Translate

Followers

EZ Q

Jumaat, 8 Disember 2006

BOLEH PERCAYA KER NIE ????

KUALA LUMPUR: Putera Umno mahu menjadikan mat rempit sebagai mata dan telinga polis bagi membantu menangani kegiatan ragut dan pelbagai masalah jenayah lain di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata perkara itu sudah dinyatakan kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dalam pertemuan dengan Putera Umno, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya mendekati mat rempit bertujuan menjadikan mereka masyarakat berguna dan dapat memberi sumbangan bermakna kepada bangsa dan negara.

“Saya nyatakan kepada Ketua Polis Negara, kita nak bantu menjadikan mereka mata dan teliga serta Rakan Cop.

“Kalau boleh Putera Umno nak mendekati mat rempit ini dan bantu polis menangani kes ragut, iaitu satu mat rempit tangkap satu peragut yang secara tidak langsung boleh mensifarkan kegiatan itu yang begitu berleluasa di kampung dan bandar pada masa ini.

“Sebab itu, Putera Umno tidak menganggap mat rempit musuh, sebaliknya mendekati golongan itu kerana mereka juga aset negara yang perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita yang ditemui selepas majlis Jamuan Hari Raya Putera Umno bersama Pergerakan Pemuda Umno bahagian Pandan di Jambatan Lingkaran Tengah Kampung Pandan di sini, semalam.

Sempena majlis itu, beliau juga melancarkan Kelab Motosikal Putera Umno Pandan. Hadir sama Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukor Idros dan Ketua Pemuda Umno bahagian Pandan, Abdul Ghani Ismail.

Abdul Azeez yang juga Exco Pemuda Umno, berkata Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mengarahkan Putera Umno jangan bersikap berpeluk tubuh, sebaliknya mendekati mat rempit supaya menyertai program Putera dan Pemuda.

Beliau tidak menafikan ada pihak mempertikaikan usaha mendekati mat rempit termasuk menuduh Putera dianggotai penagih dadah.

Katanya, pandangan dan tuduhan itu sama sekali tidak melemahkan Putera Umno kerana yang penting pihaknya mahu membuktikan sikap liar mat rempit boleh ditangani.

“Masalah ini (mat rempit) sudah berlaku sejak 20 tahun lalu dan tidak ada pihak mahu menanganinya. Putera Umno hanya baru masuk minggu ke 15 mendekati mat rempit, jadi berilah peluang kepada kami untuk mengubah pemikiran mat rempit ini.

“Saya juga berterima kasih kepada media yang dilihat dapat membantu memberi kesedaran untuk mengubah sikap mat rempit,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak hampir empat bulan lalu, kira-kira 10,000 mat rempit di Lembah Klang sudah mengisi borang untuk menyertai Putera Umno.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk dari negeri lain sejak Putera Umno menjalankan program mendekati golongan itu.

“Kita tidak memaksa mereka menjadi ahli Putera tetapi program mendekati mat rempit salah satu agenda Putera Umno untuk mengubah sikap dan minda golongan itu ke jalan yang betul,” katanya.


Sumber : Berita Harian Online

Tiada ulasan: