Translate

Followers

EZ Q

Selasa, 24 Februari 2009

Tayangan Video Sebagai Kaedah Pengajaran (Video Editing)

Memang seronok apabila murid-murid dipertontonkan dengan tayangan video ataupun siri rancangan televisyen (TV) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tayangan video atau siri rancangan televisyen mempunyai nilai pendidikan baik dari segi fakta dalam satu-satu mata pelajaran ataupun dari segi kemahiran dan pengetahuan am.
Terdapat pelbagai kategori pada rancangan-rancangan tersebut seperti dokumentari, cereka, berita, sukan, kebudayaan dan sebagainya. Ada rancangan yang mempunyai kaitan secara langsung dengan topik-topik pembelajaran seperti filem dokumentari tentang kehidupan binatang, proses fotosintesis, rancangan topikal yang terdapat dalam siaran TV Pendidikan ataupun program interaktif yang terdapat pada cakera padat terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) yang boleh dirakam salin untuk kegunaan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Ada juga rancangan-rancangan yang tidak menjurus pada sesuatu mata pelajaran tetapi fakta, mesej, dan persekitarannya mampu merangsang murid untuk berfikir serta mengaitkannya dengan sesuatu topik dalam pembelajaran. Adegan filem atau drama, berita dari TV, adalah di antara contoh rancangan yang boleh digunakan oleh murid-murid untuk dijadikan bahan dalam pembelajaran.

Sebagai contoh adegan perlumbaan kereta dalam sesebuah drama mampu membawa perhatian murid ke arah perbincangan tajuk karangan “Faktor kemalangan jalanraya.” Melalui gerakan maupun tindakan barisan pelakon mampu mencetus idea untuk dikaitkan dengan soalan perbincangan. Rancangan berita dalam Bahasa Inggeris mampu juga dijadikan aktiviti dalam kemahiran membaca dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Apa yang menyeronokkan ialah bahan yang ditontonkan itu mempunyai banyak unsur seni seperti, seni lakon, seni muzik, seni rupa dan sebagainya untuk dirangkumkan ke dalam satu bentuk cerita ke arah memenuhi cita rasa penonton.
Dalam keadaan ini murid akan lebih tenang dan terhibur melalui adegan yang disiarkan dan secara tidak langsung segala fakta yang berkaitan dengan pembelajaran dapat diikuti dengan baik melalui perancangan yang rapi.

Bagaimanakah rancangan ini dapat disusun secara berkesan? Perkara ini akan dibincangkan pada penulisan yang akan datang.

Aktiviti perbincangan

Sebutkan salah satu rancangan televisyen yang anda minati. Bincangkan bagaimanakah rancangan ini membantu anda dalam pembelajaran.

Tiada ulasan: