Translate

Followers

EZ Q

Sabtu, 5 Julai 2008

Perihal Tajdid ?? Ape Kebenda Tu ??

Perjuangan tajdid agama adalah disinonimkan dengan keadaan yang apabila lahirnya pemikiran meninggalkan agama. Atau dalam keadaan manusia menganggap sesuatu amalan yang tidak Islam sebagai Islam.Dengan kelahiran Imam Ibnu Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Al-Qayyim, Abu Hasan Al-‘Asyari, Hassan Al-Banna, Sayyeq Qutb, Maududi, Imam Ahmad bin Hanbal dan sebagainya adalah membuktikan bahawa mereka ini adalah golongan telah berusaha ke arah pentajdidan yang sesuai di zaman mereka.Golongan Mujaddid yang lahir di kemudiannya, dengan gaya tajdid yang dipimpin oleh mereka tidak pernah memperlekehkan golongan mujaddid yang terdahulu.Kita membaca perjuangan Imam Ahmad bin Hanbal (w 241 H) yang telah “berpeluh” dalam menghadapi golongan Muktazilah sehingga dia dipenjara oleh Muktazilah yang memerintah, iaitu zaman pemerintahan Al-Ma’mun yang telah terpedaya dengan dakyah Muktazilah dari seorang “ulama” muktazilah yang bernama Ahmad bin Abi Daud [2]
.Perjuangan itu telah disambung oleh murid-murid beliau yang dikenali sebagai golongan Hanabilah. Perjuangan mereka melawan Muktazilah dengan method Imam Ahmad bin Hanbal telah menyebabkan pertembungan hebat antara Muktazilah dan Ahli As-Sunnah ketika itu.Selepas dari itu, lahir pula seorang tokoh yang tidak kurang juga hebat dalam menghadapi golongan Muktazilah, iaitu Imam Abu Hasan Al-‘As’ari (W 324 H). Cara tokoh ini berserta pengikut-pengikutnya menghadapi Muktazilah agak berbeza dengan cara yang dipersembahkan oleh golongan Hanabilah.Golongan Hanabilah melakukan usaha menghadapi Muktazilah ketika itu dengan menggunakan method ahli hadis, tetapi Imam Abu Hasan Al-‘As’ari pula menghadapinya dengan menggunakan method “ilmu Kalam”.Hakikatnya, walau pun mereka berbeza dari sudut cara, tetapi mereka sebenarnya mempunyai satu matlamat, iaitu melakukan gerakan tajdid umat Islam di zaman tersebut daripada terpengaruh dengan pemikiran dan aqidah Muktazilah yang menyesatkan.Pembuktian atas kesamaan itu adalah, dengan tulisan Imam Abu Hasan Al-‘As’ari yang terawal, iaitu kitab “Al-Ibanah ‘An usul Ad-Diyanah”. Pun begitu, dalam menghadapi Muktazilah yang lebih menggunakan akal dalam berhujjah, maka Imam Abu Hasan Al-‘As’ari telah menulis kitab “Al-Luma’” sebagai jawapan balas atas kesesatan Muktazilah yang menyesatkan. Menurut kajian, antara kitab al-Ibanah dan kitab al-Luma’, kitab al-Ibanah adalah kitab terdahulu ditulis oleh Imam Abu Hasan Al-‘As’ari berbanding kitab al-Luma’.[3]Dari kedua-dua cara ini, didapati golongan Hanabilah yang berilmu, tidak menghina cara yang dibawa oleh Imam Abu Hasan Al-‘As’ari, bahkan sebaliknya, mereka memuji dengan cara tersebut.Antara tokoh Hanabilah yang memuji gaya Imam Abu Hasan Al-‘Asari adalah Imam Ibnu Taimiyyah. Ini dapat dibuktikan dengan kata-kata beliau didalam kitab Majmu’ al-Fatawa;
فإنا لما أردنا أن نبين مذهب السلف ذكرنا طريقين أحدهما أنا ذكرنا ما تيسر من ذكر ألفاظهم ومن روى ذلك من أهل العلم بالأسانيد المعتبرة والثاني أنا ذكرنا من نقل مذهب السلف من جميع طوائف المسلمين من طوائف الفقهاء الأربعة ومن أهل الحديث والتصوف وأهل الكلام كالأشعري وغيره
Maksudnya:
Jika kami mahu menerangkan mazhab Salaf, maka kami melakukan dengan dua cara.Pertama: Kami menyebut lafaz-lafaz mereka yang mudah dan menyebut perawinya yang terdiri daripada ahli Ilmu dengan sanad yang diterima pakai. Kedua: Kami menyebut orang-orang yang menukilkan mazhab Salaf daripada semua kumpulan Islam yang terdiri daripada fuqaha’ empat, ahli hadis, ahli tasawwuf, ahli kalam seperti golongan ASHAAIRAH dan lain-lainnya.Jadilah mazhab Salaf dinukilkan dengan kesepakatan kumpulan-kumpulan (Islam) dan dengan cara mutawatir. Kita tidak mengistinbatkan sesuatu itu (sebagai salaf iaitu datang kurun pertama) dengan semata-mata ia bertepatan dengan kita dan kita tidak mengistinbatkan salah disebabkan ia bersalahan dengan kita sebagaimana yang dilakukan oleh ahli-ahli bidaah. [4]Dari itu, kita dapat melihat bagaimana “keharakian” yang wujud dalam jiwa mujaddid-mujaddid ini dalam menghadapi musuh di zaman mereka.

Sejarah Tanah Melayu Untuk Tajdid di Malaysia
Kalimah “tajdid” tidak perlu dilaungkan bagi mengajak manusia kepada Islam. Pentajdidan ini berlaku dengan sebab kesedaran dari sebilangan ulama yang melihat bagaimana manusia sudah meninggalkan Islam.Berdasarkan kepada sejarah, perjuangan Barat dalam menjahanamkan Islam di Malaysia sudah lama berlaku. Melaka yang pernah menjadi “pusat dagangan antarabangsa”, telah banyak menyediakan bekalan barang dagangan untuk dihantar ke Turki merupakan pusat pemerintahan Islam, telah dijatuhkan oleh Barat pada tahun 1511.Apa yang pasti, sesuatu yang tidak boleh dinafikan, Islam adalah agama yang pernah memerintah di Tanah Melayu. Pembuktiannya boleh dlihat dengan sistem pemerintahan Islam yang diamalkan di zaman Raja-Raja Melayu ketika itu.Siapa yang tidak kenal dengan Sultan Zainal Abidin III yang berjaya menubuhkan satu rangka Perlembagaan Terengganu ketika itu, yang perlembagaan itu dikenali sebagai Itqan Al-Muluk bi Ta’dil As-Suluk, Sultan Alauddin Syah yang telah melaksanakan undang-undang hudud di Melaka, Sultan Zulqarnain dari Kesultanan Perak yang mengarahkan Faqih Yusof, seorang ulama Acheh untuk mengendalikan perlaksanaan syariah di Perak ketika itu, Sultan Muhammad Jiwa dari Kesultanan Kedah berjaya melaksanakan undang-undang, ekonomi, politik, hubungan luar dan sebagainya, yang semuanya berasaskan kepada Islam atas nasihat seorang ulama yang bernama As-Syaikh Abdul Jalil Al-Madani, Sultan Mahmud II dari Kesulatanan Kelantan yang berjaya melaksanakan pentadbiran secara Islam di negeri Kelantan ketika itu dan banyak lagi sejarah yang perlu kepada kajian sebagai pembuktian negara ini pernah diperintah oleh Islam [5].Apa yang menyedihkan, kebencian pihak Barat terhadap Islam tidak kehabisan. Mereka telah berusaha dengan berbagai-bagai cara untuk menjatuhkan Islam di semua tempat. Semuanya ini, hakikatnya membenarkan kandungan firman Allah SWT dalam firman-Nya
:وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya:Dan tidak akan redha Yahudi dan Nasrani hinggalah kamu mengikut millah (cara hidup) mereka. (Surah Al-Baqarah : 120)Alfonso de Albuquerque adalah antara orang yang bertanggungjawab dalam menjatuhkan pemerintahan Islam di Melaka. Beliau yang berasal dari Sepanyol, beragama Kristian telah menyerang umat Islam di Tanah Melayu dengan pelbagai tindakan. Dia telah mengarahkan pengikut-pengikutnya agar membunuh orang-orang Islam di Melaka, rumah-rumah mereka diruntuhkan, orang Islam dibakar hidup-hidup dan berbagai-bagai kegiatan jahat yang dilakukan oleh musuh Islam ketika itu [6].Kedatangan penjajahan Portugis buat kali keduanya yang dikepalai oleh Diego Lopez de Sequera ke Melaka, sekali lagi menyedihkan umat Islam di Tanah Melayu. Portugis telah menakluki Melaka pada tahun 1511 yang menyebabkan Melaka bukan sekadar dijajah, tetapi sudah menjadi pusat pentadbiran dan ketenteraan Portugis ketika itu, malahan menjadi pusat penyelarasan agama Kristian Katholik yang terawal di rantau ini.Dengan keadaan inilah menyebabkan Melaka telah menjadi tempat persinggahan para paderi Kristian Katholik dalam pelayaran untuk menyebarkan agama mereka di Indonesia, Jepun, China dan Kepulauan Maluku [7].Dengan perkembangan inilah, lahirnya satu keturunan yang disebut sebagai SERANI yang asalnya adalah bermula dari perkahwinan antara mereka yang berbangsa Portugis beragama Kristian dengan perempuan-perempuan tempatan yang beragama Islam [8].Perkembangan Kristian di Tanah Melayu semakin menjadi-jadi lagi dengan masuknya pihak Inggeris. Penaklukan Pulau Pinang oleh Francis Light pada tahun 1786 dan penyerahan Melaka oleh Belanda kepada Inggeris pada tahun 1824 menyebabkan Tanah Melayu menjadi pusat persaingan antara Kristian Katholik dan Kristian Protestan.Francis Light telah mendirikan kolej latihan Katholik bagi para muballigh di Pulau Pinang pada tahun 1807. Kolej ini kemudiannya menjadi sebuah pusat latihan gereja Katholik yang penting di rantau ini [9]. Dari sini, bermulalah penyebaran Kristian secara berleluasa di Tanah Melayu ketika itu.Berbagai-bagai usaha telah dilakukan oleh musuh-musuh islam ini, mereka telah menerbitkan juga sebuah majalah Melayu bernama Bustan Al-‘Arifin iaitu sebuah majalah yang mengandungi rencana-rencana agama Kristian; selain dari itu berita-berita, sejarah dan kesusasteraan yang menguntungkan Kristian. Orang yang bertanggungjawab menerbitkan semua itu adalah seorang yang berbangsa Denmark yang diamanahkan oleh pihak Inggeris bernama Thomsen.Mengenangkan bangsa Melayu ketika itu tidak memahami bahasa Inggeris, segala terbitan itu dibuat dalam Bahasa Melayu bertulisan Jawi. Orang yang bertanggungjawab menterjemahkannya adalah seorang yang dianggap tokoh oleh kepimpinan Negara pada hari ini, iaitu Abdullah Munsyi [10]. Tidak cukup sekadar itu, serangan dalaman telah dilakukan oleh golongan Barat terhadap Islam dan umatnya di alam Melayu.Dengan gabungan dua tokoh kuffar bernama Raffles yang berminat dengan selok-belok bahasa dan kesusasteraan Melayu serta mahir dengan adat-istiadat dan kebudayaan Melayu, dan Hungronje yang merupakan seorang sarjana dan ilmuan yang luas pengetahuannya dalam bidang pengajian Islam serta pakar dalam bidang sosio-budaya masyarakat Indonesia telah menyebabkan mereka berpendapat, serangan yang perlu dilakukan kepada alam Melayu adalah dengan serangan pemikiran (Ghuzwah al-Fikri).Hungronje telah menggariskan beberapa dasar yang kemudiannya menjadi dasar dalam menghadapi umat Islam di alam Melayu.
Antara dasar-dasar itu adalah:
Pisahkan antara agama dengan doktrin politik;
Sempitkan pemahaman Islam kepada ibadat sahaja;
Amalan ibadat haji jangan disekat;
Berusaha mencegah gerakan-gerakan Islam yang menggunakan laluan politik;
Mencegah ulama dari duduk dalam institusi kerajaan;
Memperkuatkan kedudukan pemimpin golongan adat (kebangsaan)
[11].
Jika dikaji, hakikat dasar-dasar yang dinyatakan ini adalah dari pemikiran yang diciplak dari Lord Cromer, seorang pentadbir Inggeris di Mesir yang telah berusaha untuk melahirkan anak-anak tempatan Mesir yang berdarah Mesir, tetapi fikiran dan pegangan hidupnya selari dengan kehendak Inggeris.

Tiada ulasan: