Translate

Followers

EZ Q

Sabtu, 21 Jun 2008

BUDAYA KITA KAH INI ??

Tarian breakdance nadi hiburan anak muda LIUK lentok badan mengikut irama dengan kaki dijulang sambil tubuh berpusing ibarat kipas menjadi klimaks dan ciri unik tarian jalanan, breakdance. Mencetus fenomena sejagat pada era 1980-an, gerak tubuh ala hip hop yang menjadi identiti breakdance nyata memiliki keistimewaan tersendiri buat penggemarnya. Menyaksikan sendiri tarian yang diilhamkan etnik Afrika Amerika dan anak muda Puerto Rico yang ditarikan anak muda tempatan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, kisah ‘penghibur jalanan’ di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, terungkai akhirnya. Bukan sedikit, kumpulan penari yang rata-ratanya berusia belasan tahun hingga awal 20-an boleh mencecah 30 orang setiap kali mereka beraksi.
Menjelang 8 malam, suasana di depan persimpangan Maybank Bukit Bintang bagai pesta dengan pengunjung berhimpun membentuk bulatan semata-mata mahu menyaksikan gelagat anak muda mempamerkan bakat menari persis rancangan realiti hiburan, You Think You Can Dance yang pernah ditayangkan di 8TV. Terpesona melihat aksi anak muda mempamerkan keanjalan tubuh persis ahli akrobat yang menghayun langkah mengikut irama muzik hip hop. Pergerakan tersusun yang bukan dibuat-buat menampakkan bakat seni tari mereka walaupun sebahagian daripada mereka tidak menjalani latihan formal dalam bidang tarian, jauh sekali mendalami seni akrobat atau gimrama. Tidak mudah mengatur ‘bunga-bunga’ asas tarian kerana setiap pergerakan menterjemah nama dan unsur seni yang dibawa. Istilah ‘power move’ dan ‘foot work’ adalah antara unsur pergerakan menarik yang sukar ditarikan khususnya bagi mereka yang baru mempelajari breakdance.
Kepuasan dirasai setiap kali pergerakan sukar berjaya dilakukan selain elemen kreatif yang cuba digabungkan dalam pergerakan tarian breakdance. Lebih mengujakan tatkala penonton bersorak dan memberi tepukan sebaik selesai persembahan atau selepas melakukan aksi sukar. Terfikir juga apakah yang dicari kumpulan anak muda ini selain hanya menghiburkan pengunjung dengan tarian jalanan. Sudahlah tidak mendapat sebarang bayaran jauh sekali memungut sumbangan, kelakuan mereka juga mungkin dicurigai sesetengah pihak. Tidak dinafikan ada pihak kurang senang malah tidak mengerti aktiviti sosial sekumpulan anak muda ini. Maka tidak hairanlah, penari jalanan mudah dilabel kutu rayau, mat lepak, berpeleseran, tiada arah hidup selain dikatakan terjebak dengan gejala sosial. Namun, jangan mudah memberi tanggapan negatif sebelum diselami kehidupan kumpulan penari jalanan ini. Minggu ini, i-Kon tertarik mendalami seni tari breakdance sekali gus cuba menyelami isi hati anak muda yang cenderung mendalami seni tari itu. Apa yang dicari mereka dan benarkah seni tari itu memberi kepuasan dalam erti kata sebenar?
Menghurai persoalan itu, Bukit Bintang menjadi pilihan sementelah beberapa kali terserempak dengan kumpulan anak muda yang tidak jemu-jemu menghiburkan penonton dengan seni kontemporari di persimpangan jalan utama di segi tiga emas itu. Bagaikan ‘maskot’ di kaki lima Bukit Bintang, kumpulan anak muda itu begitu asyik dengan dunia mereka sendiri. Hampir setiap malam, begitulah rutin anak muda daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan pekerjaan berhimpun. Masing-masing berlumba menunjukkan kebolehan dalam mengalunkan rentak breakdance.. Pelajar sekolah, penuntut kolej dan pekerja swasta antara puluhan anak muda kreatif yang memenuhi ruang kosong di persimpangan jalan itu. Apa yang menarik, penonton aksi penari jalanan ini tidak pernah surut. Rakyat tempatan dan pelancong luar negara sanggup berhenti sebentar di persimpangan itu semata-mata mahu menyaksikan aksi hebat anak muda beraksi sesama sendiri dalam tarian breakdance. Seorang demi seorang silih berganti mempamerkan aksi dan kehebatan masing-masing. “Itulah kepuasan yang kami cari selama ini dengan melakukan pergerakan breakdance. Persembahan lebih bermakna apabila mendapat reaksi positif pengunjung yang bertepuk tangan seolah-olah kepenatan kami berbayar apabila usaha kita menghiburkan warga kota disambut baik,” kata Rozaidi Abd Rahim, 21. Rozaidi seperti penari breakdance lain berkumpul di Bukit Bintang hampir setiap malam dengan satu matlamat dan agenda iaitu membuat persembahan tarian yang digemarinya itu. Bukan sejam dua, kumpulan penari jalanan berbakat itu menghabiskan sisa hari di kota hingga ke lewat malam. Ditanya tidakkah bosan dengan rutin yang berulang-ulang, Rozaidi berkata, semua itu tidak pernah menerjah kotak fikiran kerana breakdance sudah menjadi minat dan kepuasan hidupnya.. Katanya, sejak mendalami seni tari breakdance pada 2002, beliau fanatik untuk terus mempersembahan tarian breakdance. Rozaidi berkata, pada satu-satu masa setiap penari umpama berlawan sesama sendiri dengan mempamerkan tarian bertenaga dan kreatif. “Sekalipun tidak mendapat bayaran menerusi pertunjukan percuma ini, penari breakdance tidak pula merungut kerana objektifnya adalah untuk mencari kepuasan dan berkongsi minat yang sama dengan penonton. “Ada sesetengah pelancong luar negara memberi sokongan padu kepada aktiviti kami malah sanggup memberikan minuman sebagai tanda sokongan,” katanya yang pernah tersenarai di peringkat 40 pesaing dalam program You Think You Can Dance, baru-baru ini. Jelas sekali, sepanjang lebih dua jam menyaksikan pertunjukan tarian breakdance, terasa bagai berkhayal melihat anak muda silih berganti mengelilingi bulatan untuk menunjukkan skil masing-masing.

Tiada ulasan: