Translate

Followers

EZ Q

Rabu, 24 Mei 2006

apa yang bakal berlaku pada anak-anak kita lepas ini

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Seramai 120,000 pelajar sekolah rendah atau 2.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar sekolah itu tahun lepas didapati tidak menguasai 2M iaitu tidak tahu membaca dan menulis.Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar berkata seramai 42,000 atau 0.8 peratus pula merupakan pelajar sekolah menengah, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran tahun lalu.Katanya jumlah keseluruhan pelajar sekolah rendah dan menengah tahun lepas ialah seramai 5.1 juta orang."Kementerian sedang mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah itu. Kita ada kelas pemulihan yang diadakan secara berterusan khusus bagi pelajar yang menghadapi masalah sedemikian bagi memastikan mereka dapat membaca dan menulis," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran di sini hari Rabu.Seramai 868 warga kementerian menerima anugerah tersebut pada tahun ini.Noh berkata kementerian turut memperkenalkan Kelas Intervensi Awal 2M iaitu mengadakan satu ujian khas khusus untuk kanak-kanak tahun satu bagi mengetahui tahap kebolehan membaca dan menulis, mulai April lepas.Katanya tumpuan adalah kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Melayu."Jika gagal, pelajar terbabit akan dikehendaki mengikuti kelas pemulihan dan jika gagal kerana masalah kesihatan seperti kecacatan, mereka akan dihantar ke sekolah pendidikan khas," katanya.Beliau berkata dengan adanya penilaian tersebut, pelajar yang tidak tahu membaca dan menulis akan dapat dikesan dari awal.Katanya matlamat kementerian ialah semua murid akan dapat menguasai 2M apabila naik darjah 2 kelak dan sebagai menangani masalah pelajar yang gagal menghayati program Menulis, Membaca dan Mengira (3M).-- BERNAMA