Translate

Followers

EZ Q

Rabu, 18 Jun 2008

Yang Haram Tetap Haram

PUTRAJAYA: Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), bermesyuarat selama kira-kira tiga jam semalam, sebelum memutuskan ‘Peraduan Celcom 100 Hari 100 Kereta’ melanggar hukum syarak dan mesti dihentikan serta-merta.Panel yang bersidang kali kedua di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, dengan dipengerusikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, juga memutuskan beberapa bahagian dalam peraduan yang menarik minat rakyat Malaysia itu berunsur judi, gharar (unsur yang tidak jelas) dan menggalak pembaziran.Justeru, Hassan berkata, jika Celcom mahu meneruskan peraduan itu, mereka hendaklah menggubal beberapa bahagian yang didapati melanggar hukum syarak itu.“Ahli panel menasihatkan Celcom mengadakan konsep peraduan baru. Jadi, mereka kena bubar balik (peraduan)...yang penting mesti patuh kepada tuntutan syariah,” katanya ditemui selepas mesyuarat, semalam.Hadir sama dalam mesyuarat itu Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly.Peraduan diadakan sejak 2 Jun lalu itu memberi peluang pelanggan pascabayar dan prabayar Celcom memenangi sebuah Toyota Camry 2.0E setiap hari selama 100 hari.Mereka hanya perlu menaip kata kunci CARS dan hantar melalui SMS ke nombor 22222 dan peserta yang menjawab tepat diberi mata dan berpeluang dipilih sebagai pemenang.Bagaimanapun, setiap SMS yang diterima atau dihantar peserta dikenakan caj RM5.Pada 5 Jun lalu, akhbar melaporkan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata peraduan itu haram dan perlu dijauhi umat Islam kerana menerap unsur perjudian kerana peserta dikehendaki membayar untuk menjawab setiap soalan.Berikutan itu, panel yang bermesyuarat pertama kali pada 10 Jun lalu, mengarahkan peraduan itu dihentikan serta-merta dan Celcom akur arahan itu apabila menggantung peraduan itu berkuat-kuasa 13 Jun hingga semalam.Sementara itu, Wan Mohamad berkata, Jakim akan mengeluarkan satu garis panduan berhubung penggunaan SMS dalam peraduan bagi menerang prosedur perlu dipatuhi syarikat telekomunikasi.“Sebenarnya hukum mengenai penggunaan SMS jelas seperti diputus Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2004 iaitu peraduan berbayar menerusi SMS adalah haram di sisi Islam kerana mempunyai unsur perjudian,” katanya.“Oleh itu, Jakim menasihatkan umat Islam supaya mengambil kira aspek syariah sebelum menyertai sebarang peraduan dan pertandingan,” katanya.Mengulas keputusan panel terbabit, Shazalli berkata, peraduan berkenaan digantung serta-merta sementara menunggu konsep peraduan yang akan dibincangkan dengan pihak Jakim bagi memastikan penganjurannya mematuhi hukum syarak.“Kami akan tengok balik bahagian perlu diperbetul dan sebagainya. Insya-Allah, jika kami kembali mengadakan peraduan untuk mempromosi produk Celcom ia adalah berlandaskan syariah,” katanya

Tiada ulasan: