Translate

Followers

EZ Q

Ahad, 8 Julai 2007

Cabaran Tekno Daie Masa Kini...

DI MANA saja, kita menyaksikan keruntuhan akhlak, sama ada yang tinggal di kampung, pekan atau bandar besar. Itulah antara coretan dalam ruangan ‘Kata Saya’ bertajuk “Agama sebagai benteng elak keruntuhan moral” yang disiarkan akhbar ini, Ahad lalu.

Dalam coretan itu turut disenaraikan beberapa gelagat keruntuhan akhlak belia termasuk pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, berkelakuan tidak senonoh, wanita berpakaian tetapi seperti telanjang, budaya minum arak, ketagih muzik mengkhayalkan, terbabit kegiatan sumbang, menyalahi undang-undang, lumba haram, samseng, peras ugut dan menjual maruah.

Dalam kajian keagamaan Islam, senarai keruntuhan akhlak itu dimasukkan dalam kategori sifat fasik. Jika keadaan belia kita demikian maka sahlah kebenaran ucapan Baginda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Umamah, marfu' bermaksud: "Bagaimana kamu, jika isteri-isterimu telah berbuat zina, dan pemuda-pemudanya telah fasik, dan kamu telah meninggalkan jihad?"

Sahabat bertanya, "Apakah itu akan terjadi wahai Rasulullah?" Nabi menjawab, "Ya, demi Dzat yang diriku ada ditangan-Nya, lebih daripada itu pun akan terjadi."

Sahabat bertanya, "Apa yang lebih berat daripada itu wahai Rasulullah?" Nabi bersabda, "Bagaimana kamu jika kamu tidak melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar?" Mereka bertanya, "Apakah itu akan terjadi wahai Rasulullah?" Nabi bersabda, "Ya, demi Dzat yang diriku berada di tangan-Nya, lebih daripada itu pun akan terjadi!"

Mereka bertanya, "Apakah yang lebih daripada itu wahai Rasulullah?" Nabi bersabda, "Bagaimana kamu jika kamu melihat yang makruf menjadi mungkar dan yang mungkar menjadi makruf?" Mereka bertanya, "Apakah itu akan terjadi wahai Rasulullah?" Nabi menjawab, "Ya, demi Dzat yang diriku berada di tangan-Nya, yang lebih daripada itu pun akan terjadi !"

Mereka bertanya, "Apa yang lebih daripada itu wahai Rasulullah?" Nabi bersabda, "Bagaimana pendapat mu jika kamu memerintahkan yang mungkar dan melarang yang makruf?" Mereka bertanya, "Apakah itu akan terjadi wahai Rasulullah?" Nabi menjawab, "Ya, demi Dzat yang diriku berada di tangan-Nya, lebih daripada itu pun akan terjadi!"

Dalam konteks tulisan ini yang disoroti dalam hadis adalah jelas pemuda terbabit sudah fasik yang mana kita istilahkan pada hari ini sebagai ‘keruntuhan akhlak’. Subhanallah! Benar adanya ucapanmu, wahai Rasulullah. Subhanallah! Terbukti sudah wahyu Tuhanmu, wahai Rasulullah.

Di sinilah teramat berat tugas pendakwah pada seluruh peringkat bukan hanya orang yang kita lihat sebagai pendakwah saja kerana dalam Islam kita diwajibkan untuk berdakwah dalam menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Oleh itu, sudah sepatutnya mereka mendapatkan pendidikan agama yang memadai agar mereka boleh menjadi pendakwah yang berkesan setakat kemampuan masing-masing.

Nabi bersabda maksudnya: “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah merubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu hendaklah merubahnya dengan kata-kata dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya, dan mencegah dengan hati adalah selemah-lemahnya iman." (Hadis riwayat Muslim)

Dakwah yang berasal daripada kata ‘da’a – yad’u’ mempunyai erti memanggil, menyeru, mengajak atau berdoa. Namun, pengertian umum dakwah yang dimaksudkan di sini adalah panggilan, seruan atau ajakan untuk manusia mengakui kebesaran Allah Yang Maha Kuasa serta perlunya manusia hidup berlandaskan peraturan yang ditetapkan berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Hal ini adalah inti pati dakwah bagi membina manusia yang bertakwa kepada Allah SWT dalam erti kata yang sebenarnya dan seluas-luasnya.

Rasul Allah tidaklah diutus melainkan dengan tugas-tugas mulia dan Allah SWT mengamanahkan kepada mereka supaya melaksanakan dakwah. Dalam surah an-Nahl, ayat 36, Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut."

Barang siapa yang melaksanakan tugas dakwah maka dia akan mendapat pujian daripada Allah SWT berdasarkan firman-Nya dalam surah Fussilat ayat 33 bermaksud: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang salih, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).”

Pendakwah mesti mempunyai kepekaan yang tinggi dalam menggunakan dan memanfaatkan instrumen-instrumen komunikasi moden.

Seorang sahabat, Dr Al-Sayyid A Hamid al-Mahdaly yang baru saja balik dari Mesir bercerita bagaimana kebebasan penyiaran di Mesir terbalik di mana pada mulanya ditujukan untuk merosak akhlak belia tetapi yang terjadi sekarang pemuda yang teruja dengan rancangan keagamaan yang dikemaskinikan sesuai dengan peredaran zaman.

Kita masih ingat bagaimana kerajaan Hamas menggunakan saluran televisyen dalam perjuangan dakwah mengembalikan hak mereka menentang penjajah Israel. Rancangan yang dikhaskan untuk kanak-kanak demi menjana pemikiran perjuangan mereka itu mendapat bantahan daripada pihak Israel dan Barat.

Dalam program itu, tokoh bernama Farfur yang rupanya mirip ‘Mickey Mouse’ dan seorang gadis cilik, menyeru perlawanan terhadap Israel dan Amerika Syarikat sekali gus menekankan pentingnya solat dan minum susu.

Rancangan-rancangan kembalai kepada agama secara keseluruhannya seperti inilah yang digeruni Barat. Mereka merancang agar belia kita jauh daripada ajaran agama. Mereka mengerahkan seluruh pemikiran dan harta mereka demi menjayakan program mereka. Mereka bermaharajalela dalam menerkam, membaham dan melilit belia Muslim bukan saja di negara Islam bahkan di negara mereka sendiri.

Khamis lalu, kita membaca bagaimana di Britain orang Islam di sana yang kebanyakannya terdiri daripada belia yang diawasi secara diam-diam oleh 1,600 ejen. Walaupun program mengawasi secara diam-diam umat Islam ini dikecam oleh kalangan ahli akademik, ketakutan pihak tertentu di Britain kepada Islam mengalahkan kewarasan fikiran masyarakat ilmu.

Seperti siarkan akhbar Daily Telegraph pada 29 Mei lalu, persatuan ahli akademik Britain, University and College Union (UCU) menyatakan mereka menolak rancangan kerajaan agar mengawasi secara diam-diam mahasiswanya, terutama Muslim. Mereka berpendapat perbuatan berkenaan adalah tindakan rasional dan antiMuslim.

Ahli akademik ini juga menegaskan mereka menentang segala bentuk tindakan mengawasi secara diam-diam siswa dan kakitangan berdasarkan etniknya, untuk tujuan imigresen dan alasan keamanan. Mereka mengecam keupayaan kerajaan yang ingin memanfaatkan anggota UCU untuk melakukan aktiviti mata-mata.

Gerakan ahli akademik ini sebagai tindak balas terhadap tindakan Kementerian Pendidikan Inggeris yang dikeluarkan pada November 2006. Kementerian Pendidikan meminta pensyarah dan staf di universiti berkenaan mengintai mahasiswanya yang Muslim, kerana adanya "ektremisme Islam" di kampus.

Dalam kita berasa prihatin dan runsing atas keadaan belia kita yang terlepas dikendali atau kawalan, kita juga ditimpa kemalangan fikiran yang menganggap semua gerakan kembali kepada agama sebagai musuh kemajuan dan perosak ketamadunan. Gerakan yang dipelopori pendakwah selalu dilihat serong dan dipencilkan oleh masyarakat amnya.

Justeru, pendakwah adalah kelompok penyelamat belia yang runtuh akhlaknya itu.

Malangnya, pendakwah dituduh sebagai fundamentalis dan ekstremis yang posisinya selalu tertuduh walaupun hakikatnya mereka adalah orang yang beramar makruf dan bernahi mungkar pelindung dan pembangkit agama Allah SWT, suara mereka masih tetap kuat bersama kebenaran (yang dibawanya), meskipun suara kebatilan di sekelilingnya terus bergema.

Jika sebahagian manusia dewasa ini berbicara mengenai pentingnya membentuk pandangan umum dan pengaruhnya dalam mengawasi dan memelihara prinsip umat, akhlak, moral dan kepentingannya serta meluruskan apa-apa yang dianggap bengkok (tidak benar) daripada masalah kehidupannya, maka kewajipan beramar makruf dan bernahi mungkar adalah saranan terbaik yang menjamin tercapainya tujuan itu untuk membentuk pandangan umum bersandar pada standard akhlak Islami, tata susila yang paling benar, paling adil, paling kekal dan paling kuat kerana standard itu diambil daripada al-Haq yang 'azali dan abadi, iaitu Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Sudah tiba masanya subjek-subjek pelajaran yang ditujukan kepada belia harapan bangsa dan umat berorientasikan dakwah amar makruf nahi mungkar agar kita kekal menjadi sebaik-baiknya umat.

Tiada ulasan: