SEBELUM kemunculan Islam, umat manusia berada dalam keadaan berpecah-belah dan permusuhan. Tiada sebarang ikatan di antara mereka selain 'asabiah' (perkauman yang keji dan sempit). Pada ketika itu hanya wujud perkauman Arab, Parsi, Tauran dan beberapa bentuk perkauman lain. Perkauman itu pula terbahagi kepada beberapa fahaman etnik, puak dan juga kabilah seperti Aus dan Khazraj di Madinah, Bani 'Adnan dan Bani Qahtan di Semenanjung Tanah Arab, golongan Asyuriyyin di Iraq dan Lubnan dan bangsa Barbar di Maghribi.
Apabila Islam muncul, keadaan itu mulai berubah. Semua umat manusia diseru supaya meninggalkan segala bentuk ikatan jahiliah yang sempit, sebaliknya disarankan bersatu membentuk satu umat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu iaitu agama yang mempunyai satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku." (Surah al-Mukminun, ayat 52) Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (pada masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Surah Ali 'Imran, ayat 103)
Begitulah Islam berjaya mengubah sikap taksub bangsa dan perkauman, malah menyeru semua kaum supaya bersatu menjadi satu umat yang bersaudara dan bersatu padu. Sebarang kelebihan sesuatu kaum itu hanyalah berdasarkan kepada kekuatan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berusaha mewujudkan perpaduan dan persaudaraan yang menyeluruh di kalangan umat Islam yang terdiri daripada pelbagai kaum dan antara orang Islam dengan bukan Islam. Usaha murni Rasulullah SAW dapat dilihat sebaik saja Baginda berhijrah ke Madinah. Selain itu, Baginda SAW juga menyatupadukan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Usaha Rasulullah SAW menghapuskan fahaman perkauman ini menjadi asas pembinaan sebuah negara Islam seterusnya sebagai empayar Islam yang unggul dan terbesar. Usaha Rasulullah SAW itu adalah selari firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam membuat dosa serta permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)
Bagi memperkukuhkan lagi negara yang dibina, Rasulullah SAW berusaha menjalin persepakatan dan kerjasama dalam hal dibenarkan syarak antara umat Islam dengan kaum Yahudi yang tinggal di Madinah. Proses penyatuan dan kerjasama itu dilaksanakan oleh Baginda SAW melalui Perlembagaan Madinah dengan cara diplomasi. Melalui perlembagaan itu hak asasi manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan terjamin. Di samping itu, ia menetapkan bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama antara umat Islam dan kaum Yahudi. Namun begitu, kerjasama yang dilaksanakan Rasulullah SAW itu tidaklah berbentuk toleransi yang melulu terhadap orang bukan Islam. Sebenarnya umat Islam diharuskan menjalin perhubungan yang baik dengan orang bukan Islam. Perhubungan ini harus dipupuk dengan persefahaman dan kerjasama yang sihat semoga suasana aman dan harmoni dapat dicapai demi untuk meningkatkan lagi pembangunan masyarakat. Namun demikian, sejarah juga mengajar kita bahawa sikap berhati-hati tidak harus dilonggarkan sehingga persediaan kita untuk bertindak memulihkan kekeruhan dan ketegangan yang berlaku terjejas keberkesanannya.
Rasulullah SAW menunjukkan satu contoh unggul dalam menghapuskan fahaman perkauman. Oleh itu, kita sebagai orang Melayu beragama Islam wajar menjadikan usaha itu sebagai contoh dan panduan bagi mengembalikan kegemilangan perpaduan yang sudah lama dibina. Kita seharusnya menolak segala budaya berbentuk jahiliah sempit dan menerima segala amalan kebaikan. Oleh itu, elemen perpaduan yang dilaung-laungkan selama ini, wajib diberi perhatian serius oleh semua pihak. Ia bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh atau dipermainkan tetapi ia adalah syariat Islam.
Realitinya, tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan umat Islam kini masih belum menghayati dan mengamalkan sepenuhnya seruan perpaduan ini. Umat Islam dilihat terlalu taksub kepada semangat kepartian, keturunan dan kedudukan pangkat masing-masing sehingga melupai seruan perpaduan Islam. Jika sifat taksub masih membelenggu jiwa umat Islam, maka sukar untuk mewujudkan sebuah negara Islam yang kuat, maju, aman, berintegrasi pada peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam suasana harmoni serta bekerjasama sepenuhnya secara adil.
Sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah SWT, kita tidak seharusnya menjadikan perbezaan fahaman politik dan kedudukan pangkat sebagai punca perpecahan. Ini kerana agama lebih penting daripada parti politik dan segala ideologi ciptaan manusia. Justeru, untuk mengekalkan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara, elemen perpaduan dan persaudaraan amat penting. Sesebuah negara tidak mungkin dapat berdiri teguh jika masyarakat tidak bersatu padu ibarat pepatah Melayu: "Bersatu kita teguh bercerai kita roboh." Sesungguhnya perpecahan boleh mengundang banyak kerugian dan kelemahan kepada umat Islam. Sesebuah negara itu lebih senang dijajah apabila masyarakatnya tidak bersatu dan hidup tidak berpandukan al-Quran dan hadis. Kewujudan perpaduan di kalangan umat Islam jelas merunsingkan musuh Islam. Malah isu perpaduan umat Islam diberi perhatian serius oleh mereka.
Segala misi musuh Islam untuk menjajah negara umat Islam tidak akan berjaya selagi wujud perpaduan. Oleh itu jelaslah betapa pentingnya perpaduan dan persaudaraan ini. Kesimpulannya, perpaduan yang kukuh pemangkin kepada kecemerlangan dan kegemilangan negara serta tamadun Islam. Justeru setiap umat Islam hendaklah menghayati dan mensyukuri nikmat perpaduan serta berusaha memeliharanya sepanjang masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan