3.7260, paras terendah sejak tiga tahun lalu. Tambah Nazri, ringgit nampaknya berada dalam arah aliran menurun ke arah RM3.80 berbanding dolar AS, tahap tambatan yang dikenakan pada 1 September 1998.
Malaysia pernah melaksanakan tambatan ringgit pada RM3.80 kepada dolar AS pada September 1998 bagi mengawalnya daripada tindakan spekulator mata wang semasa krisis kewangan Asia 1997/98, sekali gus melindungi ekonomi negara.

Sebelum krisis yang bermula dengan serangan ke atas baht Thai pada Julai 1997, ringgit diniagakan pada paras yang tinggi iaitu RM2.42, namun turun mendadak berbanding dolar susulan spekulasi berlebihan.Ringgit pada satu ketika pada 1998 pernah jatuh RM5.20, menyebabkan kerajaan mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit yang dimansuhkan kemudiannya pada 21 Julai 2005.Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan ASM Investment Services Bhd., Rusli Abu Yamin tidak menafikan semua negara kini mula beralih kepada dolar AS kerana kedudukannya yang semakin stabil.Menurut beliau, dalam situasi semasa, ia agak sukar untuk menyaksikan ringgit berada di sekitar 3.400.

Bagaimanapun, katanya, penurunan mata wang tempatan itu tidak perlu dibimbangi kerana ia bukan disebabkan spekulator, sebaliknya lebih kepada faktor dasaran.''Oleh itu, meskipun ringgit jatuh tetapi ia tidak perlu ditambat.''Lagipun, tidak ada sesiapa yang mahu menyerang mata wang kita, jadi tidak ada isu supaya ringgit ditambat,'' ujarnya.Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Profesor Dr. Mahani Zainal Abidin berkata, walaupun ringgit lemah berbanding dolar AS, tetapi mata wang tempatan tidak perlu ditambat.''Mata wang kita masih berada di bawah nilai,'' katanya.

Tiada ulasan: