Translate

Followers

EZ Q

Isnin, 2 Oktober 2006

Jangan Ponteng Puasa atau buat-buat Gastrik ..

Ramadan Al-Mubarak: Golongan sengaja tidak puasa dianggap fasik, wajib dipenjara

TIDAK dinafikan ada orang Islam yang malas berpuasa. Pelbagai alasan mereka berikan. Golongan seperti ini sebenarnya telah mensia-siakan nikmat terbesar yang dianugerahkan oleh Allah dalam bulan yang mulia ini.

Rasulullah SAW ada menjelaskan mengenai orang Islam yang tidak mahu berpuasa tanpa keuzuran dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak berpuasa sehari dalam Ramadan tanpa keuzuran yang diizinkan Allah, kemudian dia berpuasa sepanjang hayat untuk menggantikan puasa Ramadannya, maka nilai dan ganjarannya tidak akan sama." (At-Tirmizi, Tuhfah al-Ahwaziy, hadis no. 719 jld. 3 hlm. 340).

Orang Islam yang tidak berpuasa pada Ramadan dikategorikan kepada dua golongan.

Pertama, tidak berpuasa kerana keuzuran yang dibenarkan syarak sehingga membolehkan berbuka (tidak berpuasa). Golongan ini diberi kelonggaran selama mereka uzur. Seandainya keuzuran hilang, maka kelonggaran tadi turut gugur.

Perlu diingat bahawa keizinan syarak pada golongan pertama ini bukanlah keizinan mutlak. Mereka masih terikat dengan larangan yang dikenakan ke atas orang yang berpuasa.

Menurut ulama fiqh al-Syafi'iy: "Orang yang berbuka puasa kerana sesuatu keuzuran, maka orang itu dikira tidak berpuasa atas sebab dorurah (keperluan). Biarpun begitu dia sunat menahan diri daripada makan, minum dan semua perkara yang boleh membatalkan puasa sepanjang siang hari itu. Ini adalah sebagai tanda memelihara dan menghormati Ramadan." (Al-Zuhayliy, al-Fiqh al-Islamiy, 1989 jld. 2 hlm. 651).

Kedua, golongan yang sengaja tidak berpuasa. Mereka masih menyatakan puasa Ramadan itu salah satu daripada Rukun Islam yang lima, tetapi malas melaksanakan tuntutan agama itu.

Pelbagai alasan yang tidak dibenarkan syarak diberikan oleh golongan ini semata-mata untuk melepaskan diri daripada berpuasa. Misalnya, mereka berkata "Saya wajib berpuasa tetapi saya tidak mahu berpuasa".

Menurut Islam, golongan seperti ini hukumnya fasik (tidak dihukum kafir). Pihak pemerintah orang Islam wajib menahannya (memenjarakannya) dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya puasa terlaksana padanya, walaupun sekadar pada zahirnya. (Mustafa al-Khin, terj. al-Fiqh al-Manhaji, 1999 hal. 333).

Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat Islam dalam hadis yang bermaksud: "Islam itu didirikan atas lima (perkara): mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Rasulullah (utusan Allah), mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah (kaabah) dan berpuasa pada Ramadan." (Al-Nawawiy, Syarh Sahih Muslim, 1996 jld. 1 hlm. 146)

Sesiapa yang bertindak meninggalkan salah satu daripada kelima-lima perkara ini dengan ingkar, maka dia dianggap murtad.

Setiap kali tiba Ramadan, pasti ditemui orang Islam yang tidak berpuasa. Akhbar melaporkan kes penangkapan orang Islam yang tidak berpuasa oleh pihak berkuasa agama. Mereka bukan saja tidak berpuasa, malah tidak malu makan dan minum di khalayak ramai.

Lebih mendukacitakan lagi apabila ada sesetengah umat Islam yang sanggup mengaku yang dia tidak berpuasa kerana bukan dari kalangan orang Islam, sedangkan jelas ia orang Islam. Hal ini secara tidak langsung akan merosakkan akidahnya.

Orang Islam sedemikian telah kehilangan sifat malunya. Apabila seseorang itu sudah tidak berperasaan malu, ia akan melakukan segala perbuatannya menurut kehendak hati dan keinginan hawa nafsunya.

Orang Islam sengaja tidak berpuasa pada Ramadan adalah berdosa. Dosa ini berganda bagi mereka yang mencemarkan kesucian Ramadan dengan makan dan minum di khalayak ramai pada siang Ramadan.

Allah berfirman bermaksud ; "Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Surah al-Nur 24 : 19).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tidak (sempurna) iman seseorang itu sehingga ia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri" (al-Nawawiy, al-Wafiy Fi Syarh al-Arba'iyn al-Nawawiyyah, 1994 hlm. 86).

Atas dasar inilah kita wajib mengingatkan terhadap kemungkaran yang sedang dilakukan dan menegur ketelanjuran mereka supaya mereka sedar dan insaf.

Kita tidak perlu bimbang mereka berkecil hati, sebab membiarkan mereka meneruskan dosa itu adalah lebih berat hukumnya daripada menjaga hati mereka.

Dalam konteks kekeluargaan, peribadi murni seorang ketua keluarga akan menjadi contoh kepada isteri dan anak-anak. Apabila si suami/bapa melaksanakan segala tanggungjawabnya, bererti dia sudah berjaya membentuk sahsiah yang luhur, yang kelak akan disenangi, disayangi dan dihormati oleh isteri dan anak.

komen pendekarserkam :
1. puasa satu ibadah dan buat dapat pahala .. tinggal secara sengaja adalah berdosa dan wajib ganti.
2. jadikan bulan puasa nie sebagai bulan benci rokok dan tembakau sedunia bagi mengelakkan daripada ketagihan. selain tu jadikan juga bulan Ramadhan ini sebagai bulan sifar maksiat. pastikan kelab-kelab malam,pub-pub,disco ditutup sementara atau pun tutup terus pun lagi baik.

Tiada ulasan: