Translate

Followers

EZ Q

Jumaat, 13 Mac 2009

Biodata Almarhum As-sheikh Abu Hassan An-Nadawi

Beliau putera ‘Abdul-Hayyi al-Hasani, dilahirkan pada bulan Muharram 1332 H. di Ray Barelly di India Utara, dalam kalangan keluarga yang sangat teguh beriman kepada tauhid, menjaga Sunnah Nabi s.a.w. dan menegakkannya dalam hidup serta menentang bid’ah yang muncul dalam masyarakat.

Semenjak kecil lagi beliau mempelajari agama Islam dengan baik dan mendalam; kemudian beliau menuntut di Nadwatul ‘Ulama di Lucknow dan juga menuntut dengan beberapa orang ulama besar yang terkemuka di Deoband dan Lahore.

Buku beliau yang pertama dalam Bahasa Arab tentang riwayat hidup Imam Ahmad Shahid dan ini diterbitkan oleh Syed Rashid Ridha pada tahun 1931, ketika beliau berumur 16 tahun.

Kemudian beliau dilantik sebagai pensyarah ilmu tafsir dan sastera Arab di Ma’had Daril-‘Ulum Nadwati’l-‘Ulama’ Lucknow buat beberapa tahun lamanya; beliau juga diangkat menjadi ketua redaksi majalah Ilmiah “an-Nadwah”.

Pada tahun 1361 H. beliau memberi ceramahnya berkenaan dengan dengan tajuk “Agama dan Kemajuan” di Jami’ah Milliyah Islamiah - iaitu Universiti Islam Miliyyah di India; kemudian beliau banyak mengarang buku-buku dalam Bahasa Arab terutamanya untuk para pelajar madrasah Islamiah, antaranya seperti kitabnya yang berjudul “Mukhtarat min Adabil-‘Arab” yang banyak dipakai sebagai buku pegangan untuk universiti-universiti Islam di India dan juga di negeri-negeri Arab. Antaranya juga beliau mengarang kitab tentang Riwayat Hidup para Nabi dan Qira’atul-Rasyidah yang kedua-duanya merupakan bacaan yang sangat baik untuk anak-anak yang ingn belajar bahasa Arab.

Di Kota Lucknow beliau mendirikan institusi iaitu Islamic Research and Publications (Penyelidikan Islam dan Penerbitan) pada tahun 1378 H.

Kegiatan beliau yang paling menonjol selain daripada penulisan ialah gerakan dakwah Islamiah di India. Demi untuk menjayakan dakwah itu beliau sering keluar negeri untuk menyampaikan kuliah-kuliahnya di negeri-negeri Arab, Eropah dan Amerika Syarikat.

Dalam tahun 1364 H. beliau menulis kitabnya yang sangat terkenal di tengah-tengah dunia Islam yang berjudul “Madha Khasiral-‘Alam bi’n-hitat’l-Muslimin” (Apa Kerugian Alam Dengan Menurunnya Umat Islam). Kitab tersebut diterbitkan di Mesir tahun 1369/1950, dan ianya dicetak-ulang beberapa kali. Terjemahan Melayunya berjudul “Apa Derita Dunia Bila Islam Mundur” oleh H. Zubeir Ahmad, terbitan Media-Da’wah - Thinkers Library, cetakan pertama Indonesia tahun 1983, di Malaysia tahun 1986. Satu lagi terjemahan Indonesianya ialah yang berjudul “Kerugian Apa yang Diderita Dunia Akibat Kemorosotan Muslimin” terjemahan Abu Laila dan Muhammad Tohir, terbitan al-Ma’arif, Bandung, dengan pendahuluan oleh alm Syed Qutb dan Dr Muhammad Yusuf Musa. Pada tahun 1380 H. beliau diangkat menjadi wakil Ma’had Daril-‘Ulum Nadwatul-‘Ulama; kemudian diangkat lagi sebagai rektor Ma’ahad itu sampai ke akhir hayatnya. Tahun 1957 M beliau diangkat menjadi anggota Lembaga ilmu Pengetahuan Arab di Kota Damsyik; selain itu beliau diangkat menjadi anggota Majlis Ta’sisi Rabitah al-‘Alam al-Islami di Makkah semenjak tahun 1380 H./1980 M.; juga beliau dilantik sebagai anggota majlis A’la di Universiti Islam Madinah. Semenjak tahun 1959 beliau diangkat sebagai ketua Lembaga Pendidikan Agama di seluruh willayah Utara India.

Sampai sekarang hasil penulisannya sampai lebih enam puluh buah buku dalam Bahasa Arab dan Urdu. Naskhah Inggerisnya antaranya biasa diterjemahkan oleh Mohiuddin Ahmad dan Muhammad Asaf Qidwa’i.

Tiada ulasan: