Translate

Followers

EZ Q

Khamis, 20 Disember 2007

KORBAN BUKAN ADAT TAPI IBADAT

TARIKH 10 Zulhijjah satu-satunya tanda kesepaduan sejati umat Islam di seluruh dunia tanpa batas sempadan tempat dan fahaman mahupun bangsa dan warna kulit. Malah tarikh itulah dinanti-nanti oleh seluruh Muslim, khususnya yang sedang mengerjakan Rukun Islam kelima iaitu haji di Tanah Suci Mekah. Pertama, ia adalah tarikh yang akan membebaskan jemaah daripada ikatan pantang larang ihram untuk ‘fasa pertama’, setelah melalui kemuncak ibadah haji (berada di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah), diikuti pelaksanaan melontar Jamrah Aqabah (sebaik berlalu fajar 10 Zulhijjah) di Mina. Itu juga dikatakan Eidul Adha atau Hari Raya Haji.
Kedua, dan paling sinonim dengan tarikh 10 Zulhijjah atau Aidildha, terutama yang tidak berpeluang mengerjakan haji tentulah upacara sembelihan korban. Dari sudut sejarah, korban adalah legasi kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s. untuk disembelih atas perintah Allah s.w.t., bagi menguji keimanan yang kemudian ibadah itu disyariatkan pula ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya. Ia akan terus menjadi tarbiah bagi mengagung dan membesarkan Allah serta meningkatkan keimanan. Bagi yang berkemampuan, inilah peluang untuk menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat Allah selaras dengan mafhum-Nya: Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhan mu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah). (Al-Hajj: 34) Namun, pernahkah kita fikirkan hikmah di sebalik syariat sembelihan korban pada setiap tahun sepanjang hari tasyrik bermula pada 10 hingga 13 Zulhijjah itu?
Ini kerana upacara sembelihan korban di kalangan Muslim kini sudah menjadi suatu pesta dan budaya apabila masing-masing saling bersaing tanpa penghayatan terhadap konsep dan hikmah dalam ibadah itu sendiri. Agak membimbangkan apabila wujud budaya melaksanakan korban dengan menyerah ternakan sembelihan kepada masjid-masjid tanpa mengambil tahu urusannya. Jauh sekali untuk hadir dan turut terlibat dalam kerja-kerja penyembelihan, melapah mahu pun mengagih-agihkan daging korban. Sikap lepas tangan sebegini sudah tentu bertentangan dengan syariat korban. Menurut Ibnu Hazm, lebih afdal sama ada bagi lelaki dan wanita menyembelih sendiri haiwan korbannya kerana cara itu lebih menepati dengan sunah Rasulullah s.a.w. Bagaimanapun, ia boleh diwakilkan kepada sesiapa jua yang beragama Islam.
Malah ketika korban mula disyariatkan ke atas Nabi Ibrahim a.s. supaya menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s., ia dilakukan sendiri oleh Nabi Ibrahim. Lagipun, bukan jumlah ternakan korban atau nilai wang ringgit yang menentukan pahala dan fadilat ibadah seseorang, sebaliknya ketakwaan diri terhadap Allah s.w.t. Ini ditegaskan Allah s.w.t. dalam marfhum-Nya: Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj: 37).Jadi, apa guna berlori ternakan dikorbankan oleh kariah sesebuah masjid jika pelaksanaan ibadah itu tidak dihayati sama ada oleh orang yang berkorban mahupun yang diamanah melaksanakan urusan itu.Budaya pesta korban turut menggusarkan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, apabila beliau sering membangkitkan di pelbagai majlis yang dihadirinya tahun ini. Menurutnya, budaya membeli dan mengimport ternakan dari negara asing, terutama yang bukan Islam untuk sembelihan korban sudah tersasar dari konsep ibadah tersebut. “Mana mungkin kita dapat membantu seimbangkan peluang serta tingkatkan ekonomi dan agihkan kekayaan di kalangan sesama muslim jika ternakan korban dibeli dan diimport dari negara yang rata-ratanya bukan Islam,” katanya.Sedangkan konsep korban menurut Abdul Hamid, bukan hanya berkongsi kekayaan dan rezeki melalui sembelihan dengan mengagihkan daging kepada yang berhak, tetapi turut berperanan membantu penternak Muslim meningkatkan usaha dan pendapatan di samping menyuburkan ekonomi sesama ummah.
Agihan daging-daging korban pula tambah beliau, tidak sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.“Bagaimana daging korban akan sampai kepada orang miskin dan berhak yang terpencil, kalau sembelihan bertumpu di masjid-masjid dalam bandar,” soalnya.
Bagi Pengarah Rayuan Korban dan Aqiqah Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), Mohd. Rashid Hasnon, pesta sembelihan korban tidak salah asal menepati syariat Islam.
“Tetapi sebaik-baiknya jumlah ternakan sembelihan korban di masjid-masjid itu dihadkan sesuai dengan keperluan setempat,” ujarnya.Namun tegas beliau, adalah lebih baik jika syiar korban itu dikembangkan melalui institusi agar dana daripada korban yang terhimpun diagih untuk membantu umat Islam yang benar-benar perlu pembelaan di seluruh dunia.
Kata Mohd. Rashid, itulah yang diusahakan JIM bagi memastikan dana hasil korban Muslim negara ini tidak membazir dan turut dinikmati oleh saudara Islam yang memerlukan di negara-negara lain.Menurut beliau, soal agihan hasil korban sangat penting kerana ia adalah kerja ibadah yang disyariatkan.Korban katanya, adalah syiar Islam yang melibatkan soal ekonomi ummah. Ia perlu dikendali secara berhemah mengikut syariat agar matlamat ibadah tercapai dan korban yang dilaksanakan diterima Allah s.w.t.Malah tambah beliau, menjadi kewajipan setiap yang berada membantu yang kurang mampu dan korban syair paling berkesan bagi menyempurnakan tanggungjawab itu.
Perkara sunat bagi orang yang melakukan korban:
* Menyembelih sendiri binatang sembelihan korban atau mewakilkan kepada orang lain jika ada halangan atau tidak berdaya melakukannya sendiri.
* Menyembelih ternakan korban di musalla (tanah lapang) bagi memperlihatkan syiar Islam (sabda Rasulullah s.a.w.: Bahawasanya baginda menyembelih dan berkorban di musalla. (riwayat Bukhari)
* Hendaklah menyembelih dengan pisau yang tajam.
* Ketika hendak menyembelih ucapkanlah: Bismillahi wallahu Akbar.
* Baringkan binatang korban pada sebelah sisi kirinya dan memegang pisau dengan tangan kanan dan pegang atau tahan lehernya dengan tangan kiri (sabda Rasulullah: Dari Anas radiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi s.a.w menyembelih dua ekor kibas yang bagus dan bertanduk. Baginda mengucapkan basmalah dan bertakbir serta meletakkan kakinya di samping lehernya” (riwayat Bukhari & Muslim)
* Binatang korban yang gemuk, sihat dan tidak cacat pada anggota tubuh badannya serta cukup umur.
* Menyaksi sendiri upacara penyembelihan binatang yang dikorbankan.
* Sembelih ternakan korban sesudah selesai solat dan dua khutbah Hari Raya.
* Elakkan ternakan korban melihat pisau diasah untuk sembelihan.
* Orang yang menyembelih menghadap kiblat.
* Cari tempat yang lembut ketika melakukan penyembelihan.
* Orang yang berkorban berdoa ketika sembelihan dilakukan.
* Tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban. Sabda Rasulullah: Barang siapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban. (riwayat Muslim)
* Makan daging sembelihannya, bersedekah dan menyimpan dagingnya yang lebih. Firman Allah s.w.t: Makanlah sebahagian daripadanya, dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir. (Al-Hajj: 28)
Hukum berkorban
* Menurut mazhab Syafie, hukumnya sunat muakkad.
* Imam Abu Hanifah berpendapat korban hukumnya wajib tetapi tidak fardu.
* Dilakukan pada hari-hari Tasyrik sahaja, iaitu sesudah selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari di akhir hari Tasyrik (13 Zulhijjah).
* Jumhur ulama berpendapat korban hanya sunat.
* Fatwa Syeikh Hasanain Makhluf (Rektor Universiti al-Azhar- dikeluarkan pada 22 Oktober 1974):- Tidak harus ditukar korban dengan harganya bagi menampung keperluan fakir miskin yang memerlukan bantuan, kerana tujuan utama ibadat ini ialah menumpahkan darah haiwan. (Amalan ini adalah syiar Islam yang tersirat di sebalik pengorbanan Nabi Ibrahim a.s ketika melaksanakan perintah Allah menyembelih anaknya Ismail a.s.)
* Wajib melakukan korban ke atas orang mengerjakan haji cara tamattuk, qiran, bernazar (dilakukan di Mekah semasa berhaji).
* Korban nazar, wajib segera diagihkan daging segar kepada fakir miskin. Jika daging telah busuk wajib (bagi orang bernazar korban) beli daging baru sebagai ganti untuk diagihkan kepada fakir miskin.
* Daging sembelihan korban termasuk kulit dan tanduk tidak boleh dijual atau dijadikan upah kepada tukang sembelih mahupun tukang lapah meskipun korban sunat.
* Daging korban tidak boleh dijadikan jamuan kenduri kahwin.
* Daging korban hanya boleh dimakan atau diagihkan kepada orang Islam sahaja.
* Korban dan akikah ada persamaan dalam hukum tetapi berlainan dalam hikmah dan tujuannya. Oleh itu orang belum akikah boleh buat korban dan sebaliknya.

Tiada ulasan: